SELAIN menulis kolum Khalifah Bisnes, saya banyak melabur masa berceramah, terutama menyambut undangan institusi, NGO atau universiti, sama ada dalam atau luar negara. Seperti dalam penulisan, bahagian besar ceramah saya fokus kepada isu kelemahan ekonomi Melayu khasnya dan umat Islam amnya, diikuti dialog berbincang mencari jalan berkesan mengatasinya.

Dalam konteks ekonomi dunia dipacu bisnes atau business-driven didominasi korporat gergasi, antara formula penyelesaian yang saya utarakan ialah menyarankan bangsa Melayu dan umat Islam membudayakan bisnes menjadikannya perjuangan bertaraf satu jihad, iaitu Jihad Bisnes.

Untuk itu, mereka mesti jauhi gaya bisnes rakus nafsu-nafsi kapitalis global merosakkan. Sebaliknya umat Islam wajib integrasikan amanah dan tegakkan keadilan Islam membangun institusi Waqaf Korporat, melindungi harta kebal berpanjangan memperkasa ekonomi umat.
 

Jihad Bisnes inklusif

Setiap kali saya guna istilah jihad dan wakaf saya sedar ia mengundang kontroversi, justeru pasti mendapat reaksi negatif menentangnya, terutama konsep Jihad Bisnes. Tidak hairan jika ini berlaku, kerana fahaman umum, terutama kalangan bukan-Muslim, terlalu kuat dipengaruhi hasutan negatif Barat terhadap jihad dan wakaf.

Pengertian jihad sengaja disempitkan Barat, menterjemahkannya sebagai “holy war”, iaitu tindakan ganas umat Islam memerangi bukan-Muslim bertujuan mendominasi dan menguasai mereka. Iklim politik pasca-911 setelah Al-Qaedah dituduh memusnahkan Menara Kembar New York pula mengakibatkan organisasi wakaf, terutama di Barat, dicurigai.

Aset wakaf bernilai tinggi dibekukan dan ada wakaf dipaksa bubar atas alasan membiayai keganasan, tanpa usul periksa, juga tanpa mengambil kira impak kebajikan besar wakaf membela masyarakat miskin.

Apa pun halangannya, saya dan rakan seperjuangan dalam Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) bertegas memperjuangkan Jihad Bisnes dan Waqaf Korporat serta mempertahankan penggunaan istilah dan konsep Islamik langsung ke dalam naratif pembangunan ekonomi negara.

Istilah Jihad Bisnes digunakan persis menepati Maqasid al-Syariah berkaitan harta, sekali gus bertujuan mengatasi prasangka negatif umat Islam terhadap ciri materialistik dan duniawi bisnes menyebabkan ramai menjauhi kerjaya bisnes.

Ia juga bermatlamat membakar semangat juang Melayu/Muslim memburu harta kekayaan tanpa segan dan silu, tanpa keraguan rakus-serakah.

Hakikatnya hari ini, umat Islam amnya dan agama Islam khasnya rata-rata dipandang rendah. Keadaan bertambah buruk apabila perpaduan umat tergugat oleh konflik dan umat di beberapa negara Islam berbunuhan sesama sendiri tanpa kesudahan.

Akar-umbi konflik jelas sangat kompleks. Apa pun, kemiskinan merata dan penindasan serta kezaliman dalam merebut sumber ekonomi, termasuk pembolotan tanah dan harta negara, antara punca keganasan.

Dalam mengatasi ancaman hebat ini, saya berpendapat bangsa Melayu dan umat Islam tidak pula harus takut atau apologetik menggunakan istilah dan naratif Islami, terutama dalam berjihad memerangi kemiskinan umat.

Sebaliknya mereka wajib bertindak memperbetulkan penyelewengan fahaman yang sengaja dilakukan oleh musuh-musuh Islam.

Kaedah terbaik ialah menentukan impak jihad dan wakaf berkesan mentransformasi ekonomi, memakmurkan rakyat melalui strategi business-driven adil, tidak melampau memihak kepada golongan kaya seperti berlaku di bawah kapitalis liar dan buas.


Waqaf Korporat manfaatkan semua

Langkah transformasi membabitkan jihad dan wakaf boleh Melayu gerakkan untuk manfaat masyarakat majmuk Malaysia. Jihad Bisnes dan Waqaf Korporat boleh ditujukan menjana harta kekayaan membangun ekonomi negara di samping menepati tuntutan Islam, terutama dengan mengintegrasikan amanah dan menegakkan keadilan langsung ke dalam struktur ekonomi.

Sekali pun mengguna naratif dan institusi Islam, manfaat daripada Jihad Bisnes dan Waqaf Korporat jelas tidak eksklusif untuk warga Muslim sahaja. Amalan Waqaf Korporat mengikut model Waqaf An-Nur Corporation Bhd (WANCorp) ditubuhkan Johor Corporation bukti nyata wakaf sebagai institusi Islam inklusif berpotensi merealisasi sepenuhnya aspirasi 1 Malaysia.

Contoh, akhir 2013 terdapat rangkaian 24 Klinik dan satu Hospital Waqaf An-Nur, 23 daripadanya di lokasi pekarangan masjid di enam negeri di Malaysia.

Sejak mula beroperasi, lebih 961,000 rakyat miskin dan berpendapatan rendah mendapat manfaat khidmat perubatan asas di Klinik Wakaf An-Nur. Dengan membayar RM5 pesakit mendapat rawatan doktor serta kos ubatannya.

Paling menarik perhatian, lebih 69,690 pesakit miskin bukan Muslim turut mendapat manfaat, sekali pun majoriti klinik dan hospital wakaf An-Nur berlokasi di masjid.

Selain itu, WANCorp memiliki harta wakaf dalam bentuk saham PLC yang meningkat nilai daripada RM250 juta pada tarikh wakaf di akhir 2006-2007 kepada lebih RM500 juta di akhir 2013.

Perhatikan: JCorp telah mewakafkan bahagian kecil saham tersenarai dua syarikat utama miliknya, iaitu KPJ Healthcare Bhd dan Kulim Malaysia Bhd. Kedua-duanya PLC ini beroperasi bisnes bebas sama seperti organisasi korporat lain, tanpa diskriminasi kaum sama ada ketika bertransaksi bisnes di pasaran mahu pun dalam pengambilan staf dan eksekutif. 

Sebagai contoh, rangkaian hospital pakar KPJ membabitkan lebih 800 doktor pakar. Majoriti doktor pakar, iaitu lebih 60 peratus terdiri profesional bukan Melayu/Muslim berganjaran tinggi.

Sewaktu saya CEO JCorp, semua doktor pakar KPJ didedahkan kepada konsep Jihad Bisnes dan Waqaf Korporat amalan JCorp. Terdapat doktor pakar bukan Muslim terus-terang menyatakan keyakinan terhadap kewibawaan konsep Jihad Bisnes dan Waqaf Korporat, menyifatkannya satu formula baik untuk dijadikan dasar memenuhi aspirasi pembangunan masa depan negara.


Jangan takut guna naratif Islam

Antara maklum balas saya terima hasil penulisan dan daripada sesi dialog selepas ceramah mengenai Jihad Bisnes dan Waqaf Korporat termasuk anjuran gunakan istilah “struggle” atau “perjuangan” menggantikan jihad; juga “trusts” atau “endowment” menggantikan wakaf. Namun, setelah memikirkannya mendalam, cadangan ini tidak dapat saya terima atas beberapa sebab.

Dalam mengatasi ancaman hidup-mati hari ini, umat Islam memerlukan suntikan motivasi hebat merangsang jiwa membina semangat juang tinggi.

Sebagai Muslim, semangat juang adalah sesuatu hanya boleh dicapai berlandaskan iman, akidah dan pegangan teguh kepada ajaran agama.

Lagi pun bangsa Melayu dan umat Islam terlalu lama membiarkan minda dan jiwa dibentuk mengikut konsep, fahaman dan gagasan idea yang dirangka dan definisikan orang bukan Muslim, sejajar aliran, selera dan nafsu berteraskan nilai dan pegangan hidup berbeza.

Tiba masanya bangsa Melayu dan umat Islam memilih sistem ekonomi alternatif menegakkan keadilan dan mengintegrasikan amanah seperti dituntut Islam. Sesungguhnya semua ini dapat dicapai menerusi Jihad Bisnes dan institusi Waqaf Korporat. Lagi pun ia satu jihad dalam aman, pilihan legitimis mengguna kaedah pasaran sepenuhnya dan tidak anti persaingan. Ringkasnya, Jihad Bisnes jihad aman memperkasa ekonomi tanpa senjata atau keganasan.

Kesimpulannya, bangsa Melayu dan umat Islam, terutama pemimpin politik Muslim, tidak wajar segan, melampau apologetik atau takut mengguna naratif Islam melaksanakan Jihad Bisnes dan institusi Waqaf Korporat. Mereka mesti berani dan tegas berhujah di gelanggang ideologi politik perdana, memperjuangkan idea pembaharuan Islamik bermanfaat untuk semua.

Jika Melayu tidak berani mengguna naratif Islamik legitimis, bermakna minda Melayu dan jiwa Muslim akan berpanjangan didominasi golongan selama ini menjajahi mereka.              

Juga, jika Melayu dan umat Islam terus tunduk mengizinkan semuanya, bermakna selama itulah minda dan jiwa Melayu/Muslim terperangkap dan terkongkong di bawah tempurung sempit dan gelap warisan zaman kelemahan mereka, ditambah kekusutan pemikiran dan kontradiksi nilai hidup ciptaan asing, yang pasti berpanjangan menghantui, menundukkan dan mendominasi mereka.

Tegasnya, menjauhi atau menolak naratif Islam merugikan bangsa Melayu dan umat Islam, kerana terlepas peluang buat selama-lamanya menggembleng tenaga perkasa roh Islam atau Islamic spiritual energy, satu sumber tenaga luar biasa kurniaan agama suci lagi mulia ini.