KEMELUT politik di Selangor ketika ini tidak ubah seperti filem Hindustan yang setiap babak dan jalan ceritanya diolah dengan penuh dramatik.

Walaupun polemik yang melanda kini melibatkan parti diterajui Ketua Umum yang diketahui ramai amat meminati filem-filem Hindustan, penulis tidak sesekali mengesyaki apa yang berlaku ini merupakan satu lakonan yang sengaja direka mahupun diarah beliau.

Berdasarkan siri-siri kemelut dalaman yang melanda PKR sejak beberapa bulan lalu, bermula dengan pelbagai krisis melibatkan pemilihan parti hinggalah kepada pemecatan keahlian calon Timbalan Presidennya yang juga Menteri Besar Selangor seolah-olah parti itu sedang dilanda sindrom apa yang diistilahkan dalam bahasa Arab ‘Kama Tadiinu Tudaanu’.

Istilah ini juga amat popular dalam bahasa Inggeris iaitu ‘What Goes Around Comes Around’ membawa maksud apa yang kita lakukan kepada orang akhirnya akan kembali semula kepada kita.

Sebab itulah jika baik yang kita lakukan maka baiklah juga yang kita dapat. Sebaliknya jika kita lakukan sesuatu yang buruk pada orang lain, lambat laun akan terkena kepada diri sendiri.

Begitu juga dengan PKR, ternyata segala dakwaan dan tohmahan mereka kepada Umno dan kerajaan selama ini bagaikan kembali terpalit kepada parti itu.

Lihat sahaja siri-siri pergaduhan ketika proses pemilihan parti hinggalah kepada konflik di Selangor kini, segala yang ditohmah PKR seperti penyelewengan, nepotisme, kronisme dan rasuah bagaikan menghantui mereka.

Umpamanya dalam proses pemilihan parti, segala tohmahan yang dilemparkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya lalu seperti keraguan daftar pemilih, ‘black-out’, undi hantu, beli undi, kotak undi yang dilarikan hinggalah kepada jumlah undi yang tidak sama dengan bilangan pengundi.

Semuanya berlaku kepada parti yang paling lantang memfitnah SPR dalam PRU13 lalu sehingga mencetuskan siri-siri pergaduhan kronik dalam kalangan ahli parti melibatkan penyokong calon-calon bertanding.

Begitu juga dengan kemelut di Selangor kini, isu nepotisme, kronisme, rasuah dan pelbagai bentuk penyelewengan yang selama ini ditujukan kepada Umno dan Barisan Nasional kini semacam parti dilanda ‘tulah’ yang terkena pada batang hidung parti sendiri.

Menariknya, segala dakwaan salah-laku dan penyelewengan didedahkan bukannya oleh parti lawan tetapi dilakukan sendiri oleh pimpinan parti.

Bukan itu sahaja dakwaan yang sering dilemparkan kepada Umno sebagai parti yang mengamalkan nepotisme dan kronisme, turut dizahirkan sendiri oleh PKR apabila jutaan ringgit sanggup dibazirkan untuk mengadakan pilihan raya kecil hanya untuk merealisasikan projek ‘Langkah Kajang’ bagi menobatkan isteri Ketua Umum selaku menteri besar.

Sebab itulah slogan ‘politik baru’ yang dijaja PKR selama ini disifatkan ramai sebagai retorik politik yang hakikatnya lompong makna dan nilai.

Rupa-rupanya yang dimaksudkan ‘politik baru’ ialah politik yang menghalalkan cara asalkan matlamat tercapai. Politik yang melondehkan aib lawan walaupun pernah menjadi kawan.

Politik yang mendahulukan kerabat. Politik tikam belakang yang zahirnya tampak lunak namun hakikatnya penuh dengan dendam kesumat.

Sebab itulah rakyat hari ini dapat menilai dengan jelas setiap episod dalam kemelut di Selangor ketika ini. Janji-janji manis gabungan parti-parti politik pembangkang atas nama ‘Pakatan Rakyat’ ternyata langsung tidak menghormati amanah rakyat.

Seolah-olah mandat pilihan raya yang diberikan rakyat begitu mudah diperkotak-katikkan atas pelbagai alasan dan justifikasi yang hanya menyerlahkan kerakusan terhadap takhta dan harta.

Pendangkalan makna politik seperti inilah terus-menerus menuntun rakyat Malaysia kepada polemik perpolitikan yang tiada berkesudahan.

Memang benarlah apa yang sering diperkatakan ramai bahawa dunia politik tanah air hari ini semacam sudah tercabut nilai-nilai moral dan etika.

Justeru sudah tiba masanya dilakukan usaha bersepadu ke arah melakar dimensi baru budaya berpolitik dalam masyarakat Malaysia hari ini.

Amalan berparti dan berpolitik yang ada memerlukan usaha pendewasaan agar umat tahu batasan dan sempadannya di samping meletakkan asas agama dan akhlak sebagai teras dalam apa jua bentuk percaturan.


* Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)