HARGA kenderaan di Malaysia diramalkan tidak mengalami perbezaan besar selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar enam peratus bermula 1 April 2015.

Pengurus Besar Naza Italia Sdn Bhd Wan Ahmad Wan Abas berkata, syarikat itu juga yakin pelaksanaan GST tidak akan memberikan cabaran kepada operasi jualan keretanya.

"Naza Italia melihat pelaksanaan GST adalah satu perkara yang perlu dilakukan dan kami bersedia untuk melaksanakannya.

"Kami tidak bimbang untuk melaksanakan GST kerana sudah bersedia malah kakitangan Naza Italia telah menjalani latihan mengenai GST," katanya dalam sidang media sempena pelancaran kereta Maserati Ghibli di Petaling Jaya, semalam.

Sementara itu, Wan Ahmad berkata, Naza Italia yakin trend jualan pada tahun ini positif.

Menurutnya, Naza Italia yang merupakan pengimport dan pengedar tunggal kereta Maserati di Malaysia menyasarkan untuk merekodkan 100 peratus pertumbuhan jualan pada tahun ini berdasarkan kepada jualan terkini pada suku pertama 2014 yang meningkat 80 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Melalui pelancaran Maserati Ghibli dan perkembangan Maserati sebelum ini, kami yakin sasaran itu akan dicapai. Malah jualan itu dipacu oleh pasaran Meserati di Johor dan Pulau Pinang,” katanya.

Wan Ahmad berkata, perkembangan jualan kenderaan mewah di negara ini juga positif kerana trend jualan kenderaan dipasarkannya menunjukkan pertumbuhan baik dari tahun ke tahun.

“Setakat ini, Naza Italia masih mengeluarkan kenderaan mewah untuk memenuhi permintaan masyarakat di negara ini seperti Maseriti Ghibli.

“Kami akan meneruskan penambahbaikan untuk meningkatkan jualan dan kualiti kenderaan keluaran kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pasaran Luar Negara dan Pengurus Produk Maserati SpA, Robert Jahnke berkata, Maserati akan mengeluarkan 50,000 kereta pada 2015 untuk pasaran seluruh dunia.

“Ghibli ialah model kedua selepas Quattroporte dihasilkan berdasarkan standard penanda aras baharu dalam kilang pengeluaran Maserati di Grugliasco berdekatan Turin, Itali.

“Sedan eksekutif sports empat pintu ini menggabungkan reka bentuk dengan ciri pengendalian yang baik dan prestasi cemerlang,” katanya.

Ghibli dan Ghibli S boleh didapati masing-masing bermula daripada RM538,800 dan RM628,800.