Sudah termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa agama negara Malaysia adalah Islam. Hal ini sekaligus mengisytiharkan Malaysia sebagai negara Islam. Tertulis jelas dalam Perkara 3(1):
“Islam ialah agama persekutuan, tetapi agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.”
Itu yang tertulis di dalam Perlembagaan Persekutuan. Namun persoalannya, mengapa terdapat segelintir rakyat Malaysia menyatakan bahawa Negara Malaysia adalah negara sekular?
Mungkinkah dia tidak memiliki buku Perlembagaan Persekutuan yang terjual secara meluas di pasaran? Atau mungkin dia bukan daripada jurusan Undang-undang di mana-mana institut pengajian tinggi? Atau mungkinkah mereka sengaja menutup mata hati untuk menerima hakikat bahawa Malaysia adalah negara Islam?
Antara sebab yang menjadikan Malaysia sebagai negara sekular adalah ekoran daripada pemahaman yang salah terhadap Perlembagaan itu sendiri. Hatta seorang peguam yang belajar di luar negara sekalipun tidak mampu menghuraikan maksud sebenar isi kandung yang tercatat dalam Perlembagaan.
Apa yang lebih menyedihkan apabila kenyataan Malaysia adalah negara sekular terpacul keluar dari mulut rakyat Malaysia Melayu yang merupakan kaum majoriti dalam negara ini.
Perkara 4 yang meletakkan Perlembagaan merupakan undang-undang tertinggi menjadi hujah pihak-pihak tertentu dengan melabelkan Malaysia sebagai negara sekular. Ada yang menyatakan bahawa sepatutnya sebagai sebuah negara Islam, undang-undang tertinggi adalah Al-Quran dan Sunnah. Tidak sewajarnya Perlembagaan diangkat tinggi oleh negara melebihi Al-Quran dan Sunnah yang merupakan rujukan utama umat Islam. Adakah benar hujah ini?
Mengapa perlu ditekankan Perkara 4 dan mengaburi Perkara 3 yang meletakkan agama sebagai agama Persekutuan. Mari rujuk Perkara 32(1) juga yang menyatakan bahawa:
“Maka hendaklah ada seorang Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, digelar Yang di-Pertuan Agong, yang hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang di dalam Persekutuan dan tidak boleh dikenakan apa-apa jua prosiding di dalam mana-mana mahkamah kecuali di dalam Mahkamah Khas yang ditubuhkan di bawah XV.”
Siapakah Yang di-Pertuan Agong? YDPA merupakan Ketua Negara Malaysia yang mana apabila dilantik pada setiap lima tahun sekali, mereka akan bersumpah akan memelihara agama Islam pada setiap masa. Bukankah ini menunjukkan betapa tingginya martabat agama Islam dalam Malaysia? Sudah terang lagi bersuluh namun kalau mata hati tetap ditutup untuk tidak mahu menerima hakikat sebenar bahawa agama Islam adalah agama negara Malaysia, sampai bila-bila pun perjuangan menegakkan Malaysia sebagai negara sekular tetap dilaungkan oleh pihak tertentu yang taringnya sedikit demi sedikit kelihatan dalam setiap kenyataan yang di keluarkan.
Natijahnya kelompok yang mempertahankan agama Islam akan digelar ekstrimis sebagaimana ISMA yang memperjuangkan hak Melayu digelar rasis. Kelompok yang hakikat perjuangannya adalah Islam menjadi bacul dalam mempertahankan agama Islam sebagai agama negara yang semata-mata menjaga kepentingan politik.
Tugas kita sebagai rakyat Malaysia yang mencurahkan taat setia kepada negara ini, hormati apa yang telah tertulis di dalam Perlembagaan dan fahami maksud keluhuran Perlembagaan yang tercatat dalam Rukun Negara kita. Seandainya anda mahu mempertikaikan Perlembagaan ini, dipersilakan untuk meletakkan taat setia anda kepada Perlembagaan negara lain yang anda persetujui.
Siti Asyuhra Rahman
Aktivis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UKM
Aktivis Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) UKM
0 Komentar untuk " Perkara 4 Perlembagaan dukung Malaysia negara Islam "