Agrobank beralih ke perbankan Islam sepenuhnya - Ahmad Pazil Md Isa

Ahmad Pazil Md Isa

Memberikan pelbagai maklumat dan informasi terbaru dalam pelbagai aktiviti perniagaan, rencana dan agama

I'M MUSLIM

Agrobank beralih ke perbankan Islam sepenuhnya

MACHANG - Agrobank akan beralih daripada operasi perbankan berasaskan konvensional sekarang kepada Perbankan Islam sepenuhnya menjelang tahun depan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Othman berkata, pihaknya kini sedang giat menjalankan proses penukaran akaun pembiayaan dan deposit konvensional kepada akaun produk yang mematuhi syariah.

"Pihak bank berharap dengan perubahan itu pelanggan akan berasa lebih yakin menggunakan produk pembiayaan dan deposit yang mematuhi prinsip Islam," katanya kepada pemberita pada majlis iftar dan penyerahan zakat kepada anak yatim Rumah Anak Yatim, Asrama Bakti Machang di Machang, semalam.

Seramai 100 penghuni asrama berkenaan menerima wang zakat masing-masing sebanyak RM100 seorang bagi perbelanjaan menyambut bulan puasa.

Wan Mohd Fadzmi berkata perbankan Islam itu mula dirancang pada 2010 dan dilaksanakan secara berperingkat mulai 2012.

Agrobank kini mempunyai 187 cawangan di seluruh negara dengan aset pembiayaan berjumlah RM6.4 bilion serta mempunyai 700,000 hingga 800,000 pelanggan aktif dan tidak aktif, katanya.

Beliau berkata, selama 44 tahun beroperasi sejak 1970, pihaknya berjaya melahirkan ramai usahawan terutamanya dalam bidang pertanian.

Mengenai penyerahan wang zakat perniagaan bank itu, beliau berkata pada tahun ini Agrobank memperuntukkan sebanyak RM1.86 juta hasil keuntungan sepanjang tahun lepas untuk diagihkan kepada fakir miskin termasuk anak yatim, masjid dan institusi agama di seluruh negara.

Beliau berkata daripada jumlah itu agihan untuk Kelantan sebanyak RM78,000 berdasarkan pertumbuhan aset perbankan negeri berkenaan dan agihan kepada semua negeri akan disampaikan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh sebelum berakhir tahun ini. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/agrobank-beralih-ke-perbankan-islam-sepenuhnya-1.296359
0 Komentar untuk " Agrobank beralih ke perbankan Islam sepenuhnya "

POPULAR POST

I'M MUSLIM

KEDAH BIZ