SCOMI Engineering Bhd akan menyertai projek kereta api bawah tanah Line 18 - Bronze di Sao Paolo, Brazil, sejauh 15.5 kilometer.

Dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini, Scomi Engineering berkata ia akan menyediakan teknologi monorel.

Scomi Enginering berkata ketika ini ia sedang berbincang dengan konsortium empat syarikat yang memperoleh projek tersebut untuk menyediakan teknologi gerabak dan perkhidmatan penyelenggaraan.

"Projek itu dijangka memberi sumbangan kepada pendapatan kumpulan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Mac, 2016," kata syarikat itu.

Konsortium empat syarikat itu terdiri daripada Primav Construcoes e Comercio S/A, Construtora Cowan S.A., Encalso Construcoes Ltda dan e Benito Roggio Transportes S/A. 

Projek Kereta Api Bawah Tanah Line 18-Bronze itu melibatkan dua fasa. 

Fasa pertama adalah pelaksanaan prasarana bagi tempoh 48 bulan, dan Fasa kedua bagi operasi dan perkhidmatan penyelenggaraan bagi tempoh 21 tahun.

Monorel itu akan memiliki 13 stesen, satu depot dan tiga terminal pertukaran.

Sementara itu, dalam pengumuman berasingan Scomi Engineering berkata dagangan sahamnya diteruskan daripada pukul 10.01 pagi hari ini, selepas dihentikan selama sejam.  - Bernama