KUALA LUMPUR, 24 Jun – Suatu ketika dahulu, antara kurun ke-13 hingga kurun ke-15 maklumat bertulis pribumi yang dicatat dalam manuskrip banyak mencerminkan kerajaan-kerajaan Melayu baik sewaktu keadaan aman mahupun bergolak.
Manuskrip Melayu juga mencatat banyak maklumat praktikal dan moral yang lain tentang kelangsungan dan gaya hidup orang Melayu ketika itu.
Dahulu ia banyak ditulis di atas batu bersurat, daun-daun, kulit kayu, kulit binatang, buluh, papan dan lain-lain yang tidak lagi diamalkan pada hari ini.
Sayangnya, manuskrip-manuskrip berkenaan tidak banyak yang kekal di bumi Melayu. Ini disebabkan berlakunya penyalinan dan penyebaran manuskrip Melayu dalam skala yang besar pada abad ke-19.
Ia berikutan usaha pengumpulan dan penyalinan yang diarahkan oleh pengumpul, pengkaji dan orientalis Barat.
TERSEBAR KE SERATA DUNIA
Naskhah-naskhah itu menjadi senjata paling berkesan bagi pihak penjajah mendalami pemikiran, kekuatan sekaligus mencari kelemahan masyarakat Melayu sebelum memulakan penjajahan.
Aktiviti ini menyebabkan koleksi asal manuskrip dalam alam Melayu terpisah-pisah dan dibawa ke Eropah melalui jalan laut. Ia juga punca bagaimana manuskrip Melayu boleh tersebar ke serata dunia.
Hasilnya, hari ini kita terbelenggu dengan taksiran-taksiran yang tidak tepat yang disogokkan oleh sarjana orientalis yang tentunya tiada berkepentingan untuk memartabatkan bangsa kita
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin dalam ucapan perasmiannya pada Pameran Antarabangsa Manuskrip Melayu 2014 di Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) baru-baru ini menyatakan setakat ini Malaysia hanya dapat mengkaji secara mendalam sekitar 30 peratus daripada kira-kira 10,000 manuskrip Melayu yang terdapat di seluruh dunia.
Antara lokasi yang ‘menyimpan’ manuskrip Melayu ini ialah di Universiti Leiden, Belanda, Perpustakaan Negara United Kingdom dan The School Oriental And African Studies (SOAS) di London dan beberapa lokasi lain.
MANUSKRIP MELAYU DI PNM
Menurut Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Datuk Raslin Abu Bakar, PNM turut berperanan sebagai Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu negara yang diwujudkan pada 1985.
Oleh itu tugasnya mencari, meneroka, menyelidik dan menyebar ilmu yang dicatat dalam manuskrip Melayu. Ia dilihat dari pelbagai aspek seperti sejarah, ekonomi, sastera, politik dan bahasa yang sentiasa dibuat dari semasa ke semasa.
“Sehingga kini PNM mempunyai koleksi hampir 5,000 naskhah manuskrip dengan nilai melebihi RM100 juta”, jelas Raslin.
“Kita sentiasa menggalakkan kepakaran pengkaji tempatan. Kerana pengkaji tempatan lebih jujur dan menjiwai manuskrip Melayu yang dikaji mereka”, sambung beliau.
Bukanlah suatu tugas yang mudah bagi pengkaji menilai sesebuah naskhah manuskrip lama. Ini kerana pengkaji manuskrip Melayu perlu tahu ilmu membaca tulisan jawi lama dan kepakaran itu turut terdapat di PNM, menurut Raslin.
“PNM sentiasa mengalu-alukan kehadiran orang awam yang berminat untuk mengkaji manuskrip Melayu ini. Siapa lagi yang hendak mengkajinya jika bukan orang Melayu sendiri”.
MELAYU SENDIRI KAJI DAN HASILKAN PRODUK
Raslin berpendapat adalah satu kerugian besar apabila ilmu-ilmu yang terdapat dalam manuskrip berkenaan mengalir kepada pengkaji luar.
Manuskrip yang ditulis ilmuan terdahulu meliputi bidang keagamaan seperti tajwid, fekah, tasawuf, akhlak dan sejarah.
Ia turut meliputi ilmu dalam bidang tradisi Melayu tempatan seperti hikayat, ketatanegaraan, ilmu undang-undang, ilmu bahasa, ilmu herba dan perubatan, ilmu astronomi, ilmu mantera dan jampi serta ilmu tradisional lain yang mungkin masih berguna kepada generasi sekarang.
“Sesiapa sahaja boleh menggunakan ilmu dan maklumat di dalam manuskrip tersebut, kita tiada hak untuk menghalang apatah lagi mereka adalah pengkaji intelektual.
“Cuba bayangkan apabila orang Melayu sendiri mengkaji kandungan kitab-kitab perubatan lama ini, di dalamnya terdapat pelbagai panduan mengenai rawatan tertentu serta jenis herba yang digunakan. Bayangkan jika ada anak Melayu yang mengkajinya dan berjaya menghasilkan produk yang berkualiti hasil penelitian mereka ke atas manuskrip lama ini,” ulasnya.
Memberi contoh Kitab Tib (Kitab Ilmu Perubatan Tradisional), di dalamnya terdapat banyak ilmu perubatan tradisional bagi pelbagai penyakit dan simptom termasuk kaedah rawatan berdasarkan herba.
Jika kajian dilakukan dan diterbitkan ke dalam jurnal, apatah lagi jika dihantar untuk penerbitan jurnal barat, maka pengaliran ilmu intelek tidak dapat dipelihara.
PAMERAN ANTARABANGSA MANUSKRIP MELAYU 2014
Dalam tempoh tiga bulan ini (Jun-Ogos 2014) PNM membuka ruang seluas-luasnyabuat seluruh rakyat Malaysia mendekati, mengenali, menjiwai dan menilai sendiriakan kehebatan masyarakat Melayu terdahulu melalui pameran manuskrip Melayu yangada dalam simpanannya.
Memilih Pinis Gobel atau Perahu Besar sebagai struktur bagi pameran itu, konsep itu juga sebagai bukti kegemilangan dan kehebatan seni bina Melayu selain menunjukkan kehebatan Melayu dalam ilmu pelayaran.
Perahu Besar Melayu di tengah-tengah ruang legar Lobi PNM tentu sahaja mencuri pandangan pengunjung. Perahu dua tingkat itu dijadikan daya tarikan utama pengunjung kerana di dalam struktur binaan perahu besar bersaiz 30 x 100 kaki persegi itu terkandung 1001 rahsia khazanah manuskrip Alam Melayu.
Dengan tema Merungkai Rahsia Manuskrip Melayu, pengunjung akan berpeluang melihat sendiri sumber maklumat peribumi bertulisan tangan yang kita warisi.
Selain menonjolkan kepentingan koleksi manuskrip Melayu sebagai khazanah warisan intelektual yang perlu dihayati dan dipelihara, ia memberi pendedahan kepada masyarakat umum agar dapat menghayati maklumat yang terakam di dalamnya.
PELBAGAI NASKHAH
Naskhah Al-Quran bertulis tangan menggunakan tinta emas serta berhias corak flora berkerawang dan ombak beralun menjadi bukti kehalusan seni penulis naskhah itu.
Pengunjung juga boleh melihat sendiri naskhah popular seperti Hukum Kanun Melaka. Terdapat juga naskhah Hikayat Hang Tuah yang tebal dengan bait-bait tulisan jawi lama. Tulisan yang kemas, rapi dan sekata (konsistan) menimbulkan kekaguman penulis apatah lagi bila mengenangkan ketelitian dan ketekunan penulis naskhah berkenaan pada zamannya.
Juga naskhah tipis mengenai Hukum Sembelih Binatang. Antara kandungannya ialah kaedah menyembelih binatang ternakan merangkumi rukun dan hokum berkaitannya.
Banyak juga petua lama yang meliputi gaya hidup masyarakat ketika itu seperti resipi masakan panas dan sejuk, resipi penyediaan nasi beriani serta petua-petua nenek moyang kita. Seperti petua memotong kuku, petua mengubati sakit perut dan pelbagai lagi.
Atau Kitab Tib Pontianak yang di dalamnya tercatat pelbagai jenis penyakit berkaitan wanita seperti senggugut, meroyan, busung berdarah dan perempuan yang kuat nafsunya.
Inisiatif oleh PNM ini turut diadakan bersempena Tahun Melawat Malaysia 2014. Ia diharap dapat memberi penafsiran baru terhadap falsafah dan pemikiran Melayu yang terkandung di dalamnya.
Ia tidak wajar dipandang sebagai pameran artifak yang sifar nilai tetapi harus dilihat sebagai usaha memindahkan akal, budi, ilmu dan nilai tamadun Melayu lama ke dalam hati setiap pengunjung. - BERNAMA
0 Komentar untuk " Manuskrip Melayu bukti hebatnya intelektual Melayu terdahulu "