PERBADANAN Usahawan Nasional Bhd (PUNB) sasar untuk membangunkan 95 syarikat dan perniagaan berkaitan automotif dengan nilai peruntukan RM22 juta sepanjang tahun ini.

Pengerusi PUNB, Datuk Seri Mohd Ali Mohd Rustam berkata, terdapat 35,000 syarikat automotif di negara ini dan hanya 10 peratus atau 3,500 ialah usahawan Bumiputera.

"Walaupun masih kecil, kami harap jumlah itu akan terus berkembang dalam industri automotif pada masa depan, disokong pelbagai kemudahan pinjaman diberikan kerajaan kebelakangan ini.

"Tahun depan, kami jangka untuk bangunkan lebih banyak usahawan Bumiputera dalam industri automotif sehingga 20 peratus berbanding tahun ini," katanya selepas Majlis Perasmian Auto Forum 2014 di Putrajaya, semalam, oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehingga 30 April 2014, PUNB telah mewujudkan 814 perniagaan automotif dan membangunkan 1,197 usahawan Bumiputera dengan nilai pembiayaan RM214.6 juta.

Daripada 814 syarikat itu, 497 dibangunkan melalui Skim Prosper Runcit, Skim Prosper Teras (203), Skim Usahawan Muda (85), Skim Prosper Pemborong (21) dan Skim PKS (8).

Sementara itu, Mohd Ali berkata, menyedari hakikat kurangnya penyertaan Bumiputera di lokasi perniagaan strategik seperti pusat membeli-belah, PUNB dengan kerjasama peneraju industri mewujudkan Bumiputera Retailer Organisation (BRO).

"BRO akan membantu menempatkan perniagaan Bumiputera yang berpotensi di lokasi strategik," katanya.

Auto Forum 2014 dianjurkan setiap dua tahun sejak 2008 untuk berkongsi pengetahuan, pengalaman dan maklumat bidang automotif.