MINGGU lalu saya diundang menyertai siaran langsung setengah jam di Radio BFM89.9 Petaling Jaya mengisi program pagi Breakfast Grille. BFM89.9 radio bahasa Inggeris fokus bisnes dan Breakfast Grille program popular bertujuan menghangatkan suasana pagi bisnes. Justeru, saya bersedia diuja habis-habisan oleh hos Khoo Hsu-Chuang, menjangkakan soalan provokatif beliau pasti membakar perasaan. Apa pun, bagi saya sesi berlangsung dengan baik dan memuaskan.

Sekali pun masa terhad, Breakfast Grille sempat meninjau beberapa isu, bermula dengan kenapa saya meletak jawatan mengejut CEO JCorp pada Julai 2010 setelah berkhidmat lebih 30 tahun. Ia disusuli perubahan iklim bisnes Johor membabitkan

“Superman” yang dijangka membawa implikasi besar terhadap pembangunan masa depan ekonomi Johor, juga negara.

Saya berpuas hati apabila bicara pagi itu juga berkesempatan menyentuh isu kelemahan Melayu dan umat Islam berbisnes. Pada akhir bicara saya berpeluang menjelaskan konsep Jihad Bisnes, iaitu idea tegas diperjuangkan sewaktu saya CEO JCorp dan kini menjadi antara agenda utama Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) untuk dibudayakan oleh semua ahli bisnes Melayu-Muslim.

Kenapa letak jawatan mengejut

Hsu-Chuang membuka bicara menggerudi sebab-musabab saya letak jawatan, mengulangi tanda tanya lama spekulasi masyarakat mengenainya. Beliau sengaja menguja menegaskan antara puncanya ialah: Pertama, prestasi bisnes JCorp tergugat ketidakcekapan saya sebagai CEO setelah beberapa bisnes gagal. Kedua, kegagalan dan kelemahan prestasi memaksa JCorp meminjam sehingga berhutang bank melebihi RM4 bilion. Dan ketiga, JCorp akhirnya terpaksa menjual aset dan bisnes strategik bernilai tinggi, termasuk bisnes sawit di Papua New Guinea tersenarai di Bursa London, iaitu permata paling bernilai pada mahkota JCorp (“crown jewel”).

Saya akui kelemahan berlaku terutama apabila JCorp agresif mempercambah peluang bisnes baharu bertujuan membuka luas peluang kerjaya bisnes untuk usahawan muda Melayu tanpa pengalaman. Yang penting, JCorp sebagai entiti korporat pelbagai bisnes, berjaya menentukan pelaburan menguntungkan jauh melebihi dan dapat menampung kerugian. JCorp nyata berwibawa setelah berjaya membangun lebih 280 syarikat pada akhir 2010, 7 daripadanya tersenarai di Bursa Malaysia dan 1 di Bursa

London, kesemuanya membabitkan warga kerja melebihi 65,000 orang. JCorp juga memimpin pasaran menerusi KPJ Healthcare Bhd dan Kulim Malaysia Bhd. Kejayaannya mengambil alih KFC dan Pizza Hut setelah bertarung sengit di pasaran mengagumkan, melipatgandakan nilai aset bisnes miliknya melestari penambahan nilai ekonomi.

Berhubung isu hutang pinjaman tinggi “membazirkan wang rakyat”, saya tegaskan sejak mula JCorp tidak menggunakan sesen pun wang rakyat, malah mengguna modal pinjaman sepenuhnya kerana tidak ada sumbangan modal atau geran kerajaan.

Kerajaan Johor beri JCorp RM10 juta pinjaman mula dalam bentuk aset Ladang Tebrau di Johor Bahru, yang JCorp bayar balik sepenuhnya mengguna sumber pinjaman jangka panjang Kerajaan Persekutuan. Sumber modal terbesar JCorp ialah pinjaman bank komersil swasta melebihi RM4 bilion, dan bukan duit rakyat.

Apa pun, hutang bank boleh menjejaskan rakyat jika JCorp rugi atau muflis. Sekali pun JCorp terjejas teruk Krisis Kewangan Asia 1998 dan tertekan setelah menggunakan pinjaman jangka pendek membiayai pelaburan jangka panjang, namun risiko muflis tidak timbul. JCorp berjaya dapatkan persetujuan gabungan bank menstruktur semula pinjaman setelah bank yakin keupayaan masa depan JCorp, juga kerana mendapat jaminan Kerajaan Persekutuan. Kekuatan profil aset milik JCorp, (nilai pasaran modal saham PLC milik JCorp pada akhir 2010 melebihi RM9 bilion) jauh melebihi nilai buku asetnya dan hutang pinjaman banknya sekitar RM4 bilion.

Justeru, tuduhan muflis dan insolvency tidak berasas sama sekali. Pada saya ia satu momokan naratif politik palsu terhadap JCorp kerana isu ini tidak pernah dibangkitkan sebelum saya letak jawatan.

Siapa Superman?

Hsu-Chuang, hos Breakfast Grille, menegaskan campur tangan politik punca peletakan jawatan, langsung membangkitkan spekulasi lama adanya tangan ghaib “Superman” Johor memaksa saya berbuat demikian. Kebetulan pada penghujung khidmat di JCorp saya menulis buku bertajuk “Khalifah ganti Superman”. Hsu-Chuang membayangkan pada persepsi awam Superman membabitkan sama ada Menteri Besar selaku pemimpin politik tertinggi atau pihak istana Johor. Saya menolak kaitan Superman dengan mana-mana individu tertentu, sebaliknya menegaskan Superman yang saya maksudkan berhubung kait dengan kuasa tangan-tangan ghaib menjuarai dan memperjuangkan ideologi kapitalisme global rakus, liar dan nafsu-nafsi diciplak dari Barat.

Untuk memperjelaskannya, sekali pun tidak saya sebut dalam wawancara Breakfast Grille pagi itu, berikut saya petik huraian relevan daripada buku “Khalifah ganti Superman”:-

“… sekali pun satu khayalan dan ciptaan imaginasi, sebenarnya (Superman) boleh merosakkan. Pertama, ia sengaja diperkenalkan orang kulit putih pada zaman ketika agenda supremasi berteraskan warna kulit sengaja ditonjolkan untuk menanam semangat mendominasi dunia, menguasai dan membolot segala-galanya bagi kepentingan mereka. …
Yang tidak kurang penting, watak Superman juga menegaskan nilai masyarakat Barat-Amerika khasnya yang mendewa dan mengutamakan kepentingan individu di atas segala yang lain. Justeru, watak Superman juga menggalakkan sikap nafsu-nafsi dalam kalangan pemimpin. Nilai angkuh, rakus, individualistik ekstrem dan nafsu-nafsi ditonjolkan menerusi watak Superman yang seharusnya kita di Timur, khasnya dalam kalangan umat Islam, perlu berhati-hati dan berwaspada.
Nilai-nilai ini, apabila sebati dalam jiwa dan mempengaruhi minda dan pemikiran, akan dijadikan budaya dan nilai yang disepakati masyarakat besar … mereka yang telah menciplak Superman akan menggunakan kuasa pemerintahan, kedudukan dan pangkat, pengaruh dan hasutan, untuk menjayakan agenda Superman. Justeru mereka harus ditentang.”

Jihad Bisnes memerangi Superman

Buku “Khalifah ganti Superman" seterusnya menegaskan:  “… (bagi) semua organisasi korporat dan GLC seumpamanya yang bercita-cita menerapkan nilai Islam ke dalam organisasi masing-masing dan berjihad menerusi bisnes, watak Superman perlu digantikan dengan “Khalifah” sebagai ikon. Superman yang simbolik kepada segala ciri budaya korporat kapitalis liar dan buas, individualistik dan materialistik, perlu diganti dengan budaya korporat amar makruf dan nahi mungkar berteras idealisme Jihad Bisnes.”

Selaku CEO saya juga tegaskan pendirian JCorp memerangi penswastaan menciplak Superman: “… JCorp tegas memilih untuk menswastakan kepentingan korporatnya, tetapi bukan kepada individu. JCorp mengutamakan penswastaan kepada institusi Waqaf Korporat. Dengan demikian JCorp menolak penswastaan kepada Superman pilihan (sama ada pada orang dalam organisasi mahu pun kepada orang luar). Tujuannya ialah supaya GLC seperti JCorp dapat menjamin kesinambungan dan mengekalkan hak milik bisnes, aset dan harta korporatnya untuk manfaat jangka panjang bangsa, agama dan negara serta generasi masa depan Melayu-Muslim khasnya.”

Di penghujung wawancara saya menggulung perbincangan dengan menegaskan saya menentang arus politik bukan kerana sengaja bersikap anti politik. Sesungguhnya, ahli bisnes dan korporat tiada pilihan selain menjayakan bisnes mengikut sepenuhnya mode atau kaedah bisnes dengan penuh disiplin komersil. Namun risikonya: mode/kaedah ini banyak bertentangan cara politik.

Pendekatan bisnes JCorp dan semua GLC wajib mengutamakan efisien dan produktiviti, tegas mengawal kos memburu prestasi tinggi, gagah menegakkan amanah mengawal aset tanpa kompromi dan komited menambah nilai korporat jangka panjang untuk manfaat semua.

Sebaliknya, perspektif politik, terutama mengikut gaya amalannya di Malaysia, kelihatan lebih bersifat berkompromi dan “berjual-beli” kepentingan jangka pendek bertujuan mengekalkan kuasa mempertahan kerusi memenangi PRU. Malangnya, kadang kala semua ini dilakukan tanpa mempedulikan, akhirnya yang dikompromi dan diperdagangkan ialah kepentingan jangka panjang bangsa, agama dan negara.