SHAH ALAM – Pengerusi Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali mengingatkan agar tiada tuduhan sembarangan dibuat soal pengagihan zakat.

Menurutnya, 95 peratus hasil kutipan zakat telah diagihkan kepada kumpulan sasar namun masih terdapat rungutan.

 “Memang semua pungutan yang kita peroleh boleh dikatakan lebih daripada 95 peratus diagihkan. Namun begitu, masih terdapat rungutan dan itu perkara biasa.

“Kita tak semudah itu mengagih-agihkan bantuan daripada MAIWP dan juga Baitulmal. Kita akan beri kepada kumpulan sasar yang benar-benar layak dan tidak mampu,” katanya kepada Sinar Harian Online ketika ditemui hari ini semasa lawatan ke Kumpulan Media Karangkraf (Karangkraf).

Jelasnya, proses pengagihan itu perlu teliti dengan kajian yang terperinci bagi mengelakkan penganiayaan.

“Kita nak bagi kepada yang betul-betul miskin, bimbang ada yang terlepas pandang. Kita harus buat kajian terperinci bagi elakkan penerima mendapat lebih sekali sebab orang lain yang betul-betul perlu macam mana?

“Oleh itu, kita tak boleh menuduh sembarangan bahawasanya segala kutipan itu tidak sampai kepada sasaran.(Kena) Lihat cara MAIWP, Baitulmal dan PPZ bekerja bagi membantu masyarakat Islam ketika ini,” katanya.

Sementara itu, menurut beliau kerjasama dengan Karangkraf dapat memberi ruang yang lebih dalam menyampaikan dakwah kepada masyarakat soal kepentingan zakat.

 “Kerjasama yang kita laksanakan dengan Karangkraf ini yang mempunyai pelbagai majalah dan akhbar dapat lebih memberi tumpuan bagi tujuan beri kesedaran kepada masyarakat.

“Dengan cara ini dakwah yang akan ditunjukkan PPZ dan Karangkraf sampai ke bawah serta semua orang faham betapa pentingnya zakat,” katanya.