Berikut merupakan petikan dialog saya dengan seorang aktivis politik kaum Cina, Puan M pada hari Khamis tempoh hari di bandar Melaka.
Saya memanggil beliau ‘aunty’ memandangkan usianya 40an. Setelah lama saya berinteraksi berkenaan soal pendidikan dan beberapa isu semasa termasuklah soal hubungan antara kaum, barulah saya bertanya pandangan beliau berkenaan isu hudud.
Saya: Boleh saya tahu kenapa orang Cina daripada DAP, MCA, Gerakan masuk campur dalam isu orang Islam seperti kes pelaksanaan hudud di Kelantan?
Puan M: Orang Cina dia takut nanti lama-lama jadi negara Islam, tak boleh nak main loteri, minum arak.
Saya: Bukan ke Malaysia ni memang negara Islam sebab dalam perlembagaan dah tercatat Islam adalah agama persekutuan? Jadi Malaysia memang negara Islam pun aunty. Satu lagi saya rasa tak ada mana-mana agama seperti Budha, Kristian dan lain-lain pun yang benarkan penganutnya buat benda tak elok macam minum arak, main judi.
Puan M: Ya lah, tapi biasalah politik.
Saya: Aunty tahu hukum hudud sebenar dalam Islam macam mana? Bukan sebat kuat macam hukuman sekarang tu, sebat dia perlahan saja kalau aunty tengok, nak dakwa pun kena 4 orang saksi yang tak diragui, nak potong tangan kena tengok kes pencuri tu miskin ke, terdesak ke.
Puan M: Itulah hari tu di pejabat pun ada staf Melayu datang kat saya cakap macam tu, dia kata apa ni masuk campur isu orang Melayu.
Saya: Aunty setuju tak kalau saya kata, jika orang Melayu yang majoriti Islam ni sepakat kembali kepada Islam macam Nabi Muhammad, orang bukan Islam untung dapat rasa nikmat dan aman. Contoh orang Melayu sepakat dalam buat hudud, jenayah pun dapat dikawal, orang bukan Islam pun rasa aman. Orang Melayu sepakat hapus rasuah, ketirisan then orang bukan Islam pun untung dapat ekonomi lagi baik.
Aunty: Ya la, tapi sebenarnya saya bagi tahu u rasuah ni orang Cina yang buat. Sebab orang Islam kan diajar tak boleh rasuah.
Saya: Ya saya setuju, orang Cina lah yang ajar rasuah aunty cuma ada lah orang Islam yang tak pegang dengan Islam ni betul-betul yang terjebak sebab tu jadi kes besar-besar. Yang jadi masalah biasa yang besar-besar ni.
Puan M: Sebenarnya sekarang ni orang Cina sedang gaduh dengan orang Cina.
Saya: Ya ka? Bukan Cina gaduh dengan Melayu ke aunty? Saya nampak jika semua kaum boleh patuhi balik perjanjian kontrak sosial seperti sebelum merdeka senang jadi aman. Aunty pun tau kan dulu keturunan aunty datang daripada Tanah Besar China then setuju dengan perjanjian tu macam mana.
Aunty: Ya la, cuma hari ni Cina yang muda-muda ni susah. Ada isu sikit terus masuk itu report surat khabar, dalam internet.
(Sekian dialog saya berkenaan hal isu hudud dan berkaitan hubungan antara kaum di Malaysia)
Perbualan kami hujungnya bersembang ramah mesra berkenaan kehidupan dan lain-lain namun saya merasa puas sebab dapat menceritakan tentang Islam dengannya tanpa rasa apologetik, mencairkan pendirian prinsip dan kompromi.
Pada saya orang bukan Islam akan lebih hormat kepada orang Islam yang berpegang pada prinsip yang teguh bilamana berinteraksi dengan mereka.
Sebenarnya saya terinspirasi dengan satu ceramah Bro Firdaus Wong Wai Hung yang saya ikuti lebih kurang 2 tahun yang lepas.
Semenjak itu jika saya berpeluang untuk menceritakan tentang Islam terutamanya kelebihan dan keindahan dalam Islam, saya akan cuba sampaikan kepada orang bukan Islam sebaik mungkin.
Walaupun fokus ISMA adalah memantapkan jati diri Islam pada orang Melayu dengan tema semasa “Melayu Sepakat, Islam Berdaulat” namun tidak lah bermaksud mengenepikan golongan bukan Melayu Islam bilamana ada peluang terhidang.
Dalam ISMA pun ada agensi untuk berdakwah kepada bukan Islam dan membantu kebajikan muallaf menerusi Yayasan Ikhlas dan sebahagian daripada ahli ISMA adalah keturunan muallaf.
Di samping itu juga saya pernah menyaksikan dengan mata saya sendiri apabila ada orang Cina bukan Islam mengikuti program ISMA dan melalui agensi belia iaitu PEMBINA.
Justeru saya menyeru kepada rakan Melayu yang mendakwa mereka ini perlunya berdakwah kepada bukan Islam agar buatlah betul-betul seperti apa yang dikata dengan tidak meleburkan sedikit pun prinsip asas Islam yang dibawa. Jika tidak risau nanti akan karam di lautan dalam membawa panji Islam.
Muhammad Zulfikar Azlan Bin Mohd Shariff
Aktivis ISMA
Aktivis ISMA
0 Komentar untuk " Benarkah ahli ISMA tidak menerangkan hudud kepada bukan Islam? "