Sains menjelaskan hikmah mulut berbau sewaktu berpuasa - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Sains menjelaskan hikmah mulut berbau sewaktu berpuasa




Masalah nafas berbau atau halitosis ketika berpuasa adalah perkara biasa yang sering kita alami. Namun, pasti ramai yang ingin tahu mengapa ia berlaku. Pastinya ada fakta sains yang menjelaskan bagaimana halitosis berlaku dan hikmahnya.
Daripada Abu Hurayrah katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Allah s.w.t. berfirman: Setiap amalan anak Adam adalah baginya kecuali puasa. Sesungguhnya ia untuk-Ku dan Aku membalasnya. Puasa itu perisai. Apabila hari seseorang itu berpuasa maka janganlah dia mengeluarkan kata-kata tidak senonoh dan janganlah dia menengking. Sekiranya ada orang yang memakinya atau mahu bertengkar dengannya maka hendaklah dia memberitahu bahawa saya sedang berpuasa. Demi yang nyawa Muhammad di Tangan-Nya,bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari kasturi. Bagi orang yang berpuasa itu dua kegembiraan, apabila berbuka dia gembira dan apabila bertemu dengan Tuhannya dia gembira dengan puasanya.” (al-Bukhari: 1904, Muslim: 1151)
Halitosis juga diungkapkan secara jelas oleh baginda dalam hadis diatas yang menggambarkan bau mulut orang yang berpuasa lebih harum di sisi Allah dari kasturi. Ini sangat bertepatan dengan perubahan fisiologi dalam badan yang Allah SWT memberi ilmu kepada manusia untuk mengambil hikmah.
Ringkasnya halitosis disebabkan bila pengeluaran air liur atau saliva berkurangan sewaktu berpuasa akibat tiada minuman dan makanan yang diambil. Ini menyebabkan kurangnya oksigen dan bakteria kumpulan anaerob akan membiak dengan banyaknya. Walaubagaimanapun, bau mulut kurang berlaku diwaktu pagi. Ini kerana bakteria tersebut perlukan masa beberapa jam untuk berkumpul didalam mulut dan membentuk ‘protein rich biofilm’ atau coating. Apabila bakteria ini telah berkumpul didalam biofilm, mereka akan memecahkan protein kepada amino acids tertentu untuk menghasilkan tenaga. Dalam proses pemecahan ini, ‘volatile sulphur compounds’ sebagai bahan hasil dilepaskan dan ini mengeluarkan bau mulut (bad breath). Jadi bau mulut yang dimaksudkan dalam hadis diatas adalah akibat berlaku perubahan persekitaran dalam mulut dan pembebasan ‘sulphur’ akibat tindakan bakteria anaerob.
Pada waktu yang sama didapati lebih 800 species bakteria tersedia ada didalam mulut kita. Bakteria ini dikategorikan sebagai ‘naturally-occuring bacteria’ yang banyak dijumpai di dasar belakang lidah. Ini kerana kawasan lidah tersebut sering kering dan agak susah untuk dibersihkan. Banyaknya bakteria dikawasan lidah belakang ini juga menyumbang kepada pengeluaran bau apabila kita berpuasa.
Sewaktu berpuasa kita sangat digalakkan untuk kurang bersembang dan mengumpat perkara yang sia-sia. Ini sangat bertepatan dengan amalan berpuasa kerana dengan lebih banyak bercakap mulut akan menjadi kering. Justeru akan lebih banyak bakteria membiak bila mulut bertambah kering sepertimana penerangan diatas yang menyebabkan mulut berbau.
Pastinya banyak hikmah lain dalam berpuasa. Namun perubahan fisiologi dalam tubuh badan sewaktu berpuasa sebagai salah satu tanda Maha KuasaNya Allah dalam penciptaan manusia sehingga bakteria yang sekecil itupun boleh berubah peranannya. Semoga kita menjadi hambanya yang bertakwa.
Penulis:
Prof. Azizi AyobSetiausaha Agung I-Medik (Ikatan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia)Professor Pharmacology di International Medical University (IMU)Diploma Islamic Studies (IIUM), MD (UKM) dan PhD (IIUM)
http://www.ismaweb.net/2014/07/sains-menjelaskan-hikmah-mulut-berbau-sewaktu-berpuasa/
0 Komentar untuk " Sains menjelaskan hikmah mulut berbau sewaktu berpuasa "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ