JIKA anda benar-benar seorang penggemar coklat, anda pasti sedar terdapat banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) milik Bumiputera dan Melayu yang menghasilkan coklat sama ada menggunakan mesin ataupun buatan tangan.

Malah ada antara coklat yang dihasilkan mereka mempunyai kualiti dan rasa yang jauh lebih sedap berbanding coklat antarabangsa atau jenama yang diimport.

Sayangnya, kebanyakan daripada kita lebih gemar membeli coklat dari luar berbanding coklat buatan Melayu dan orang Islam sendiri yang dijamin halalnya.

Di mana silapnya? Mengapa situasi ini berlaku?

Mengapa coklat Bumiputera kurang mendapat sambutan oleh rakyat Malaysia sendiri yang majoritinya kaum Bumiputera?

Adakah kerana kualiti, harga, pembungkusan ataupun kekurangan promosi?

Bagi mendapatkan jawapan tersebut wartawan Sinar Harian telah bertemu dengan beberapa syarikat pengeluar coklat Bumiputera.

Pasar raya besar seolah pandang enteng coklat tempatan

Bagi syarikat AOM Food Industries (AOM Food) yang dimiliki pasangan suami isteri Tengku Muazam Kamal dan Aimilia Omar, produk keluaran mereka di bawah jenama Grandeur Chocolate agak payah ditemui pengguna kerana belum dapat menembusi pasar raya besar sepenuhnya.

Menurut Tengku Muazam, kebanyakan pasar raya yang membuat tawaran untuk menjual produk mereka mahu membelinya dengan harga murah.

“Tetapi kami terpaksa menolak tawaran tersebut kerana ia tidak memberikan pulangan modal.

“Buat masa ini, produk kami berada di pasar raya Aeon sahaja yang menawarkan harga berpatutan kepada kami dan banyak membantu kami,” katanya.

Tengku Muazam turut berkata, selain Aeon, Grandeur Chocolate juga boleh didapati di pasar raya Halal Mart dan Hospimart yang terpilih.

“Selain itu coklat kami juga turut dijual di kedai rangkaian seperti di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

“Kami mempunyai lebih 100 jenis coklat yang dihasilkan dengan pelbagai perisa seperti durian, buah-buahan, kacang hazel dan lain-lain lagi dengan harga bagi coklat bar seberat 25 gram RM1.80 dan bagi 45 gram pula berharga RM3.50,” katanya.

Menurut Tengku Muazam pada masa ini terdapat 12 jenis produk Grandeur Chocolate yang dijual di lapan cawangan Aeon di Perak, Johor, Pulau Pinang dan Lembah Klang.

Ditanya mengenai cabaran utama pengeluar coklat Bumiputera untuk bersaing dengan jenama antarabangsa, Tengku Muazam berkata, terdapat beberapa faktor utama yang menjadi penghalang.

“Cabaran utama bagi kami sebagai syarikat tempatan ialah dari segi harga bahan mentah untuk menghasilkan coklat yang lebih mahal berbanding harga yang didapati oleh syarikat pengeluar yang besar.

“Disebabkan bahan mentah mahal, jadi kos pengeluaran yang kami tanggung akan meningkat dan kerana itu kebanyakan syarikat coklat tempatan terpaksa menjual harga coklat sedikit mahal,” katanya.

Menurutnya lagi proses pengeluaran syarikat tempatan masih menggunakan buatan tangan dan agak terhad berbanding penggunaan mesin.

“Kami syarikat PKS mempunyai modal yang kecil jadi kemampuan untuk membeli mesin bagi meningkatkan pengeluaran agak terhad melainkan mendapat bantuan dari pihak tertentu,” katanya.

Tengku Muazam berkata pengeluar coklat Bumiputera juga turut mengalami kesukaran untuk memasuki pasar raya tempatan apabila kekurangan tenaga kerja.

“Apabila produk kita memasuki pasar raya, kita sebagai pengusaha perlu menjaga sendiri stok dan susunan produk kita di rak yang mereka sediakan.

“Syarikat coklat tempatan belum lagi mampu untuk mengupah pekerja bagi menguruskan produk kami hanya di sebuah pasar raya di satu kawasan sahaja.

“Tetapi berbeza bagi pengeluar coklat terkemuka, mereka mempunyai wakil bagi setiap kawasan dan daerah untuk menguruskan produk mereka dan keuntungan mereka berlipat kali ganda," katanya.

Menurut Tengku Muazam, syarikat beliau kini mampu menghasilkan 500 kilogram hingga satu tan coklat sebulan bagi memenuhi permintaan di pasaran tempatan.

“Keistimewaan coklat kami ialah ia 100 peratus halal serta mempunyai perisa tersendiri dan unik seperti durian, pisang, mangga, kacang dan lain-lain lagi.

“Dari segi permintaan coklat, kami lihat ada peningkatan yang menggalakkan dan kami yakin coklat tempatan akan mula mendapat tempat di hati pengguna,” katanya.