KEHADIRAN orang tengah dilihat mengambil untung atas angin antara faktor golongan petani, penternak dan peladang menjadi ketinggalan dari segi ekonomi mereka.

Senarionya orang tengah tidak perlu bersusah-payah membanting tulang tetapi hanya bijak dalam pemasaran sehingga boleh untung besar.

Sikap orang tengah yang mengambil kesempatan dan menindas golongan petani, penternak dan peladang memberikan kesan antaranya pulangan yang diterima tidak menguntungkan dan pengguna pula tidak mendapat harga yang berpatutan.

Bagaimanapun, usaha membendung kegiatan orang tengah ini pasti mempunyai kekangan. Sejauh mana usaha kerajaan membantu ketiga- tiga golongan tersebut?

Petani mampu bergerak sendiri

Pengusaha sayur- sayuran dan buah-buahan mampu bergerak sendiri tanpa menggunakan orang tengah untuk memasarkan hasil tanaman mereka kerana ia lebih menguntungkan. Bagi pengusaha sayur- sayuran dan buah-buahan, Rusidi Abdul Aziz, 54 berkata, sejak menjadi petani sepenuh masa, dia menanam, menjual dan memasarkan sendiri hasil tanamannya.

Menurutnya, hasil diperoleh lebih menguntungkan kerana tidak menjadi mangsa permainan harga dan tindakan pemborong yang mengambil hasil tanaman dengan harga rendah. Dia menanam pelbagai jenis sayur di Klang.

“Setiap petang saya akan memungut hasil tanaman dan esoknya hantar ke beberapa kedai runcit sekitar Klang dan Shah Alam. Alhamdulillah, pulangannya mencecah RM3,000 sebulan,” katanya.

Hapuskan orang tengah

 Rusidi juga menjual hasil tanamannya di lima pasar tani disediakan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) di sekitar Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Selangor.

“Saya berpuas hati menjual sendiri kerana secara tidak langsung dapat berjumpa dengan pelanggan,” katanya.

Bagaimanapun katanya, orang tengah tidak boleh dihapuskan secara drastik dan ia perlu dilakukan secara berperingkat.
“Kerajaan perlu menyediakan prasarana dan kemudahan yang bersesuaian kepada petani. Alhamdulillah, saya dibantu Fama. Lesen pasar malam yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) sukar untuk dipohon. Susah untuk mendapat tapak berniaga dan banyak prosedur yang perlu dipatuhi,” katanya.

Pemborong ambil harga rendah

“Saya jual dengan harga berpatutan kepada pembeli dan meletakkan harga mengikut harga pasaran. Selalunya, saya  meletakkan harga lebih murah," katanya.

Rusidi berkata, dia tidak sesekali menjual kepada pemborong.

“Harga sayur yang dijual di pasar tani dikawal menyebabkan peniaga tidak boleh mengenakan harga mahal. Jika sayur dapat dijual 50 peratus sahaja di pasar tani, ia sudah mencukupi kerana untung lebih banyak berbanding menjualnya kepada pemborong,” katanya.

Rusidi juga pemborong

Rusidi berkata, bagi mengelakkan kawan-kawannya daripada menjual hasil tanaman kepada pemborong, dia sendiri akan memungut hasil tanaman mereka untuk dijual.

“Saya ambil dengan harga pasaran dan akan mengenakan caj perkhidmatan  40 sen sehingga 50 sen sekiranya terpaksa angkat sayur berat,” katanya.

Menurutnya, sekiranya menjual sendiri dapat mengelakkan daripada ditipu pemborong.

“Kadang- kala berlaku penipuan. Antaranya mereka ambil sayur tetapi menyatakan kepada pengusaha sayur yang sayur tidak dapat dijual.  Ada petani ditipu oleh pemborong licik,” akhirinya.