MUNGKIN tidak ramai masyarakat luar tahu mengenai produk penjara.

Tidak kurang juga yang tahu tetapi masih merasa sangsi dengan kualitinya hanya kerana ia hasil tangan penghuni tirai besi.

Stigma masyarakat tidak pernah lari daripada merasa bimbang terhadap bekas penghuni tirai besi itu, meskipun mereka berkelakuan baik, dan ia sedikit sebanyak turut terkena tempiasnya pada produk yang mereka hasilkan.

Tetapi itu cerita dahulu. Kini stigma itu sudah hilang ditelan masa.

Jika ada sekali pun, mungkin hanya segelintir dan wajarlah pemikiran seperti itu dibuang dan terus bersangka baik, kerana penghuni tirai besi juga mencari rezeki di bumi milik ALLAH.

Siapa sangka, latihan berkemahiran diberikan kepada banduan yang melalui fasa ketiga pemulihan di penjara, mampu menghasilkan produk berkualiti dan diterima di pasaran tempatan.

Lebih membanggakan, produk ini bakal menembusi pasaran China menerusi dua produk terbaik mereka iaitu Tenun Pahang Diraja dan Batik Eksklusif dengan sasaran awal pembeli golongan atasan.

40 produk terhasil di tirai besi

Di bawah jenama My Pride, Jabatan Penjara Malaysia mempelbagaikan pengeluaran produk berkualiti dan berdaya saing untuk pasaran meluas.

Timbalan Komisioner Penjara, Ketua Seksyen Vokasional dan Industri Jabatan Penjara Malaysia, Datuk Mohd Sakeri Dollah berkata, pelbagai latihan diberikan bagi menghasilkan pengeluaran produk kualiti tinggi mengikut piawaian.
“Objektif ialah membangunkan dan melakukan penyelidikan produk mampu berdaya saing dalam pasaran terbuka, sekali gus meningkatkan perolehan Jabatan Penjara Malaysia,” katanya.

Katanya, ada 40 bidang latihan di penjara yang dipecahkan kepada empat kategori iaitu pembuatan, perkhidmatan, makanan dan penghasilan fabrik.
“Menerusi kategori pembuatan, antara dihasilkan ialah produk hiasan rumah berasaskan besi, perabot kayu dan rotan serta seramik. Perkhidmatan pula menyediakan kemudahan seperti spa, salon, urutan refleksologi dan produk sara diri (tanaman sayuran dan ternakan ikan).

“Bagi penghasilan makanan, kami agak terkenal dengan pengeluaran kuih raya. Malah produk sejuk beku My Pride kini boleh didapati di pasar raya Mydin terpilih seperti di Semenyih dan USJ, Subang Jaya," katanya.

Menurutnya, lebih membanggakan, penghuni sendiri yang menghasilkan roti untuk kegunaan di dalam penjara.

"Tahun lepas, kita berjaya buka sebuah kilang untuk bekalkan roti kepada penjara di Zon Tengah. Kini terdapat 12 penjara di seluruh negara yang terlibat dalam industri makanan,” katanya.

Selain itu, penghasilan fabrik dari penjara juga menarik perhatian ramai terutama golongan atasan.

Menurut Mohd Sakeri, kain songket dan Tenun Pahang Diraja menjadi pilihan menteri selain berjaya memikat hati Puteri Mahkota Denmark, Mary Elizabeth Donaldson.

"Secara tidak rasmi, produk penjara sudah pun 'menembusi' pasaran antarabangsa melalui pembelian tetamu luar negara yang melawat galeri penjara.

"Kain tenun hasil buatan tangan penghuni penjara turut mendapat pengiktirafan Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj, isteri kepada Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah," katanya.

Pertingkat pasaran produk

Ditanya tentang kaedah pemasaran, Mohd Sakeri berkata, buat masa ini Jabatan Penjara Malaysia menggunakan empat kaedah bagi memasarkan produk buatan penghuninya.

“Kaedah pertama ialah jualan dalam talian di laman sesawang rasmi galeri penjara. Kedua, melalui jualan terus di galeri pameran untuk pasarkan produk penjara kepada pengguna tempatan.

“Terdapat lima galeri jualan di Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang; Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Gopeng, Perak; Kuantan, Pahang; Kempas, Johor Bahru dan Ayer Keroh, Melaka,” katanya.
Menurut Mohd Sakeri, Jabatan Penjara Malaysia turut mengadakan jualan bergerak secara berkala di setiap negeri melalui Program Info Kraf.
“Kami turut menerima jemputan untuk sertai pameran industri seperti Hari Kraf Kebangsaan,” katanya.

Jabatan Penjara Malaysia juga mengutamakan pengukuhan pasaran domestik bagi produknya.

“Kami perlu dapatkan keyakinan pengguna supaya memilih produk penjara sekali gus mengurangkan pandangan negatif masyarakat terhadap produk dihasilkan banduan.

“Kami juga akan pastikan produk dihasilkan memenuhi ketetapan Kementerian Kesihatan serta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia terutama bagi produk makanan,” katanya.

Selain itu, Mohd Sakeri berkata, jabatan itu juga sentiasa menambahbaik sistem perniagaan dalam talian bagi menarik lebih ramai pengguna membeli mahupun melihat produk dihasilkan.

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/uniknya-produk-penjara-1.277097