KENAIKAN kos sara hidup yang dirasai rakyat sekarang ini berkait rapat dengan kenaikan kos dalam perniagaan.
Secara ringkasnya, semakin mahal kos menjalankan perniagaan, semakin tinggi harga produk atau perkhidmatan itu dijual.
Pemansuhan sebahagian subsidi petrol dan diesel tahun lalu serta kenaikan tarif elektrik pada awal tahun ini antara penyumbang kepada kenaikan kos perniagaan di Malaysia, seperti diakui beberapa syarikat yang ditemui Sinar Harian.
Pengurus Pembangunan Francaisi Daily Fresh Foods Sdn Bhd, Irene Chia Ai Ling berkata, akibat kenaikan tarif elektrik dan bahan bakar, syarikat itu perlu menampung kos tambahan untuk mengeluarkan pelbagai produk snek Daily Fresh seperti bertih jagung.
“Syarikat kami terpaksa tambah kos sebanyak 20 peratus untuk tampung kenaikan tarif elektrik dan kira-kira 10 peratus untuk minyak lori yang digunakan bagi menghantar bekalan kepada francaisi,” katanya.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan harga produk makanan akan dinaikkan selepas cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan tahun hadapan.
“Kami hendak lihat dahulu bagaimana keadaan ketika itu (apabila GST dilaksanakan). Tetapi kalau katakan harga makanan naik, ia tidak terlalu tinggi.
“Kami tiada pilihan sebab kos pengeluaran bertambah akibat faktor itu, selain kos-kos sampingan lain seperti sewa kedai,” katanya.
Bagi memastikan francais Daily Fresh terus berkembang, Ai Ling berkata, syarikat itu memperkenalkan sistem francais mikro dengan pelaburan lebih rendah, iaitu antara RM33,000 hingga RM38,000.
“Kalau buka kios Daily Fresh yang biasa, perlukan pelaburan dalam RM120,000. “Namun, kita sedar adanya perubahan ekonomi semasa dan strategi ini digunakan untuk menambah cawangan kami,” katanya.
Sementara itu, syarikat Wonderful Lifestyle Sdn Bhd, iaitu pengendali francais Gloria Jean’s Coffees di Malaysia dan Brunei, berazam untuk tidak menaikkan harga minuman serta makanan di premis itu di sebalik persekitaran perniagaan yang semakin mencabar.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Fauzi Awang berkata, walaupun berdepan kenaikan kos pengeluaran akibat peningkatan tarif elektrik, bahan bakar dan pelaksanaan GST tahun hadapan, semua itu masih boleh ditampung dengan keuntungan syarikat tersebut.
“Produk kami dari Australia dan mereka ada skala ekonomi tertentu serta hasilkan bahan (mentah) seperti biji kopi dan sirap (bahan perasa dalam minuman) untuk semua francaisinya," katanya.
Menurutnya, kenaikan bahan bakar dan tarif elektrik tidak menjejaskan pengeluaran produk mereka.
Bil elektrik naik sehingga 40 peratus
Sementara itu, Timbalan Presiden Pembangunan Perniagaan AquaNano, Mohd Fairuz A Rahman berkata, AquaNano yang merupakan perniagaan perkhidmatan dobi telah pun membuat persediaan sebelum kenaikan tarif elektrik berkuatkuasa pada 1 Januari lalu.
Namun, Mohd Fairuz berkata, perniagaan AquaNano tetap merasai kesannya. Menurutnya, kesan kenaikan tarif elektrik menyebabkan beberapa francaisi AquaNano terpaksa menaikkan caj perkhidmatan yang disediakan kepada pelanggan.
“Beberapa francaisi AquaNano terpaksa menaikkan caj perkhidmatan antara RM1 sehingga RM1.50. Ini menyebabkan segelintir pelanggan tidak lagi menggunakan perkhidmatan AquaNano,” katanya.
Tambahnya, francaisi AquaNano juga terpaksa membayar bil elektrik yang tinggi iaitu antara 30 sehingga 40 peratus.
"(Tetapi) setelah beberapa bulan menghadapi kesan kenaikan tarif elek- trik, kerugian yang dihadapi dapat diatasi secara berperingkat,” katanya. Sama juga halnya dengan syarikat pengeluar produk berasaskan yogurt, Snogurt Sdn Bhd yang berhadapan bil elektrik lebih tinggi sejak awal tahun ini.
Ketua Pegawai Operasinya Yen Chee Yung berkata, kenaikan tarif elektrik menyebabkan beliau terpaksa membayar bil elektrik 15 peratus lebih tinggi bagi premis miliknya.
Namun katanya, syarikat itu berusaha untuk tidak menaikkan harga produk mereka kerana enggan membebankan pelanggan.
Tambahnya lagi, Snogurt juga sudah bersedia menghadapi GST tetapi beliau mengakui bimbang dengan pelaksanaan cukai itu kerana tidak tahu bila akan mendapat semula kos yang dikeluarkan untuk membeli bahan mentah daripada pembekal yang mengenakan
GST.
GST.
“Mungkin kerajaan akan memulangkan semula bayaran selepas tiga bulan pelaksanaan GST atau lebih lama lagi, ia masih tidak jelas,” katanya.
Peniaga enggan bebankan pengguna
Namun, pengguna masih boleh menarik nafas lega kerana perniagaan kini berusaha mengurangkan kos dengan pelbagai cara supaya mereka tidak membebankan pengguna dengan harga produk atau perkhidmatan yang tinggi.
Menurut Ai Ling, Daily Fresh membuat pelaburan besar untuk membeli mesin pengeluaran bagi mengurangkan kos upah tenaga kerja.
Fauzi pula berkata, Gloria Jean’s Coffees yang mempunyai 33 cawangan di Malaysia kebiasaannya membeli satu kontena bahan mentah tiga bulan sekali untuk menghasilkan produk makanan dan minuman mereka.
"Memang tiada peningkatan dari segi pelarasan harga. Kami bukan pengilang, tetapi hanya peruncit yang menjual minuman dan makanan gourmet yang diambil daripada francaisor.
“Lagipun, kedai kami berkonsepkan layan diri menerusi kaunter,” katanya.
Sementara itu, Mohd Fairuz berkata, AquaNano sentiasa berusaha untuk memastikan kos operasi yang semakin meningkat dapat diatasi dengan sebaiknya.
Bagi Snogurt pula, syarikat itu mengambil pendekatan menggunakan perkhidmatan mudah alih untuk mengatasi masalah bil elektrik dan kos operasi yang tinggi.
"Konsep menggunakan kenderaan dapat mengurangkan kos operasi sebanyak 50 peratus.
“Ia satu penyelesaian yang menguntungkan kerana tidak perlu membayar sewa, bil elektrik dan air.
Kami tidak bercadang menambah kedai baharu dan akan mengekalkan 20 kedai dan kios sahaja di seluruh Malaysia,” kata Chee Yung.
0 Komentar untuk " Kos berniaga makin meningkat "