MINGGU lalu saya cerita mengenai seorang kanak-kanak yang menggigil ketika menegur seorang pensyarah yang minum guna tangan kiri.

Kali ini saya ingin berkongsi kisah pekerja sebuah syarikat yang berhadapan dengan bos setelah ditangkap curi tulang.

Masalah bermula apabila dua staf, pada suatu pagi, 'swipe' kad daftar kedatangan di pintu masuk pejabat dan secepat kilat pecut kereta keluar pejabat. Apakah itu kali pertama atau taktik yang sudah jadi amalan tegar, wallahualam!

Rupa-rupanya aksi dan nombor kenderaan mereka dirakam oleh bos yang kemudian mengeluarkan arahan supaya mereka jumpa beliau atau nombor plat kenderaan mereka akan didedahkan.

Mereka pun menggeletar datang berjumpa bos. Selepas mendengar penjelasan, bos itu pun memaafkan mereka.

Dalam 'khutbah' ringkasnya, dia bagi tahu, staf boleh minta izin untuk keluar jika perlu, tapi kena ikut prosedur; isi borang dan sebagainya. Yang dia pantang adalah penipuan, dan curi tulang.

Ada yang cadang, untuk tutup pintu penipuan dalam kes lapor tugas dan tamat tugas, buat sahaja cara manual; kos tidak tinggi dan hasilnya jadi lebih berkesan. Saya tidak jamin.

Kalau tabiat suka menipu memang otak sentiasa berjalan untuk cari ruang menipu. Buatlah cara apa pun, ada sahaja cara  mereka cipta untuk menipu.

Barangkali ada yang fikirkan cara mengikatkan buku dengan rantai atau tali dan letak di sudut bilik bos. Semua kakitangan perlu isi waktu dan tanda tangan tiap-tiap kali masuk kerja dan waktu tamat bertugas. Tapi siapa boleh jamin keberkesanannya?

Takut-takut buku daftar itu pun lesap sekali! 

Kebiasaan menipu, curi tulang dan kes disiplin ini bukan perkara baharu yang kita percaya berlaku dalam kalangan kakitangan awam dan swasta. Kalau tidak masakan kita dengar pelbagai cerita yang tidak masuk akal di banyak tempat; kes tindakan disiplin, amaran dan buang kerja. Itu belum ambil kira kes-kes salah tadbir dan ketirisan yang kerap didedahkan melalui Laporan Ketua Audit Negara.

Kita kerap dengar cerita ada staf yang habiskan banyak masa di kantin atau luar pejabat di waktu bertugas, kes tuntutan palsu, surat cuti sakit palsu dan macam-macam lagi kepalsuan.

Tidak berapa lama dahulu, saya dengar cerita seorang kakitangan kerajaan ditangkap 'red handed' kerana mengambil cuti sakit sedangkan dia tidak sakit.

Sahaja nak jadi cerita, pada hari dia ambil surat cuti sakit yang ramai lebih kenal dengan MC, bos dia, seorang menteri besar, tiba-tiba sahaja terlintas di fikiran mahu menziarahinya.

Malang seribu kali malang bagi kakitangan itu, apabila MB dan rombongannya itu tiba - siap dengan sebakul buah-buahan - pekerja itu tiada di rumah. Dia pergi jalan-jalan ke rumah kawan. Memang dia cari nahas! Kalau tidak kena buang kerja dia patut syukur dan solat taubat.

Itulah kata orang, sepandai-pandai tupai melompat (entahlah sudah berapa kali kakitangan ini jadi tupai) jatuh ke tanah juga akhirnya.

Ada kisah staf yang selalu bergantung di telefon pejabat; berjam-jam berbual.

Apabila tiba bil dan bosnya cek, didapati setiap kali staf itu buat panggilan, cajnya lebih RM50.

Apabila disiasat, staf itu rupa-rupanya didapati selalu guna telefon pejabat untuk bercengkerama dengan kekasihnya.

Nasibnya baik. Dia cuma diarah bayar balik semua caj daripada panggilan asmaranya itu.

Apakah dia serik dan tidak lagi salah guna perkhidmatan telefon pejabat? Apakah dia seorang sahaja yang salah guna kemudahan pejabat? Kita tahu jawapannya.

Tunggu laporan Ketua Audit Negara yang akan datang dan bersedialah dengan pendedahan mengenai ketirisan, salah tadbir dan pengkhianatan amanah.

Saya percaya masa di bangku sekolah lagi, ramai dalam kalangan kita diperkenalkan dengan pantun/bidalan 'Siakap, senohong, gelama. ikan duri. Cakap bohong, lama-lama jadi pencuri'.

Renungan bersama: Dari Abdullah bin Umar, Nabi SAW bersabda: Empat perkara; sesiapa yang ada padanya keempat-empat perkara ini dia munafik tulen dan sesiapa yang hanya ada satu daripadanya, dia ada sifat nifak sehingga dia meninggalkannya.

Pertama: apabila diberi amanah, dia khianat, kedua: apabila bercakap, dia dusta, ketiga: Apabila berjanji dia mungkir dan keempat: apabila berkelahi dia melampaui batas.