PROF Muhammad Qutb dan Prof Hamidullah menulis dua buku yang menyentuh isu Islam sebagai agama yang disalah fahami. Buku ini merungkaikan sebab-musabab ia terjadi dan kesan terhadap Islam dalam kalangan orang Barat dan yang mempunyai prasangka tinggi terhadap agama itu.

Sejarah Perang Salib, menimbulkan dendam Salibiyyah yang panjang sehingga ke hari ini. Islam sebagai agama tamadun yang lahir lebih 700 tahun dilihat sebagai penggugat kuasa Barat yang sedang melaksanakan globalisasi dan pasca modenisme yang menolak agama.

Selepas peristiwa 11 September di Amerika ada minat baharu terhadap Islam di sana dan juga di Eropah. Wujud Islamophobia atau kegentaran kepada Islam kerana Islam dikaitkan dengan fundamentalisme, terorisme, Taliban dan seumpamanya.

Islam yang mempunyai akar-kata selama membawa maksud damai. Islam tidak saja suatu sistem kepercayaan tetapi juga adalah suatu cara hidup. Barat yang sebahagiannya mengamalkan etika Kristian tidak lagi menjadikan agama sebagai rujukan. Ia menyebabkan asas sekular dan liberal berkembang.

Suatu ketika di Eropah wujud pertentangan antara pihak gereja yang menguasai kerajaan dan juga pihak saintis. Orang seperti Galileo Galilei menghadapi zaman yang sukar dengan pihak gereja kerana penemuan saintifik dilihat bercanggah dengan kepentingan gereja. Dalam tamadun Islam ia tidak berlaku.

Setelah 700 tahun Barat menguasai dunia, kebangkitan semula Islam dilihat sesuatu yang mengancam. Fahaman Kapitalis melampau, dukungan hak asasi tanpa etika dan agama, hegemoni Barat terhadap pihak lain, keruntuhan sistem kekeluargaan akibat kebangkitan budaya LGBT dan banyak lagi menyebabkan manusia mencari jalan baharu yang lebih fitrah.
Ada kebimbangan Islam bakal bangun kerana ia memiliki tiga kekuatan.

Pertama, tamadun Islam pernah memimpin dunia suatu ketika dulu dan Barat juga terhutang ilmu kepada tamadun ini. Sekiranya umat Islam mampu melakukan refleksi terhadap tamadun itu suatu Order Baharu Dunia boleh lahir.

Kedua, jumlah umat Islam kini melepasi 1.6 bilion. Sekiranya negara umat Islam mempunyai sistem pendidikan yang integratif kualiti modal insan mereka akan meningkat dan ia boleh menghasilkan arah baharu dalam sains dan teknologi dunia.

Ketiga, ALLAH kurniakan kekayaan sumber yang tidak ternilai di perut bumi negara-negara Islam. Sekiranya sumber yang ada dikendalikan oleh modal insan yang berkualiti, membawa manfaat kepada negara Islam adalah besar.

Sayangnya banyak negara umat Islam hari ini dalam keadaan krisis dan mengundang pihak ketiga campur tangan. Apa yang sedang berlaku di Iraq, Syria, Libya, Mesir dan Tunisia umpamanya bukanlah suatu contoh yang baik bagi kebangkitan umat.

Ia menimbulkan fitnah terhadap Islam itu sendiri dan Islam sebagai agama damai semakin disalah fahami.

Apakah ini merupakan percaturan kuasa ketiga terhadap kebangkitan Islam itu sendiri atau berpunca daripada kelemahan umat Islam sendiri mengatur strategi dan maslahat supaya antara cabaran yang dihadapi dengan kemampuan yang ada ia menuntut jalan yang bijaksana.

Umat Islam harus mampu mengimbangi antara kekuatan rohaniah yang sifatnya diniah dengan kekuatan ilmu yang mampu membangun tamadun. Produktiviti rohaniah umat Islam relatif tinggi sayangnya produktiviti ilmu dan amaliah umat Islam relatif rendah.

Emosi umat Islam mudah dipermainkan. Jiwa penentangan sentiasa subur tanpa hemah dan hikmah. Pertentangan sesama Islam mudah terjadi. Ia harus dilihat kembali supaya salah faham itu diperbaiki.