*SEPERTI tahun-tahun sebelumnya, esok takbir Syawal akan bergema dan bersahutan syahdu sekali. Ramadan al-Mubarak berakhir hari ini, Aidilfitri pun tiba. Di tempat kita hari kemenangan ini disambut dengan seribu keceriaan dan kesyukuran.

Cuma jangan keterlaluan bergembira, sebab tahun ini ada rakan-rakan kita yang sedang berduka setiap detik. Bagi mereka syahdu takbir memuji keagungan Yang Maha Pengasih membawa seribu kepiluan.

Tidak pasti lagi siapa yang menembak, tetapi tragedi MH17 di Ukraine telah mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal, termasuk rakyat kita. Dapat dibayangkan betapa sedih beraya tanpa orang-orang tersayang.

Turut dirundung malang ialah kehilangan MH370 dengan 239 orang di dalamnya dalam perjalanan KL-Beijing yang sehingga hari ini – masuk bulan keempat – masih misteri dengan seribu pertanyaan tanpa jawapan.

Hanya air mata, sedu-sedan dan esak tangis mengiringi gema takbir. Inilah saat yang paling menguji, mudah-mudahan anggota keluarga dan sahabat handai mereka yang terkorban, juga masih hilang – tanpa mengira keturunan dan agama – diberi kekuatan dan ketabahan.
Saya menyertai berjuta rakyat dalam mengucapkan simpati dan takziah kepada mereka yang ditinggalkan.

*MESKI turut bersedih dengan dua tragedi yang menimpa pesawat Mas, rata-rata Aidilfitri masih disambut meriah di tempat kita. Sejak awal puasa lagi keriangan raya sudah terasa, dengan setiap orang membuat pelbagai persiapan.

Pusat-pusat beli-belah dikunjungi oleh mereka yang tidak mahu terlepas ‘Jualan Hari Raya’ yang menawarkan beraneka barangan dan pakaian dengan potong harga sehingga 80 peratus. Pakaian dan aksesori serba baharu. Rumah dihias indah dengan langsir, permaidani, cadar, perabot, semuanya serba baharu. Sepanjang cuti raya kita bermewah dengan pelbagai makanan dan minuman.

Walaupun ada seruan berjimat-cermat, dan sana-sini orang mengeluh mengenai kekurangan wang dan kenaikan harga barang, Aidilfitri masih dilambakkan dengan beraneka hidangan lazat memenuhi meja makan. Begitulah mewah dan bertuahnya umat Islam beraya di tempat kita!

*TETAPI, bukan semua bertuah dan mampu bermewah-mewah. Di Gaza, umat Islam menyambut Syawal dengan darah dan air mata. Kekejaman tentera Zionis Israel menghalang beribu-ribu umat di sana memeriahkan Syawal.

Usahkan hendak memeriahkan Syawal, untuk sama-sama bertakbir pun tidak mungkin sebab beberapa buah masjid telah hancur dikerjakan tentera rejim tidak berperikemanusiaan.

Seperti yang diketahui seluruh dunia tentera Zionis melancarkan serangan ganas bertubi-tubi – udara dan laut – ke atas bumi umat Islam itu sejak pertengahan Ramadan.

Bom, peluru berpandu, dan rentetan peluru kedengaran tanpa mengira waktu, termasuk ketika rakyat Palestin sedang bersahur juga ketika sedang solat Subuh. Masjid, hospital dan pusat orang-orang cacat pun menjadi sasaran.

Tidak kira bangunan pejabat dan tempat tinggal awam semuanya dihujani bom dan peluru. Setakat rencana ini ditulis jumlah korban Islam akibat kezaliman tentera Netanyahu sudah melebihi 500 nyawa, sebahagian besarnya orang awam termasuk kanak-kanak, wanita dan orang tua.

*BERBANDING di tempat kita, apalah erti Syawal bagi penduduk Gaza? Di tempat kita kanak-kanak bermain letupan mercun dan bunga api untuk menceriakan raya. Di sana letupan bom dan peluru, juga percikan api ganas dari peluru berpandu adalah mainan harian.

Di tempat kita seorang dua terputus jari dan lebam muka akibat main mercun buatan sendiri. Di Gaza beribu-ribu orang, tanpa mengira usia, setiap hari kudung tangan, kudung kaki, cedera parah akibat bom dan peluru.

Di tempat kita makanan mewah – ketupat, rendang, sate, nasi minyak, semprit, tart, karipap, sebut apa sahaja – sehingga terjadi pembaziran. Di sana, ramai kebuluran tiada makanan.
Itu pun kita tidak bersyukur, malah sesetengah daripada kita, menganggap negara kita tidak guna. Inilah orang-orang yang tidak sedar diri!

*AKHIR kalam, saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam, khasnya pembaca. Kepada rakan-rakan bukan Islam tidak mengira bangsa marilah sama-sama menghadiri rumah terbuka untuk menjalin kemesraan dan keharmonian.

Banyak yang saya cuit dan sentuh menerusi ruangan ini; kalau ada yang tersinggung mohon maaf zahir dan batin.

- TOK PERAK