BANGI, 19 Jun – Setiausaha Biro Politik ISMA Ustaz Mohd Hazizi Abdul Rahman menyelar kenyataan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang mengatakan bahawa pendakwaan ke atas Presiden ISMA dan 15 anggota Pemuda UMNO membuktikan keseimbangan kerajaan dan tidak berat sebelah dalam mendakwa mana-mana pihak.
Kata Ustaz Hazizi, menteri itu tidak memahami konteks dengan betul kerana ISMA bukan di pihak kerajaan mahupun di pihak pembangkang. Oleh itu tidak tepat jika dikatakan pendakwaan ke atas Presiden ISMA adalah bukti kerajaan tidak ‘pilih bulu’ dalam pendakwaan.
“ISMA bukan kerajaan mahupun pembangkang. ISMA tidak terikat dengan keduanya. Bagaimana Khairy boleh kata kerajaan tidak pilih bulu?” soal beliau kepada ISMAweb.
Hari ini Khairy dilaporkan media sebagai berkata, pendakwaan ke atas Presiden ISMA dan 15 anggota Pemuda UMNO telah mengimbangi pendakwaan yang dilakukan ke atas ADUN DAP RSN Rayer. Ia juga bukti kerajaan tidak berat sebelah.
Tambah Ustaz Hazizi, kenyataan Presiden ISMA adalah berdasarkan fakta sejarah.
“Amat berbeza antara fakta sejarah dan perbuatan menceroboh bangunan kerajaan. Jadi ini bukan soal kerajaan seimbang atau tidak, tetapi soal perbezaan pertuduhan dan implikasi perbuatan,” kata beliau.
Sehubungan itu Ustaz Hazizi menasihati Khairy agar dapat memandu Pemuda UMNO dan bertindak dengan lebih bijak dalam berdepan dengan gerakan unconstitutional yang didalangi oleh DAP.
0 Komentar untuk " Khairy tidak faham konteks "