15 tahun bergelar universiti, UiTM terus bantu perkasa ekonomi bumiputera - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

15 tahun bergelar universiti, UiTM terus bantu perkasa ekonomi bumiputera




KUALA LUMPUR, 1 Ogos – Selepas hampir 15 tahun memperoleh status universiti, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dilihat terus relevan sebagai  institusi pendidikan yang bertanggungjawab membantu Bumiputera mengimbangkan kedudukan ekonomi mereka.
Pada 26 Ogos 1999, Perdana Menteri pada waktu itu Tun Dr Mahathir Mohamad telah mengumumkan pertukaran nama Institut Teknologi Mara (ITM) kepada UiTM dengan aspirasi untuk melihatnya menjadi sebuah pusat pengajian tinggi bertaraf dunia yang terbaik.
Pro-Canselor UiTM Tan Sri Arshad Ayub berkata beliau melihat UiTM sebagai institusi yang penting buat Bumiputera di negara ini dan tanpanya sukar untuk golongan itu menguasai 30 peratus kek ekonomi negara seperti dihasratkan kerajaan.
“Kursus-kursus yang ditawarkan di UiTM boleh dikatakan berhaluan bekerja sendiri atau keusahawanan dan sektor swasta. Namun, sehingga kini Bumiputera masih belum mencapai tahap yang dikehendaki khususnya untuk yang di atas kumpulan berpendapatan sederhana, kita masih belum ramai lagi,” katanya kepada Bernama di sini.
Menurutnya sejak dahulu lagi, UiTM menyediakan kemudahan pendidikan dan prasarana terbaik bagi melahirkan modal insan Bumiputera untuk negara.    
Buktinya, UiTM menjadi universiti pertama di dunia yang mendapat pengiktirafan ISO 9001:2000 pada 5 Ogos 2004 yang meliputi pengurusan korporat, perkhidmatan sokongan, pengajaran dan pembelajaran.
Arshad, yang juga Pengarah pertama ITM pada 1966, bagaimanapun mengingatkan kakitangan pengurusan dan akademik UiTM untuk memperkuat jaringannya dengan sektor swasta bagi melahirkan lebih ramai modal insan Bumiputera dalam sector itu.
Menurutnya masih tidak ramai Bumiputera memegang jawatan di peringkat eksekutif, profesional dan sub-profesional dalam sektor swasta walaupun UiTM sebagai sebuah institusi pendidikan telah menyediakan peluang itu.
“Dalam pengalaman saya di beberapa syarikat, saya perhatikan tidak ramai Bumiputera berada di peringkat yang tinggi sungguhpun di peringkat pengarah kita ramai,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap pelajar-pelajar UiTM dapat menggunakan institusi itu sepenuhnya bagi menimba ilmu dan mengasah bakat mereka dalam semua bidang dan kepakaran sekaligus muncul graduan terbilang di dalam negara dan peringkat global.
Sejak penubuhannya, UiTM berjaya melahirkan lebih setengah juta graduan Bumiputera Melayu, Sabah dan Sarawak.
Oleh itu, Arshad menggesa alumni UiTM menyumbang kembali kepada institusi itu bukan sahaja dalam bentuk kewangan, malah menjadikan pelajar sebagai ‘anak angkat’ untuk berkongsi ilmu dan pengalaman industri bersama junior mereka.
“Dengan lebih 500,000 alumni…jika setiap satunya beri RM2,000 atau sekurang-kurangnya RM1,000 kita akan dapat kumpul RM500 juta atau RM1 bilion dalam masa satu tahun,” katanya.
Jika perkara itu tercapai, katanya terbukti Bumiputera kini sudah mampu berfikir ke arah kemajuan berasaskan pendidikan. – BERNAMA

Related Post

0 Komentar untuk " 15 tahun bergelar universiti, UiTM terus bantu perkasa ekonomi bumiputera "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ