SEBANYAK 75 peratus daripada perniagaan di negara ini berpendapat bahawa sistem baharu cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ialah bentuk cukai tidak langsung yang lebih baik berbanding model cukai jualan dan perkhidmatan yang digunakan kini, menurut satu tinjauan dijalankan Persatuan Kebangsaan ICT Malaysia (Pikom).

Namun, tinjauan itu juga menunjukkan hanya kurang 50 peratus daripada perniagaan tempatan ini telah bersedia untuk menggunapakai sistem baharu GST dari sudut tenaga kerja, sistem teknologi makluma(IT) dan proses perniagaan.

Pengerusi Pikom Cheah Kok Hoong berkata, tinjauan dijalankan pada Mac lalu itu menunjukkan organisasi tempatan sudah ada pengetahuan asas mengenai sistem GST termasuk pengecualian barangan eksport dan penalti.

"Ini kemungkinan disumbangkan oleh program kesedaran yang berkesan dijalankan kerajaan bersama beberapa organisasi terpilih dari sektor swasta.

"(Tetapi) apa yang paling mengejutkan ialah sehingga kini, kurang 25 peratus daripada majikan telah menghantar kakitangan (jabatan) IT mereka untuk dilatih secara betul bagi melaksanakan sistem baharu GST," katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Tinjauan itu bermatlamat untuk mengenal pasti sentimen dan kesediaan pasaran untuk pelaksanaan GST pada 1 April 2015.

Beliau menambah, tinjauan itu turut mendapati lebih 60 peratus organisasi tempatan mengakui sistem GST akan memberi kesan besar kepada perolehan mereka.

Menurut Kok Hoong, hasil utama daripada tinjauan itu ialah organisasi di Malaysia mencari lebih banyak alternatif untuk sokongan kewangan dan latihan daripada syarikat tempatan dan agensi kerajaan untuk melaksanakan sistem GST dalam organisasi mereka.

"Pikom akan menawarkan perundingan dan penyelesaian kepada pelanggan perniagaan semasa Digital Lifestyles Expo pada Ogos nanti, selari dengan usaha kami untuk menyokong pelaksanaan GST," katanya.

Tinjauan Kesan GST kepada Perniagaan yang dijalankan di seluruh negara itu membabitkan lebih 1,000 organisasi tempatan terutama syarikat IT dan perniagaan lain dalam pelbagai industri.

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/peniaga-akui-gst-lebih-baik-1.275452