SEORANG rakan yang juga Munsyi Dewan pernah memberitahu saya perkembangan bahasa Melayu di China amat membanggakan.

Ketika ingin membentangkan kertas kerja berkaitan bahasa Melayu di Beijing Foreign Studies University (BFSU), rakan saya itu meminta untuk disediakan LCD (liquid crystal display) bagi memudahkan pembentangan kertas kerjanya.

Amat mengejutkan apabila pegawai di situ menjelaskan mereka tidak memiliki LCD. Sudah pasti amat menghairankan kerana universiti yang sebesar itu tidak memiliki LCD, lalu rakan saya bercadang untuk membentangkan kertas kerjanya tanpa alat bantuan LCD.

Ketika ingin memulakan pembentangan kertas kerjanya di dalam bilik kuliah, rakan saya terlihat sebuah LCD yang sudah tersedia untuk digunakan.

Dengan perasaan hairan rakan saya mempersoalkan jawaban pegawai tadi yang mengatakan tidak terdapat LCD di situ.

Lalu pegawai itu menjelaskan alat itu tidak diistilahkan sebagai LCD tetapi sebagai “paparan hablur cecair”.

Bangganya hati rakan saya apabila melihat senario bahasa Melayu yang benar-benar diangkat di bumi asing. Untuk makluman, terdapat lebih daripada 100 pelajar China yang belajar bahasa Melayu di pusat pengajian berkenaan.

Teknologi merupakan bidang baharu di negara kita, sedangkan negara-negara Barat lebih dahulu mempeloporinya. Sehubungan itu, tidaklah pelik jika banyak istilah teknologi yang berasal daripada bahasa asing, terutama bahasa Inggeris.

Walaupun bidang sains dan teknologi dipelopori oleh negara-negara Barat, namun kita tidak seharusnya terus menggunakan istilah-istilah teknologi dalam bahasa Inggeris.

Kita mesti meyakini kemampuan bahasa Melayu untuk mengambil alih peranan bahasa Inggeris dalam bidang berkenaan.

Selain istilah sains dan teknologi, banyak lagi bidang lain yang memerlukan istilah dalam bahasa Melayu agar kita tidak terus-terusan menggunakan istilah tersebut sehingga menggambarkan seolah-olah bahasa Melayu ketandusan istilah.

Sekiranya bahasa Melayu tidak mampu memenuhi keperluan peristilahan, sudah tentu bahasa Melayu tidak diangkat menjadi lingua franca pada zaman Kesultanan Melayu Melaka.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 di Johor Bahru memainkan peranan yang berkesan untuk memartabatkan bahasa Melayu.

Peranan DBP yang penting untuk mengangkat martabat bahasa Melayu adalah dengan membina dan memperkaya bahasa kebangsaan dalam semua bidang termasuk sains dan teknologi; memperkembangkan bakat sastera, khususnya dalam bahasa kebangsaan; membakukan ejaan dan sebutan, dan membentuk istilah yang sesuai dalam bahasa kebangsaan serta menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul supaya dapat digunakan secara meluas bagi segala maksud mengikut undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

Istilah-istilah dalam bahasa Melayu yang dikeluarkan DBP berkaitan bidang sains dan teknologi bagi menggantikan istilah dalam bahasa Inggeris antaranya termasuklah pemacu pena bagi menggantikan pendrive, pemacu jari (thumbdrivbe), muat naik (upload), muat turun (download),  paparan hablur cecair (LCD-liquid cyrstal display), telesidang (teleconference), nirplag (unplugged), bual maya (virtual chat), perisian (software), capaian (access) dan banyak lagi contoh lain.

Istilah-istilah dalam bahasa Melayu yang berkaitan penamaan tempat, perniagaan, perhotelan dan umum antaranya ialah latar pentas (back-drop), anjung kopi (coffee terrace), kira detik (countdown), bilik acu (fitting room), teratak desa (homestead), inap desa (homestay), jualan perabis (clearance sale), daftar masuk (check-in), daftar keluar (check-out), bayar dan bawa (cash and carry), jualan raksasa (jumbo sale), kios (kiosk) dan peristirahatan (lounge).

Istilah-istilah lain termasuklah pinggir tasik (lakeside), megapura (megamall), hadap taman (parkview), megapuri (penthouse), persantaian (resort), jerayawara (roadshow), bas ulang alik (shuttle bus), stimbot (steamboat), kem bina diri (summer camp), bicarawara (talkshow), ujana teh (tea garden), pramusaji (waiter / waitress), dapur basah (wet kitchen), perkakasan (hardware), jeda (pause), bankuet (banquet), bufet (buffet), hotel jimat (budget hotel), pisang sejoli (banana split), minuman apung (float) dan lain-lain lagi.

Pengguna bahasa Melayu seharusnya berani menggunakan istilah-istilah teknikal dalam bahasa Melayu walaupun bunyinya agak aneh. Kita mengharapkan agar lama-kelamaan istilah ini akan menjadi istilah yang digunakan oleh semua orang.