NAMPAKNYA Ramadan dan Syawal menjadi bulan rezeki bagi mereka yang mengusahakan perniagaan perkhidmatan katering.

Ini kerana, pendapatan yang diperoleh tidak kira pada bulan puasa mahupun hari raya amat menggalakkan berbanding dengan hari-hari biasa.

Menurut pemilik N’Dah Catering & Wedding Planner, Juraidah Asmoni, pendapatannya meningkat dengan mendadak pada bulan Ramadan.

“Alhamdulillah, pendapatan yang saya terima meningkat melebihi 50 peratus daripada pendapatan saya pada bulan-bulan sebelumnya.

“Boleh dikatakan hampir setiap hari saya menerima tempahan katering tidak kira daripada syarikat mahupun orang perseorangan,” katanya yang sudah menjalankan perniagaan katering selama lapan tahun.

Juraidah menjelaskan kebanyakan tempahan katering yang diterima adalah daripada syarikat-syarikat mahupun jabatan-jabatan yang akan mengadakan majlis berbuka puasa untuk pekerja mereka.

“Untuk tempahan syarikat, saya menerima tempahan makanan untuk 200 hingga 500 orang tetamu manakala untuk individu, saya pernah menerima tempahan makanan untuk hanya lima orang makan.

Ditanya mengenai pendapatan dan tempahan yang diterima untuk majlis-majlis sempena Aidilfitri kelak, beliau menjelaskan pihaknya tidak dapat untuk menerima sebarang tempahan katering pada bulan tersebut.

“Hari raya nanti pihak kami terpaksa menolak tempahan katering untuk majlis-majlis Aidilfitri memandangkan kami perlu memenuhi tempahan untuk majlis-majlis perkahwinan.

“Tetapi jika dilihat pada tahun lalu, pendapatan yang saya terima pada Aidilfitri lebih kurang sama dengan pendapatan yang diterima semasa bulan Ramadan,” katanya.

Beliau turut menyatakan harga katering yang ditawarkan oleh pihaknya masih kekal berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya.

“Walaupun harga bahan-bahan mentah sudah naik, saya masih kekal dengan harga yang sama. Saya tidak boleh naikkan harga sebab kuasa pembeli berada di tangan pelanggan. Saya akan tawarkan harga yang sama dan berpatutan dengan makanan dan servis yang diterima oleh pelanggan.

“Kalau saya naikkan harga juga, saya akan kehilangan pelanggan lebih-lebih lagi sudah banyak persaingan dan masih banyak perkhidmatan katering yang menawarkan harga yang lebih murah kepada pelanggan. Jadi, tidak mustahil pelanggan akan lari kepada perkhidmatan katering yang lebih murah harganya,” katanya.


Tidak naikkan harga

Bagi pemilik Restoran Aroma Hijrah, Rohani Hassan yang turut mengakui pendapatannya semakin meningkat pada bulan Ramadan dan menjelangnya Syawal.

“Walaupun saya menjalankan perniagaan restoran, namun saya turut memiliki perkhidmatan katering yang bernaung di bawah nama yang sama dan sudah beroperasi hampir dua tahun.

“Pada bulan puasa, pendapatan saya meningkat sebanyak 20 peratus berbanding dengan hari-hari biasa dan selalunya untuk hari raya, saya turut memperoleh jumlah peningkatan pendapatan yang serupa,” katanya yang menawarkan menu makanan Arab untuk para pelanggan.

Menurut beliau, pelanggannya terdiri daripada orang-orang perseorangan mahupun syarikat-syarikat yang menyediakan majlis berbuka puasa untuk para pekerja.

“Kebiasaannya saya menerima tempahan katering yang melibatkan 100 hingga 500 orang pelanggan.

“Dan saya akan mengenakan bayaran sebanyak RM20 bagi setiap individu,” katanya.

Rohani turut menyatakan harga yang ditawarkan kepada pelanggan tidak pernah meningkat meskipun harga barang-barang mentah semakin tinggi.

“Harga yang dikenakan sangat berpatutan dengan kuantiti yang ditawarkan oleh pihak kami.

“Sukar untuk mencari kedai yang menjual makanan Arab dengan harga serendah itu,” katanya.

Sementara itu, pemilik C.T Catering Sdn Bhd, Siti Fathimah Md Akhir berkata perniagaan katering yang diusahakan oleh ahli keluarganya tidak menunjukkan peningkatan yang mendadak pada bulan Ramadan namun semakin memberangsangkan apabila menjelangnya Syawal.

“Katering saya tetap mendapat sambutan pada bulan puasa. Tetapi pendapatan yang diperoleh hanya meningkat lebih kurang 10 peratus sahaja berbanding bulan-bulan sebelumnya.

“Kebiasaannya tempahan katering semakin meningkat menjelangnya sambutan Hari Raya Aidilfitri. Pelanggan lebih banyak membuat tempahan untuk majlis-majlis rumah terbuka pada hari raya nanti,” katanya.

Beliau yang sudah menjalankan perniagaan katering selama 16 tahun menyatakan kebanyakan tempahan yang diterima adalah untuk majlis di syarikat-syarikat atau pun jabatan.

“Tak kira untuk majlis berbuka puasa atau majlis rumah terbuka, banyak tempahan saya terima daripada jabatan-jabatan atau syarikat. Saya kurang terima tempahan daripada individu untuk majlis berbuka puasa atau majlis rumah terbuka yang diadakan di rumah.

“Tempahan untuk syarikat selalunya untuk 400 hingga 500 orang tetamu dan untuk individu yang tempah bagi majlis di rumah sendiri selalunya untuk 100 hingga 200 orang tetamu,” katanya yang pernah menerima tempahan katering untuk syarikat besar seperti Malaysia Airports Holdings Bhd.