SYARIKAT Prasarana Sdn Bhd (Prasarana) melalui pengendali bas miliknya, Rapid Bus Sdn Bhd memperuntukkan RM3 juta bagi menyediakan tiga trak pemulihan bagi menunda dan memperbaiki bas RapidKL dan RapidPenang yang rosak untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir Zohari Sulaiman berkata, syarikat itu menjangkakan penggunaan trak pemulihan dapat menjimatkan masa dan kos penyelenggaraan bas sekiranya berlaku kerosakan.

Menurutnya, masa yang diambil oleh pasukan penyelamat yang mengendalikan trak pemulihan itu untuk mengalihkan bas yang rosak ialah 15 minit hingga 30 minit berbanding menggunakan trak swasta sebelum ini yang mengambil masa setengah hari.

“Syarikat kami mengambil inisiatif menyediakan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat. Dengan adanya trak pemulihan sendiri, kami tidak perlu menunggu dan trafik akan bergerak lancar selepas bas dialihkan.

“Trak pemulihan ini dijangka dapat mengatasi masalah yang timbul jika berlaku kerosakan bas terutamanya di laluan trafik Kuala Lumpur,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan rasmi MAN Recovery Truck kepada Syarikat Prasarana.

Hadir ke program itu ialah Pengerusi Rapid Bus Datuk Ruhaizah Mohamed Rashid dan Pengarah Urusan MAN Truck and Bus Malaysia, Hartmut Mueller.

Zohari berkata, dua daripada trak pemulihan itu akan digunakan di Kuala Lumpur dan selebihnya akan digunakan di Pulau Pinang dan di Kuantan dalam masa terdekat.

Mengenai perancangan masa depan, Zohari berkata, syarikat itu secara berperingkat akan menambah jumlah bas.

“Tetapi cabaran terbesar kami ialah kekurangan pemandu bas dan kami akan terus meneliti pilihan dalam merekrut ramai pemandu untuk memastikan perkhidmatan yang lebih baik," katanya.

Setakat ini, RapidKL mempunyai 1,500 bas, RapidPenang memiliki 350 bas dan RapidKuantan 60 bas.

Sementara itu, Mueller berkata, pihaknya mengambil masa enam bulan untuk mereka trak pemulihan kepada Rapid Bus bagi menunda bas rosak ke bengkel untuk diperbaiki dalam masa singkat.