KEMENTERIAN Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah (KKLBW) akan menjalin kerjasama lebih erat dengan pasar raya besar bagi membantu usahawan luar bandar memasarkan hasil produk pertanian mereka di premis tersebut.

Menterinya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, jika dahulu produk usahawan luar bandar dihubungkan dengan pasaran menerusi aktiviti seperti pameran tetapi kini ia akan ditingkatkan lagi menerusi pembabitan pasar raya besar.

“Sebagai contoh di Kuala Lumpur ketika ini, hasil pertanian dari Kedah seperti serai akan dijual di pasar raya,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) Zon Sarawak 2014 di Tebingan Sungai, Kuching, kelmarin.

Turut hadir Timbalan Menteri Datuk Alexander Nanta Linggi, Menteri Muda Di Jabatan Ketua Menteri (Pembangunan Usahawan) Datuk Naroden Majais, dan Ketua Setiuasaha KKLBW Datuk Seri Ibrahim Muhamad.

Mengulas lanjut Shafie berkata, selain membantu memasarkan produk, KKLBW akan turut membantu dari segi pembungkusan produk serta menambah baik pembungkusan sedia ada agar ia kelihatan lebih menarik tanpa meningkatkan kos.

Menurutnya, KKLBW yakin produk dihasilkan usahawan luar bandar akan lebih laris sekiranya mempunyai kaedah pembungkusan lebih baik.

Sementara itu, Shafie berkata KUD yang dianjurkan setiap dua tahun sekali telah mencapai objektif penganjurannya dengan peningkatan penyertaan daripada hanya 76 peserta pada 2006 kepada 600 peserta tahun lalu.

“Hasil jualan tunai semasa karnival berlangsung juga meningkat secara positif daripada RM98,750 pada tahun pertama penganjuran kepada RM2.65 juta pada tahun lalu. Jumlah pengunjung juga menunjukkan peningkatan daripada hanya kira-kira 12,000 orang pada 2006 kepada kira-kira satu juta orang tahun lalu,” katanya.

Hasil kejayaan penganjuran KUD itu, KKLWB mengambil inisiatif menganjurkan Mini KUD yang akan diadakan di enam zon seluruh negara tahun ini dengan Mini KUD Zon Sarawak yang dilancarkan semalam ialah pembuka tirai untuk karnival tersebut. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/kklbw-bantu-pasarkan-produk-usahawan-luar-bandar-1.276688