KATA orang, jikalau ikan tahu bila patut ia buka mulut dan bila ia mesti tutup mulut, tiadalah selalu ia berakhir di mata kail.

Saya bukan tuju ini pada sesiapa secara khusus, cuma sekadar berkongsi cakap-cakap orang tua yang banyak mengandungi bidalan, sindiran, teguran dan teladan.

Hari ini, ada segelintir yang bertindak seperti ikan, nampak sahaja cacing di mata kail, terus serang. Akibatnya berakhirlah ikan itu di dalam belanga.

Dalam kalangan masyarakat era moden dan internet hari ini, kita jarang sebut secara sipi-sipi lagi. Ramai yang tembak terus sahaja, walaupun sedar akhirnya perkataan atau perbuatan mereka memakan diri itu sendiri.

Ramai dalam kalangan kita suka cakap apa yang kita rasa kita mahu cakap, lepas itu baru fikir. Kita menyesal kemudian, tapi terlambat.

Minta maaf atau tarik balik kata-kata yang sudah diluahkan boleh dibuat, tetapi kerosakan sudah pun dilakukan.

Tabiat ikan tertangkap di mata kail berlaku di mana-mana, di semua peringkat; antara ibu bapa dan anak-anak, antara bos dan anak buah.

Dalam kalangan orang politik lagi banyak; orang agama pun ada yang terlepas cakap.

Bukankah orang tua-tua sudah kata: 'Terlajak perahu boleh berpatah balik, terlajak cakap buruk padahnya'? Namun kerana emosi, kerana marah, kerana ego, kerana sombong, sebahagian daripada kita tidak peduli.

Kita seronok maki-hamun, ugut, ancam, sumpah, hina, fitnah, adu domba, mengaibkan orang, menghamburkan kata-kata kesat dan lucah.

Kita tahu tuduhan buta tuli dan percakapan yang tidak sihat membinasakan hidup, merenggangkan perhubungan, merosakkan reputasi diri sendiri dan memecahbelahkan keluarga dan persahabatan, namun kita tidak hirau.

Kata dahulu, apa jadi kemudian, lain kira!

Dalam bahasa Inggeris pun ada yang merujuk kepada perbuatan atau sikap demikian. Ia disebut 'shoot yourself in the foot'.

Bayangkan entah berapa ramai dalam kalangan kita sudah 'tembak kaki sendiri' dalam keadaan sedar, separuh sedar atau tidak sedar langsung.

Begitu juga perbuatan. Ambil contoh terbaharu ini. Tidak ada angin tidak ada ribut, sekumpulan manusia tiba-tiba muncul di tepi pantai untuk menjalankan kegiatan dalam keadaan berbogel.

Kan tidak cerdik namanya. Bukankah awak tahu ini negara berkebudayaan timur, agama rasminya Islam!

Kalaupun yang menjadi ketua pentadbirnya bukan Islam, tidak semestinya boleh bogel ikut suka di mana sahaja. Kalau tidak tahan nak bogel sekalipun, bogellah dalam bilik sendiri. Tidakkah awak terfikir apa kesannya jika ada orang lain lalu, ada kanak-kanak nampak apa awak buat?

Bila sudah kena tahan, baru nak rasa malu kononnya. Tutup muka. Masa berbogel beramai-ramai, melompat, menari dan lari di tempat terbuka, tidak pula berasa malu!

Jiran saya baru balik dari Britain. Berpuluh gambar sekumpulan orang berbogel di jalan raya di kota London dirakamkan dalam telefon pintarnya untuk kenangan.

Berpuluh-puluh orang putih (ada juga empat lima kerat bangsa asing), yang muda dan tua. jantan betina, relaks sahaja kayuh basikal di tengah kota di siang hari tanpa seurat benang pun sempena kempen hijau kononnya.

Tak kanlah nak import tabiat buruk seperti itu ke negara ini! Mereka memang tidak malu pun dan tentu sudah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa yang merestui perbuatan tidak malu seperti itu.

Tapi di Malaysia? Kita ada agama, ada budaya, ada malu.

Sabda Rasulullah SAW: “Jika kamu tidak malu maka buatlah apa yang kamu mahu”.

Baginda menyebut lagi: “Sesungguhnya ALLAH, jika ingin menghancurkan seseorang, Dia akan mencabut rasa malu daripada orang itu. Apabila rasa malu itu dicabut (daripadanya), maka engkau akan menemuinya sebagai seorang yang dibenci dan menjijikkan.”

Tentunya ALLAH tidak beri nikmat ini semua untuk kita guna ikut suka kita sahaja.

Sesungguhnya, segala kelebihan adalah anugerah ALLAH. Oleh itu, kita wajib patuh kepada perintah ALLAH, tinggalkan laranganNya dan kagumlah hanya kepada ALLAH, bukan diri sendiri.

Sebagai umat yang taat, kita sentiasa sedar, insaf dan bersyukur atas nikmat penglihatan, pendengaran, suara dan segala-galanya yang ALLAH telah kurniakan kepada kita dengan percuma.