SKANDAL berhubung penemuan bahan tidak halal dalam coklat jenama antarabangsa yang sedang hangat diperkatakan kini sedikit sebanyak menimbulkan kegusaran pelanggan beragama Islam dan menimbulkan persepsi kurang baik terhadap makanan ringan yang kebanyakannya dari negara luar.

Namun, dalam masa sama, kontroversi itu sebenarnya memberi peluang kepada pengeluar coklat tempatan untuk memasarkan produk mereka dengan lebih agresif, bagi memenuhi permintaan pelanggan yang kini pastinya lebih berhati-hati dalam memilih makanan ringan.

Ryverra Chocolate & Confectionery Sdn Bhd, pengeluar coklat tempatan yakin pengguna Islam di Malaysia akan menyokong coklat yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan beragama Islam.

Pengarah Urusannya, Muzairee Daud berkata, dengan situasi sekarang, lebih selamat jika pengguna membeli coklat buatan tempatan.

“Walaupun coklat yang dihasilkan oleh pengusaha tempatan tidaklah segah jenama yang ada (di pasaran), ia mempunyai kualiti dan rasa yang enak.

“Dengan insiden yang berlaku sekarang ini, saya dapat melihat kesedaran masyarakat kita yang akan mula mencari coklat dihasilkan oleh orang Islam,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Namun beliau mengakui, kekangan utama jenama coklat buatan syarikat tempatan untuk dikenali oleh pengguna dalam negara ialah dari segi publisiti dan promosi yang kurang meluas.

“Mungkin ada pengguna tidak tahu wujudnya coklat jenama Ryverra dalam pasaran, jika mereka sedar kewujudannya pasti mereka akan membelinya sebagai alternatif.

“Ada juga produk kami yang tidak sampai kepada pengguna kerana tidak menembusi pasaran sesuatu kawasan,” katanya.

Muzairee turut berkata, syarikat itu juga pada masa ini belum merancang untuk mengeluarkan produk coklatnya secara besar-besaran kecuali jika terdapat permintaan luar biasa daripada pengguna.

“Buat masa ini kami mengeluarkan 200 jenis coklat berbeza mengikut keperluan dan permintaan pelanggan yang kami terima.

“Tetapi secara umumnya kami mempunyai 40 jenis coklat yang memang sudah dikomersilkan dan berada di pasaran tempatan dengan harga bermula RM2 hingga RM20,” katanya.

Pengeluaran coklat tempatan tidak terjejas

Sementara itu, syarikat pengeluar coklat buatan tangan terkenal Fidani Chocolatier Sdn Bhd akan terus mengekalkan pengeluaran produk coklatnya selepas kontroversi membabitkan penemuan DNA babi dalam coklat jenama antarabangsa yang dilihat tidak menjejaskan pasaran coklat tempatan.

Eksekutif Pengurusannya, Nor Shila Mohd Nordin ketika dihubungi berkata, selepas isu itu, syarikat tersebut menerima sokongan orang ramai yang banyak mengirim komen di laman sosial Fidani dan menyuarakan sokongan supaya pembeli memilih barangan buatan Malaysia yang dijamin halal, terutamanya produk Bumiputera.

“Dari segi sambutan, alhamdulillah, semakin lama semakin ramai menyedari kehadiran Fidani di pasaran tempatan dan sambutan semakin menggalakkan.

“Coklat kami mempunyai kualiti dan terjamin halal,” katanya yang memaklumkan produk Fidani merupakan coklat buatan tangan dan tidak dihasilkan menggunakan mesin.

Beliau menambah, syarikat itu juga sentiasa bersedia dan tidak gusar jika ada pihak cuba mempertikai status halal produk mereka kerana Fidani sentiasa memenuhi piawaian yang ditetapkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.

Sabtu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan di Kementerian Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan mengesahkan keputusan analisis mendapati dua produk daripada jenama Cadbury, iaitu Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Cadbury Dairy Milk Roast Almond dikesan mengandungi DNA babi dikenali sebagai porcine.