Munajat bagi kesejahteraan negara - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Munajat bagi kesejahteraan negara

SELURUH rakyat Malaysia masih lagi sedih dan tersentak dengan tragedi MH17 yang tidak pernah terlintas akan berlaku ke atas pesawat negara. Sehingga artikel ini ditulis, paparan media yang cukup menyayat hati memperlihatkan ratusan mayat mangsa bergelimpangan di tepi jalan tidak dipedulikan.

Kelihatan riak wajah Perdana Menteri  Datuk Seri Najib Tun Razak juga menggambarkan kesedihan mendalam. Ini lebih terserlah dalam ucapan penutup Program Nur Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan di Masjid Al-Najihin, Bandar Seri Permaisuri Ahad lalu.

“Sebagai seorang pemimpin, tiada peristiwa begitu menyayat hati berbanding dengan apa saya alami semalam. Isteri kehilangan suami, bapa kehilangan anak. Bayangkan perasaan mereka yang sudah tentu mengalami satu kehilangan yang tak boleh digambarkan”.

Ternyata kata-kata bernada syahdu ini bukan sahaja dirasai oleh beliau dan anggota keluarga terlibat, bahkan setiap rakyat Malaysia turut berasai kepedihan ini.

Namun yang pasti tragedi ini sudah tentulah suatu musibah yang punya seribu satu hikmah yang kita sendiri belum dapat memahami secara tuntas. Sebagai orang Islam, kita harus pasrah dengan ketentuan ALLAH yang hakikatnya sedang menguji setiap warga Malaysia.

Walau bagaimanapun, ia tidaklah bermakna apa yang berlaku dibiarkan berlalu. Sebagai warga yang berdaulat, rakyat Malaysia berhak menuntut pihak bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan kerana melakukan sesuatu yang tidak berperikemanusiaan.

Kita serahlah kepada kebijaksanaan kerajaan kita yang diterajui Perdana Menteri untuk merencanakan tindakan yang wajar bagi mendapatkan keadilan bukan sahaja kepada waris mangsa tetapi kepada seluruh rakyat Malaysia.

Yang utama sekarang ini untuk diusahakan agar semua mayat mangsa dapat dibawa pulang dan diuruskan pengebumian secara terhormat mengikut lunas agama.

Bagi kita rakyat marhaen, sama-samalah menggunakan kesempatan  di penghujung Ramadan yang terhidang malam  penuh barakah iaitu Lailatulqadar untuk bermunajat dan memohon setulusnya daripada Yang Maha Berkuasa.

Sesungguhnya apa yang berlaku hanya dengan keizinan-Nya. Maka kita sebagai hamba-Nya yang lemah dan hina mestilah meminta dan memohon rahmat dan pertolongan daripada ALLAH semata-mata.

Apa yang mendukacitakan, apabila umat bagaikan mati rasa dan tidak mempedulikan apa  berlaku ketika ini. Tradisi persiapan menyambut hari raya di 10 malam terakhir sering kali menyebabkan kita lupa akan kelebihan besar yang dijanjikan ALLAH pada malam-malam penghujung Ramadan  ini. Lagu-lagu raya yang semakin rancak berkumandang turut memuncakkan nafsu untuk berpesta bagai Aidilfitri sudah tiba.

Budaya dan tradisi berpesta-pesta seperti ini pastilah bertentangan sama sekali dengan amalan dan sunnah yang diajarkan Nabi Muhammad SAW. Rasulullah sebaliknya mengajarkan umatnya agar melipat gandakan ibadah pada 10 malam terakhir Ramadan melebihi malam-malam Ramadan  lain. Dalam satu riwayat hadis: Adalah Nabi SAW beribadah dengan lebih bersungguh-sungguh dan kuat pada 10 malam terakhir Ramadan, tidak sebagaimana Baginda beribadah pada malam-malam yang lain. (Riwayat Muslim, Hadis No.1175)

ALLAH menyebut secara jelas dalam al-Quran: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam al-Qadar. Dan bagaimana engkau dapat mengetahui kebesaran Malam al-Qadar itu? Malam al-Qadar lebih baik dari seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!  (Al-Qadr: 1-5)

Begitulah penegasan ALLAH mengenai kemuliaan dan keberkatan malam al-Qadar yang begitu difahami Rasulullah SAW yang turut bersungguh-sungguh melakukan ibadah untuk mengejar Lailatulqadar ini. Disebut pula dalam hadis yang lain: “Adalah Nabi SAW  beriktikaf padanya dan berusaha mencari malam al-Qadar darinya (malam-malam Ramadan). (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Bayangkanlah sekiranya Nabi SAW yang maksum (terpelihara daripada sebarang dosa) itupun begitu hebat beribadah kepada ALLAH pada malam-malam Ramadan terakhir ini, pastilah kita sebagai umat yang berterusan bergelumang dosa dan noda seharusnya berusaha lebih gigih untuk dapatkan malam al-Qadar.

Ambillah kesempatan berdoa untuk kebaikan dan kesejahteraan negara kita tercinta agar terpelihara daripada segala bala bencana dan musibah sebagaimana tragedi MH370 dan MH17. Juga jangan dilupa saudara-saudara kita di bumi Gaza yang sedang diganyang Israel.


* Penulis ialah Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

0 Komentar untuk " Munajat bagi kesejahteraan negara "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ