Dr Mujahid: Penghalang atau pembela LGBT? - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Dr Mujahid: Penghalang atau pembela LGBT?




Draf Rang Undang-undang Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi tidak mengiktiraf orientasi seks pengamal perlakuan LGBT, sebaliknya, rang undang-undang itu melindungi hak golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender untuk tidak didiskriminasikan dalam aspek seperti bidang pekerjaan, kata Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang dan Dasar, Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN), Datuk Dr Mujahid Yusof, sebagaimana dilaporkan oleh portal media liberal Malaysiakini.
Alhamdulillah bersyukur kepada Allah dan tahniah kepada Datuk Dr Mujahid kerana draf rang undang-undang  ini tidak mengiktiraf orientasi seks pengamal perlakuan LGBT.
Datuk Dr Mujahid,
Tidak mengiktiraf sesuatu kelompok tetapi melindungi hak kelompok berkenaan? Tidakkah pelik bin ajaib bunyinya. Apakah erti tidak diiktiraf? Bukankah ia bererti bercanggah dengan peraturan negara? LGBT tidak diiktiraf di Malaysia. Mengamalkan LGBT adalah salah di sisi undang-undang Malaysia. Pengamal LGBT ialah pesalah. Lalu bagaimana mungkin pesalah LBGT boleh hidup aman dengan mengamalkan LGBT dan bekerja di Malaysia? Malah, dijamin haknya untuk bekerja serta tidak boleh didiskriminasikan dalam pekerjaan?
Kita tidak mengiktiraf negara haram Israel, tetapi kita melindungi hak orang Israel untuk duduk dan bekerja di wilayah Palestin yang dijajah Israel?
Sebelum berbicara soal diskriminasi pekerjaan, terlebih dahulu perlu dibicarakan status pengamal LGBT di Malaysia. Pengamal LGBT tidak perlu malah tidak boleh  dibenarkan hidup bebas di Malaysia. Mengamalkan LGBT ialah kesalahan di sisi undang-undang Malaysia. Pengamalnya mesti dikenakan tindakan undang-undang.
Sebagai majikan, adakah anda mahu memberikan pekerjaan kepada pengamal LGBT yang pastinya dikenakan tindakan undang-undang? Adakah anda mengamalkan diskriminasi jika anda tidak mahu memberikan pekerjaan kepada pesalah undang-undang?
Rang Undang-undang Keharmonian Nasional dan Rekonsiliasi untuk melindungi hak golongan LGBT untuk tidak didiskriminasikan dalam bidang pekerjaan adalah tidak perlu kerana kewujudan golongan LGBT itu sendiri adalah tidak perlu, malah mengamalkan LGBT adalah tidak dibenarkan di sisi undang-undang negara.
“Ia (LGBT) duduk di bawah gender dan kita tidak boleh mendiskriminasikan seseorang itu atas asas jantina. Dalam jantina itu kita sebut orientasi seksual antara lainnya,” kata Dr Mujahid lagi.
Kita bersetuju bahawa tidak boleh melakukan diskriminasi berdasarkan jantina tetapi kita bertanya di bawah gender apakah dan dalam jantina apakah terletaknya orientasi seksual LGBT? Lelaki atau perempuan? Atau ada jantina lain di sisi Dr Mujahid? Ia adalah rahsia yang terbuka bahawa LGBT bukanlah jantina. Lelaki dan perempuan ialah jantina tetapi LGBT bukan jantina. LGBT tidak lain hanyalah perlakuan sumbang yang didasarkan oleh kemahuan hawa nafsu manusia semata. Lalu mengapa ada kumpulan bersungguh-sungguh berjuang agar masyarakat dunia menerima dan mengiktiraf LGBT sebagai jantina selain lelaki dan perempuan? Tidak lain hanyalah untuk menghalalkan kemahuan nafsu serakah mereka sahaja agar tidak lagi menjadi kesalahan di sisi undang-undang dan tidak lagi dipandang jelek oleh masyarakat yang bertamadun.
Sebagai pejuang Islam rahmatan lil ‘alamin yang gigih berdialog dengan orang bukan Islam, Dr Mujahid sepatutnya telah lama jelas perbezaan antara sibghah Allah (acuan Islam) dengan acuan Barat, antara hak asasi manusia tajaan Barat yang kafir dengan hak asasi manusia yang telah digariskan sendiri oleh Allah swt dan antara pandangan alam Barat dengan pandangan alam Islam. Manusia kafir mencorakkan hak asasi manusia berdasarkan logik akal semata tetapi manusia muslim mencorakkan hak asasi manusia berdasarkan wahyu Ilahi.
Kita sangat berharap agar Datuk Dr Mujahid jangan mudah terpengaruh dengan idea-idea Barat yang jelas bertentangan dengan Islam. LGBT sebagai satu jantina atau LGBT duduk di bawah kategori  jantina ialah idea Barat. Ada sebab kenapa idea itu diasaskan dan diperjuangkan. Idea itu ternyata sekali bertentangan dengan Islam. Lalu kenapa Dr Mujahid sebagai seorang Islam malah seorang pejuang Islam sejati mesti menerima idea Barat yang bertentangan dengan Islam? Deen mereka untuk mereka dan deen kita untuk kita. Kita tidak mesti tunduk kepada idea songsang mereka jika benar kita mahu sebarkan Islam sebagai rahmat kepada mereka. Kitalah yang mesti menghalang kesalahan malah kefasadan mereka lalu membentangkan kebenaran Islam kepada mereka jika benar Islam itu rahmat untuk mereka.
Dr Mujahid sebagai seorang tokoh Islam yang hebat jangan terlalu lurus bendul menghadapi pencatur-pencatur agenda Barat yang jelas bertentangan Islam. Islam menyuruh kita bertoleransi dengan orang bukan Islam tetapi Islam tidak menyuruh kita menggadaikan prinsip dengan memaksa diri  kita untuk menerima kebatilan yang kita tahu ia adalah batil dan salah di sisi Islam.
Abu Adam
Aktivis ISMA
0 Komentar untuk " Dr Mujahid: Penghalang atau pembela LGBT? "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ