UNIKNYA agama Islam ianya mendukung sifat kesejagatan. Ia adalah agama rahmah alamiah (wama ar salna kailla rahmatan lil’alamin). Anutannya tidak hanya terbatas di kalangan umat Arab saja tetapi ia dianuti hampir semua bangsa di dunia ini.

Sebagai agama rahmah alamiah Islam mempunyai penganut di negara-negara Arab, Cina, India, Rusia, Eropah, Asia, Afrika dan banyak tempat lagi. Sifat agama Islam itu mengajak manusia kembali kepada fitrah iaitu kembali kepada aqidah tauhid. Akidah tauhid menjadi asas kesatuan umat manusia.

Sepanjang sejarah Islam dakwah dan tarbiyyah menjadi landasan utama mengajak manusia meninggalkan syirik dan faham keberhalaan supaya kembali menyembah ALLAH Yang Satu sebagai Tuhan dan Pencipta, Pengurus Atas Segala.

Islam pernah tampil sebagai sebagai suatu tamadun dan ia memberi pencerahan kepada Barat dan Timur selama 700 tahun. Tamadun Islam tidak saja memberikan kekuatan rohaniah kepada pemeluknya tetapi juga kehebatan cara hidup khususnya dalam bidang ilmu-ilmu sains dan teknologi.

Islam adalah agama yang tidak menolak kemajuan dan perubahan. Kemajuan Islam mengambil kira tidak saja kemajuan sumber tetapi kemajuan manusia itu sendiri. Kemajuan manusia diukur daripada akhlak yang baik, amanah yang tinggi, keikhlasan dan keadilan yang nyata.

Perubahan dalam Islam tidak saja bersifat bentuk (form) tetapi terkandung substance atau isi dan makna. Tanpa isi dan makna perubahan lebih banyak berorientasi kebendaan dan nafsu-nafsi tetapi tidak mengarah kepada pekerti teladan yang baik.

Fahaman dan ideologi yang berkembang di Barat hari ini lebih banyak memberi fokus kepada penunaian hak asasi manusia yang menolak agama. Ia akhirnya merintis jalan kepada anarki. Anarki berpendirian agama itu membelenggu, rasionaliti adalah segala-gala, kebenaran mutlak tidak pada agama, ia terletak pada akal.

Islam sebagai agama yang memiliki kualiti sejagat meraikan kelainan budaya, perbezaan tradisi, kepelbagaian bahasa dan tamadun dan melalui proses adaptasi dan asimilasi sehingga ruh kepada pemikiran dan amalan berada dalam kerangka fitrah.

Al-Quran dalam Surah al Hujurat ayat ke-13 mengungkapkan dengan jelas asas kepelbagaian kejadian manusia dengan proses litarrafu atau kekenalan. Asas kesalingan ini amat penting supaya ruh Islami yang sifatnya merentasi menjadi pedoman kepercayaan dan amalan dan sifatnya tidak bercanggah.

Orang Cina umpamanya makan menggunakan sepit kerana jenis makanannya adalah mi dan sup. Ia adalah suatu budaya. Orang Melayu makan menggunakan tangan kerana jenis makanannya adalah nasi. Apa pun cara mereka makan yang penting makanan itu adalah dari sumber yang halal.

Begitulah cara berpakaian orang Islam yang mengikut iklim dan budaya. Orang Melayu memakai baju kurang tetapi menutup aurat. Bangsa lain juga memakai ikut budaya mereka tetapi menutup aurat. Baik musim sejuk atau panas batasan aurat dijaga. Ia selari dengan tuntutan agama.

Orang Melayu menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengucapan dan komunikasi tetapi isi kepada bahasa itu ialah sesuatu yang tidak bercanggah. Terhadap ribuan istilah al-Quran digunapakai dalam bahasa Melayu.

Hal yang sama boleh berlaku pada bahasa Urdu dan bahasa-bahasa yang lain, meskipun mempunyai perbezaan tetapi isi dan makna yang disampaikan ialah sesuatu yang Islami. Itulah kesejagatan Islam.