BELUM sempat cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dilaksanakan, sudah banyak telahan dan ramalan bahawa pelaksanaannya mengundang pelbagai masalah seperti kenaikan kadar inflasi negara serta kenaikan harga barangan.

Pelbagai pandangan termasuk dari pakar ekonomi bahawa GST akan menyebabkan bebanan lebih kepada rakyat yang menanggungnya.

Antara kebimbangan rakyat adalah kenaikan pada sektor makanan dan minuman. Ia mungkin sukar disekat memandangkan restoran-restoran di seluruh negara turut dikenakan cukai GST sebanyak enam peratus.

Restoran-restoran ini akan mengenakan pula bebanan harga kepada pengguna bagi menampung cukai yang mereka tanggung.

Dalam soal barangan pula, dijangkakan 70 peratus  jenis barangan dan perkhidmatan akan naik harga daripada 40 peratus yang disenaraikan di bawah Indeks Harga Pengguna (IHP).

Kerajaan perlu berterus terang dengan rakyat dengan menjelaskan apakah harga barangan keperluan lainnya tidak meningkat naik.

Apakah kesan sebenar GST ke atas harga dan jenis-jenis barangan lain sama ada harganya tetap dan tidak naik, dikecualikan cukai atau dikenakan cukai.

Selain itu, amat penting kerajaan menyediakan panduan kepada pengguna mengenai kesan perubahan harga sebenar apabila barang atau perkhidmatan terbabit dikenakan GST.

Kerajaan juga patut menerima pandangan beberapa pakar ekonomi supaya GST dikecualikan ke atas barangan keperluan seperti produk pertanian serta makanan asas agar tidak menjadi beban pula ke atas pengguna di masa akan datang.

Saya juga menyokong penuh cadangan Persatuan Hospital Swasta (APHM) supaya kerajaan mempertimbangkan untuk tidak mengenakan GST ke atas ubat-ubatan, peralatan perubatan dan sumber perkhidmatan luar bagi hospital swasta.

Sebarang caj terhadap perkhidmatan dan barangan perubatan akan mengakibatkan kos perubatan akan turut meningkat dan ia akan menjejaskan kehidupan rakyat.

Kita tidak mahu pesakit menjadi mangsa dan lebih malang lagi ramai pesakit yang tidak mampu meneruskan rawatan kerana ketidak mampuan mereka.

Dalam soal ini, isu ekonomi rakyat mesti menjadi keutamaan  selain pembangunan ekonomi negara.

Jaminan kerajaan agar tidak mengenakan GST terhadap keperluan asas amat penting bagi melegakan semua pihak.

Kerajaan perlu fikirkan kaedah lain memacu ekonomi negara dengan meletakkan situasi menang-menang, dengan kerajaan mendapat keuntungan manakala rakyat pula tidak kerugian.

ABANG AHMAD KARDEE ABANG MASAGUS
Pengerusi Lajnah Pengguna dan Alam Sekitar
Pemuda Pas