MALAYSIA terunggul dalam kalangan lima negara Asean kerana ekonominya yang diunjur mengalami pertumbuhan paling cepat pada 2014, kata Institut Penyelidikan RHB.
Lima negara Asean itu terdiri daripada Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia akan berkembang pada kadar yang pantas sebanyak 5.4 peratus tahun ini, selepas sederhana kepada +4.7 pertus tahun lepas.
"Permintaan domestik didorong oleh pelaburan swasta akan terus menjadi pemacu utama pertumbuhan, iaitu berkembang pada kadar sederhana kerana perbelanjaan yang meningkat.
"Ini berkemungkinan dibantu oleh peningkatan dalam permintaan luar untuk eksport negara," kata Institut Penyelidikan RHB dalam laporan tinjauan ekonomi, di Kuala Lumpur hari ini.
Eksport sebenar dijangka meningkat kepada +4.5 peratus pada 2014 daripada -0.3 peratus tahun lalu akibat permintaan kukuh daripada ekonomi maju dan pertumbuhan kekal dalam ekonomi serantau.
Perbelanjaan pengguna diunjur tumbuh pada kadar sederhana 6.0 peratus tahun ini, selepas berkembang pada kadar kukuh +7.6 peratus pada 2013.
Kerajaan pula kekal pada kedudukan yang betul untuk mengurangkan lagi defisit fiskal kepada 3.5 peratus daripada KDNK tahun ini berbanding3.9 peratus tahun lepas.
Ini akan didorong oleh pertambahan hasil berterusan, pertumbuhan ekonomi yang kukuh, perbelanjaan lebih bijak dan pelaksanaan perubahan dalam perbelanjaan.
Inflasi mungkin meningkat kepada kira-kira 3.0-3.4 peratus tahun ini, daripada +2.1 peratus tahun lepas, selepas mengambil kira satu lagi pusingan kenaikan harga minyak dalam tempoh enam bulan kedua 2014, kata institut penyelidikan itu.
Ia juga berkata bank pusat mungkin menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas ke arah suku ketiga 2014 kepada 3.25 peratus selepas mengekalkan ia tanpa berubah 3.0 peratus selama lebih dua tahun. - Bernama
0 Komentar untuk " Ekonomi Malaysia dijangka tumbuh paling cepat "