SEMUA bahasa di dunia meminjam perkataan daripada bahasa asing bagi memenuhi keperluan peristilahan dalam bidang-bidang tertentu. Proses peminjaman membuktikan bahawa bahasa berkenaan telah berkembang maju dan tidak berada dalam keadaan statik. Proses peminjaman ini juga membuktikan bahasa Melayu turut berkembang selari dengan bahasa-bahasa utama lain di dunia. Istilah daripada bahasa Inggeris merupakan antara istilah yang banyak dipinjam oleh bahasa Melayu selain bahasa Arab, Sanskrit dan lain-lain lagi.

Proses peminjaman yang dilakukan telah melibatkan penyesuaian huruf-huruf konsonan tertentu dalam bahasa Inggeris kepada huruf konsonan tertentu dalam bahasa Melayu. Contohnya c menjadi s (cent = sen), c atau cc menjadi k (card= kad, account = akaun),  ch menjadi c (cheque = cek, charge = caj), cc menjadi ks (access = akses), ch menjadi k (technique = teknik), ph menjadi f (graph = graf), sc menjadi s (science = sains), sc menjadi sk (scale = skala, screw = skru), s menjadi z (music = muzik, physic = fizik), q menjadi k (quality = kualiti, quota = kuota), th menjadi t (theory = teori, thesis = tesis), x menjadi ks (express = ekspres, complex = kompleks) dan y menjadi i (economy = ekonomi, analysis = analisis).

Dalam proses penyesuaian perkataan pinjaman juga telah berlaku pengguguran satu daripada gabungan huruf konsonan yang sama, contohnya bb = b (lobby = lobi, hobby = hobi),    ff = f (effective = efektif, traffic = trafik, efficient = efisien), gg = g (aggressive = agresif),  ll = l (pill= pil, bill= bil), mm = m (comma = koma), nn = n (annuity = anuiti, tennis = tenis), ss = s (asset = aset, process = proses), tt = t (lottery = loteri, battery = bateri) dan zz = z (jazz = jaz).

Proses peminjaman ini juga telah melibatkan penyesuaian huruf bagi gabungan dua huruf vokal, contohnya au = au (audit = audit, automatic = automatik), ea = ea (idea = idea, gear = gear), ea = i (grease = gris, cream = krim), ia = ia (dialect = dialek), ei = ei (protein = protein), ie = i (calorie = kalori), ee = i (mee = mi), iu = iu (premium = premium, stadium = stadium), ou = au (accountant = akauntan, pound = paun), ou = u (coupon = kupon, serious = serius), oa = o (coat = kot, cardboard = kadbod), oo = u (boot = but) dan ue = u (tissue = tisu, issue = isu).

Dalam keadaan-keadaan tertentu, gugus konsonan dalam bahasa Inggeris dikekalkan dengan beberapa penyesuaian, contohnya block = blok, classic = klasik, clinic = klinik, draft = draf, cream = krim, credit = kredit, comprehensive = komprehensif, protocol = protokol,  store = stor,  prism = prisma, plasm = plasma dan organism = organisma.
Huruf  g  yang diucapkan sebagai [j] menurut sebutan bahasa Inggeris, ditulis sebagai g dan disebut [g] dalam bahasa Melayu contohnya, generation = generasi, technology = teknologi, tragedy = tragedi, psychology = psikologi, agenda = agenda dan agent = agen, ejen (wakil).

Kata yang asalnya berakhir dengan -sion, -tion, -tional telah dilakukan beberapa penyesuaian contohnya, -sion = -syen (television = televisyen), -tion = -si (tradition = tradisi),  -tion = -si (action = aksi), -tion = -sen (lotion = losen), -tion = -sen (immigration = imigresen), -sion = -syen (section = seksyen), -tional = -sional  (national = nasional) dan       -tional = -sional (traditional = tradisional).

Pengejaan kata yang berakhir dengan -ism dalam bahasa Inggeris menjadi –isme dalam bahasa Melayu, contohnya nasionalism = nasionalisme, communism = komunisme, dan socialism = sosialisme.

Pada asalnya penggunaan istilah-istilah daripada bahasa Inggeris yang baharu ini berdasarkan penggunaan popular yang tidak tersusun, tetapi melalui peranan yang telah dimainkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, proses pembentukan kata ini menjadi lebih tersusun dan sistematik.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur