KERAJAAN terus komited meningkatkan jualan buah-buahan dan sayur-sayuran premium Malaysia terutama ke Timur Tengah dan Eropah, demikian menurut laporan tahunan Program Transformasi Ekonomi (ETP) 2013.
  
Melalui Projek Permulaan (EPP) sektor pertanian negara, pelaksanaan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dapat menjamin pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran tempatan bermutu tinggi.
  
Menurut laporan yang dikeluarkan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu),  Jabatan Perdana Menteri (JPM), Jabatan Pertanian mencatat pelaburan RM51.53 juta diperoleh daripada syarikat swasta dengan tanah seluas 980.9 hektar untuk tujuan TKPM tahun lalu.
  
Katanya pengeluaran melalui TKPM meraih RM70.8 juta dan dijangka menambah jumlah eksport buah-buahan dan sayur-sayuran negara kepada RM469.29 juta, melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu RM400 juta.    

Antara buah-buahan yang tersenarai ialah belimbing, betik, pisang, nangka, tomato dan lada benggala.
  
Selain menggandakan jumlah eksport, TKPM juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan pendapatan usahawan tani.
  
Sehingga kini, projek itu berjaya menarik 453 peserta untuk menanam buah-buahan dan sayur-sayuran bagi pasaran domestik dan eksport dan 60 peserta memperoleh pendapatan RM1,000 sebulan melaluinya.
  
Laporan itu berkata tahun 2014 akan menyaksikan aktiviti pengeluaran oleh syarikat peneraju di kawasan baru disiapkan termasuk Pusat Pemprosesan dan Pembungkusan Lengkap yang membolehkan lebih banyak buah-buahan bermutu diproses.
 
Menurutnya inisiatif itu juga dapat merangsang pengeluaran TKPM supaya jumlah pengeluaran dari TKPM dan syarikat peneraju ditingkatkan kepada 40,000 tan metrik berbanding 36,000 tan metrik sekarang.
  
Membangunkan kluster tenusu juga tersenarai antara EPP bagi mengurangkan kebergantungan kepada susu segar import.
  
EPP ini telah mencapai jumlah pengeluaran susu sebanyak 17.23 juta liter dengan purata 12.24 liter setiap laktasi dalam sehari yang dihasilkan seekor lembu tahun lalu.
  
Dalam perkembangan lain, sejumlah 1,000 hektar keluasan tanah disasarkan untuk penanaman beras wangi tahun ini yang dijangka menghasilkan 2,500 tan metrik.
  
Selain itu dua kilang yang direka khas untuk mengisar beras wangi akan siap pada bulan Jun 2014, katanya.
  
Syarikat peneraju di bawah EPP ini akan dilantik untuk menjalankan aktiviti penanaman dan pengkomersialan varieti beras wangi yang dihasilkan oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi).
  
Secara keseluruhannya, syarikat-syarikat peneraju terlibat telah menghasilkan 1,230 tan metrik beras wangi di kawasan lebih 788 hektar. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/kerajaan-terus-tingkat-eksport-buah-buahan-sayur-1.279441