KITA wujud di dalam sebuah sistem memberi dan menerima yang boleh dikatakan teratur dan seimbang. Itulah juga yang diajarkan oleh ibubapa dan para guru di sekolah.

Buat baik dibalas baik, buat jahat dibalas jahat. Keadilan akan muncul jua akhirnya. Semua kejadian yang berlaku itu ada sebab dan akibatnya. Ia adalah hukum alam. Ia adalah adat dan peraturan yang tersusun rapi. Baguslah seandainya ia sentiasa begitu.

Namun, apakah itu semua begitu konsisten mengikut apa yang kita pelajari? Apakah bila kita menoleh ke kanan, ke kiri dan ke kanan kembali sebelum melintas jalan seperti yang diajar cikgu di sekolah itu menjamin kita selamat daripada kemalangan?

Pada hari ini, selain daripada memandang ke kiri dan ke kanan, kita perlu juga melihat ke atas. Meskipun tiada kereta yang akan melanggar kita dari langit, kita perlu ingat bahawa pada hari ini, ada banyak burung gagak yang bertenggek di atas wayar elektrik!

Maaf cakap… sebenarnya apa yang diajarkan di sekolah itu adalah yang ideal. Di dunia realiti, ia tidak begitu. Sememangnya bagus bila sewaktu belajar di sekolah dahulu kita diketengahkan dengan situasi yang ideal.

Tanpa mengetahui apa yang ideal, yang cantik dan sempurna, kita tidak akan mengenali apa yang hodoh dan cacat dalam kehidupan ini.

Namun, jika idealnya ialah buat baik dibalas baik dan buat jahat dibalas jahat, pada realitinya pula, yang sebaliknya boleh berlaku. Kita sendiri pernah berdepan dengan situasi di mana orang yang kita tolong itu menyusahkan kita ~ buat baik dibalas jahat.

Atau, kita marah dengan orang yang melanggar kereta kita, tetapi sebaliknya dia hanya menyahut bebelan kita dengan senyuman dan membayar kos membaiki kereta kita tanpa banyak soal ~ buat jahat dibalas baik.

Maknanya, ideal yang dipelajari di sekolah itu juga yang membikin kita terilusi dengan realiti. Begitu jugalah aspek keadilan dalam kehidupan kita. Keadilan adalah sesuatu yang suci dan ia mesti dipertahankan. Justeru itu, bila kita berasa kita teraniaya, kita akan memperjuangkannya secara bermati-matian.

Ada di antara kita yang menggunakan undang-undang bagi menuntut keadilan. Hingga ada yang tergelincir dalam mempertaruh ideal itu sampai ke tahap mengambil undang-undang di tangan sendiri mengikut hukum undang-undang rimba semata-mata kerana ingin menegakkan keadilan itu sendiri.

Namun, daripada sudut yang mudah, apakah kita sedar bahawa ketidakadilan itu sentiasa terjadi dalam kehidupan seharian kita? Boleh dikatakan juga kita sentiasa hidup dalam ketidakadilan!

Kita ambil sebuah contoh; tatkala beratur di pejabat pos, apabila tiba giliran kita, petugas meminta kita ke kaunter sebelah kerana waktu rehatnya sudah tiba! Adilkah?

Tatkala memandu, kita berasa boleh melepasi lampu hijau di persimpangan. Tetapi, oleh kerana kereta di hadapan kita itu begitu perlahan, peluang kita melewati simpang tidak akan kesampaian.

Bila lampu bertukar kuning, kereta itu tiba-tiba memecut melepasi lampu meninggalkan kita terhenti di lampu merah. Adilkah? Bagaimana pula perasaan kita apabila mesin imbas kad kredit di pasaraya tidak boleh membaca kad kita?

Kita tahu kad kredit kita tiada masalah tetapi kerana mesin pengimbas yang kokak itu yang membuatkan kita berasa malu! Adilkah?

Itu adalah di antara ketidakadilan kecil yang kita hadapi. Bagaimana pun, ada orang lain yang berdepan dengan ketidakadilan lebih mencabar. Ada banyak kes gadis-gadis yang terpenjara kerana menjadi keldai dadah. Bila tertangkap, mereka terpenjara.

Bukan salah mereka, tetapi itulah ketidakadilan. Dan, tragedi MH370 dan MH17 juga adalah kes ketidakadilan yang menimpa mangsa-mangsa, keluarga dan kita sebagai rakyat Malaysia.

Di peringkat yang lebih besar, ramai sekali para pemimpin dunia yang mengharungi ketidakadilan. Mahatma Gandhi, Nelson Mandela, Aung San Suu Kyi, Saddam Hussein dan Muammar Ghadaffi adalah di antara mereka yang menerima padah kerana memperjuangkan keadilan masing-masing.

Ketidakadilan, seperti juga keadilan itu ada di mana-mana. Ia muncul dan menyentuh jalan hidup kita. Kita boleh gembira apabila menerima keadilan, tetapi tidak perlu sampai meroyan seandainya keadilan tidak menyebelahi kita.

Sama ada kita berjaya atau malang apabila berdepan dengan soal keadilan, cukuplah Dia Yang Maha Mengetahui dan Yang Maha Mengadili. Bagi-Nya, bukannya gembira atau duka kita yang diambil kira, tetapi bagaimana kita menangani natijah keadilan itu sendiri seandainya ia tidak berpihak kepada kita.