IFS Solutions Malaysia Sdn Bhd (IFS) menawarkan penyelesaian sistem perniagaan yang menekankan ketelusan dalam penyaluran maklumat, sekali gus memudahkan sesebuah syarikat membuat keputusan tepat berhubung langkah dan strategi perniagaan yang perlu diambil.

Syarikat penyedia perisian perancangan sumber perniagaan (ERP) itu menawarkan satu produk tunggal bersepadu yang menyokong pengurusan empat proses utama dalam perniagaan, iaitu perkhidmatan dan aset; pembuatan; projek; serta rantaian bekalan.

Naib Presiden IFS bagi Asia Tenggara, Sridharan Arumugam berkata, keunikan perkhidmatan disediakan syarikat itu terletak pada keupayaannya untuk menawarkan penyelesaian berbeza bagi setiap perniagaan, bergantung kepada keperluan pelanggan.

“Pelanggan boleh memilih daripada lebih 60 komponen (dalam perisian ERP) yang sesuai dengan industri mereka. (Sistem ini) fleksibel.

“Mereka hanya perlu membayar apa yang mereka benar-benar perlukan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurut Sridharan, ini berbeza dengan penyedia ERP lain yang memasarkan produk dalam satu pakej besar, disertai pelbagai komponen yang mungkin tidak diperlukan dalam sesuatu perniagaan.

Menjelaskan lebih lanjut, Sridharan berkata, syarikat dalam sektor pembuatan, seperti pengeluar kenderaan misalnya, mempunyai banyak unit perniagaan yang perlu diselarikan sebelum pengurusan dapat membuat keputusan tepat.

“Apabila kilang menerima maklumat tempahan, mereka perlu tahu jumlah sumber diperlukan untuk hasilkan produk ikut jumlah tempahan. Perisian IFS boleh beri mereka maklumat tepat,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan ERP daripada IFS yang sesuai untuk syarikat sederhana dan besar dapat mengelakkan risiko kerugian atau pembaziran sumber yang mungkin berlaku akibat penyampaian maklumat kurang tepat.

Namun, beliau mengakui di Malaysia, masih banyak syarikat keberatan bertukar kepada sistem bersepadu seperti disediakan IFS.

Katanya, ini menimbulkan risiko besar kepada syarikat tersebut terutama yang terlibat dalam sektor pembinaan.

“Dalam projek pembinaan, sebaik sahaja anda tandatangani kontrak, anda perlu uruskan jangkaan pelanggan yang sentiasa berubah-ubah.

“Mungkin hari ini pelannya begini, tetapi esok mungkin bertukar mengikut perkembangan (dalam projek pembinaan). Sistem IFS dapat mengatasi masalah ini kerana ia menyokong pengurusan subkontraktor, jadi jika ada perubahan dalam pelan, maklumat itu akan terus sampai kepada mereka dan tidak menyebabkan kerugian kos yang banyak,” jelasnya.

IFS yang mempunyai lebih 60 pejabat di seluruh dunia turut memperkenalkan penyelesaian mudah alih bersama-sama perisian mereka, membolehkan pengurusan syarikat mengakses pelbagai maklumat melalui peranti mudah alih untuk membantu mempercepatkan keputusan perniagaan serta meningkatkan produktiviti.

“Sekarang ini orang ramai tidak lekang dengan peranti pintar dan media sosial, jadi kami memperkenalkan penyelesaian mudah alih ini yang didatangkan dalam satu pakej sama dengan perisian kami,” katanya.

Mengulas jangkaan masa depan, Sridharan berkata, syarikat itu yakin jumlah pelanggannya akan meningkat terutama dengan pengenalan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menjelang April 2015.

Beliau berkata, ini kerana perisian IFS dikategorikan sebagai patuh GST.