SME Corporation Malaysia (SME Corp) yakin sasarannya untuk 100 syarikat tempatan menerima pensijilan Tanda Keunggulan Kebangsaan untuk Jenama Malaysia (Malaysian Brand) menjelang hujung tahun ini akan tercapai.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Datuk Hafsah Hashim berkata, pada suku pertama tahun ini sebanyak tujuh syarikat tempatan baharu telah menerima pengiktirafan itu, menjadikan keseluruhannya 92 syarikat telah menerima sijil itu sejak ia diperkenalkan pada 2009.

"Dengan kerjasama Sirim QAS, kami telah mengenal pasti beberapa syarikat layak untuk mendapat pensijilan itu dan kini dalam proses penilaian terhadap tujuh atau lapan syarikat lagi.

"Oleh itu, kami yakin untuk mencapai jumlah itu sebelum Januari 2015," katanya selepas pelancaran Seminar Penjenamaan 2014 yang julung kali dianjurkan di Kuala Lumpur, semalam.

Sementara itu, ketika mengulas berhubung jumlah syarikat menerima pensijilan itu yang masih agak rendah, Hafsah berkata, Malaysian Brand bukan mengenai kuantiti tetapi penumpuan diberikan kepada kualiti jenama yang akan turut menjadi imej kepada negara.

Pensijilan Malaysian Brand menggambarkan kualiti, kecemerlangan dan keunikan produk dan perkhidmatan oleh syarikat tempatan.

Sementara itu, Seminar Penjenamaan 2014 yang dianjurkan SME Corp dihadiri oleh 150 syarikat kecil dan sederhana (PKS) yang merupakan penerima pensijilan Malaysian Brand dan pemenang Anugerah E50.

Hafsah berkata, PKS disarankan menggunakan platform seperti seminar itu untuk menimba lebih banyak maklumat, bertukar idea, pengetahuan dan pengalaman dalam isu seperti nilai dan inisiatif penjenamaan di samping mewujudkan jaringan perniagaan yang mantap.

Tujuan seminar satu hari itu adalah untuk memberikan kesedaran dan menambah pengetahuan berkenaan kepentingan penjenamaan dan cara meningkatkan keberkesanan penjenamaan.