SEBAGAI seorang pengundi Selangor, penulis menghargai jasa Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, terutama sekali semasa penggal pertamanya. Ramai berasakan kepimpinan Abdul Khalid bagai satu hembusan nafas segar; seorang menteri besar yang dikatakan tidak gemar berpolitik dan lebih selesa mentadbir.
Tetapi kini krisis politik Selangor semakin meruncing. Ia begitu parah sehingga mungkin boleh menyebabkan perpecahan gabungan politik Pakatan Rakyat. Seperti pengundi-pengundi Selangor yang lain, penulis bimbang dan resah dengan apa sedang berlaku.
Penulis tidak mempunyai dossier mahupun ‘maklumat dalaman’ yang boleh didedahkan seperti Saifuddin Nasution ataupun Rafizi Ramli. Penulis juga tidak tahu sama ada yang dikatakan sebagai ‘dosa-dosa’ Abdul Khalid itu cukup besar untuk mewajibkan Khalid berundur. Tetapi semakin lama krisis ini berpanjangan, ia semakin meyakinkan penulis bahawa Abdul Khalid wajar berundur.
Sebab pertama mengapa Abdul Khalid harus pergi adalah kerana partinya sendiri tidak menyokongnya lagi. Mungkin rakyat Selangor berasakan mereka harus diberi kuasa untuk menentukan siapa menteri besar mereka. Mungkin juga ramai pengundi Selangor yang memberi mandat kepada Pakatan Rakyat tempoh hari disebabkan Khalid dan kerajaannya.
Tetapi realitinya adalah Abdul Khalid dipilih oleh PKR, dengan persetujuan Pakatan Rakyat. Inilah sistem Westminster yang kita guna pakai. Rakyat memilih parti, parti memilih pemimpin kerajaan negeri. Kita tahu dan sedar akan realiti ini semasa kita buang undi tempoh hari. Apabila parti yang mengangkatnya, maka parti juga yang menentukan bila beliau pergi.
Seorang menteri besar akan menempuhi pelbagai kesukaran menerajui negeri sekiranya beliau tidak mendapat sokongan daripada ahli partinya sendiri. Beliau mungkin sekali diasak di dalam Dewan bertubi-tubi. Sebahagian besar usaha dan masa akan ditumpukan oleh kerajaan negeri untuk menangkis serangan-serangan seperti ini.
Sebab kedua, jika Abdul Khalid masih berkeras, maka PKR terpaksa mengusulkan undi tidak percaya terhadapnya. Sekiranya tewas, Abdul Khalid mempunyai pilihan untuk memohon supaya Dewan Undangan Negeri dibubarkan dan pilihan raya negeri dijalankan.
Walaupun kita tidak patut meletakkan harga pada amalan demokrasi seperti pilihan raya, kita tidak dapat lari daripada kenyataan bahawa pilihan raya negeri akan menelan perbelanjaan besar. Penulis juga percaya rakyat tidak mempunyai ‘selera’ untuk melalui suatu pilihan raya ketika ini.
Sekiranya Abdul Khalid berjaya mengharungi percubaan untuk membuangnya sekalipun, kedudukannya sentiasa goyah. Adakah selepas ini akan ada ahli Exco yang letak jawatan kerana tidak menyokong Abdul Khalid? Adakah PKR akan mencuba nasib undi usul tidak percaya sekali lagi sekiranya gagal pada percubaan pertama?
Sebab ketiga dan paling utama adalah kerana rakyat Selangor mengalami kerugian paling besar dengan krisis ini. Selagi ia tidak diselesaikan, rakyat Selangor akan terus rugi. Daripada pentadbiran yang dianggap ‘tidak banyak politik’, menjadi pentadbiran bergolak dengan politik. Kerajaan yang bergolak bagai telur di hujung tanduk tidak boleh berkhidmat untuk rakyat dengan berkesan.
Oleh itu, demi Selangor, Abdul Khalid harus berundur. Mengapa Abdul Khalid yang berundur, bukan PKR yang harus menerimanya? Ini kerana yang terbaik dan paling mudah untuk merungkai kemelut ini adalah dengan persetujuan Abdul Khalid. Bukan dengan terus bertahan, bukan dengan usul undi tidak percaya dan bukan dengan pilihan raya negeri.
Kunci berada di tangan Abdul Khalid sendiri. Sama ada beliau masih mahu terus berdegil, atau berkorban demi negeri Selangor, mengundur diri secara sukarela dan menyelamatkan legasinya yang semakin terancam.
Bagaimana pula dengan PKR? Jangan risau, masa perhitungan mereka akan tiba. Apabila mereka terpaksa berhadapan dengan rakyat semula, kita lihat nanti sama ada mereka juga bersalah di mata rakyat atau tidak.
*Penulis adalah seorang peguam muda.

0 Komentar untuk " Terima kasih dan berundurlah "