SINGAPURA - Malaysia boleh mendapat manfaat ekonomi yang besar jika ia menaik taraf rangkaian pengangkutannya kepada amalan standard global, kata Credo Business Consulting LLP yang berpangkalan di London.

Rakan Kongsi Urusan Credo, Chris Molloy, berkata pengangkutan dianggap sebagai satu daripada faktor utama daya saing bandar raya dan sering disebut antara cabaran besar penggubal dasar.
  
"Sistem pengangkutan awam di seluruh dunia semakin uzur, tidak berkembang atau gagal memenuhi permintaan penduduk yang semakin bertambah," katanya kepada pemberita di World Cities Summit 2014, Singapore International Water Week and CleanEnviro Summit.
  
Siemens Malaysia Sdn Bhd, yang menganjurkan lawatan wartawan, telah menugaskan Credo untuk mengkaji rangkaian pengangkutan di 35 bandar raya utama di seluruh dunia dan menilai kesediaan mereka dalam memenuhi cabaran masa depan, termasuk pertumbuhan penduduk serta daya saing yang lebih tinggi.
Satu laporan mengenai 'Peluang Mobiliti -- Menambahbaik Pengangkutan Awam Untuk Memacu Pertumbuhan Ekonomi' dilancarkan di sini.
Mulloy berkata, berdasarkan pengalaman bandar raya lain, usaha menangani pertambahan penduduk dan perubahan demografi, dijangka akan membawa cabaran kapasiti jangka panjang yang besar yang memerlukan pelan strategik yang jelas untuk menyelesaikannya.
Bagaimanapun, katanya, kajian itu menunjukkan bandara raya di seluruh dunia berjaya mengatasi cabaran terbabit dan jika Malaysia menerima pakai amalan terbaik global, ekonominya akan terus berkembang dan memenuhi permintaan penduduk di ibu negaranya dalam tempoh 20 tahun lagi.
Sebagai bandingan, Credo mengumpulkan bandar raya kepada tiga kategori berbeza bagi menunjukkan tahap kekayaan dan pembangunan berbeza, iaitu bandar raya yang maju, pusat kompak berkepadatan tinggi serta bandar raya sedang membangun.
Kajian itu menunjukkan Copenhagen di Denmark muncul sebagai bandar raya berprestasi terbaik keseluruhannya dipacu oleh kekukuhan kapasiti pelan dan rangkaian pengangkutannya.
Singapura menjadi peneraju dalam kategori pusat kompak berkepadatan tinggi disebabkan kekukuhan tadbir urus serta kapasiti tinggi manakala Santiago, Chile, mendahului dalam kategori bandar raya membangun kerana ia telah mengembang serta memodenkan rangkaian pengangkutannya yang telah uzur. 

"Semua bandar raya boleh belajar daripada bandar raya peneraju dalam kategori mereka dalam usaha untuk merapatkan jurang kecekapan rangkaian pengangkutan mereka, mengurangkan kos serta meningkatkan produktiviti kerana apabila rangkaian sesebuah bandar raya itu lebih cekap, ia akan menjadi lebih menarik kepada perniagaan serta penduduk," kata All Mulloy.
Sementara itu, Pengarah Urusan Siemens AG dan Ketua Pegawai Eksekutif Sektor Prasarana dan Bandar Raya Siemens, Roland Busch memberitahu Bernama, Malaysia dianggap sebagai negara di peringkat atas dunia dalam membangunkan sistem pengangkutannya.
"Malaysia sudah pun membuat pelaburan besar dalam sistem pengangkutan awam dengan transit rel ringan, monorel serta komuter bagi memudahkan pergerakan penduduk di bandar raya.
"Dengan pelan yang sudah dilaksanakan dan lebih banyak lagi dirancang, terutama kereta api laju menghubungkan negara itu dengan Singapura, ia akan memesatkan lagi pertumbuhan ekonominya," katanya. - Bernama