Saya terpanggil untuk memberikan komentar balas terhadap tulisan Nurul Izzah di The Malaysian Insider pada 16 Mei lepas bertajuk Ada Apa Pada Muslim Moderat. Tulisan tersebut boleh didapati di sinihttp://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/ada-apa-pada-muslim-moderat-nurul-izzah
Kupasan beliau itu kononnya adalah untuk menjawab pertanyaan rakan-rakan bukan Islam beliau berkaitan dengan beberapa kenyataan ISMA yang disifatkan kontroversi oleh beberapa pihak. Rakan-rakan beliau bertanya “Kenapa tidak ramai Muslim Melayu moderat (moderate Malay Muslims) yang bangun menjawab kenyataan sebegitu rupa?”. Maka Nurul Izzah pun mengeluarkanlah pandangan beliau tentang Muslim Moderat dan membawa beberapa ayat Al-Quran yang diharapkan menyokong pandangan beliau.
Melalui penulisan tersebut beliau cuba membuat kesimpulan bahawa tiada istilah Muslim Moderat kerana hakikat Islam itu ialah sememangnya selamat, kedamaian dan rahmatan lil alamin. Yang selainnya adalah ekstrimis dan menyokong keganasan. Beliau menyebut maksud Islam itu “antaranya termasuklah maksud selamat, berada dalam keadaan penuh kedamaian. Islam adalah rahmatan lil alamin, rahmat kepada semua. Islam tidak menganjurkan kebencian antara satu sama lain.”
Saya cukup yakin rakan-rakan bukan Islam Nurul Izzah faham dan tahu apa yang mereka mahu di sebalik istilah Moderat Malay Muslims. Namun saya tidak pasti samada Nurul Izzah faham atau cuba mengaburi pembaca dengan kupasan yang indah-indah dan disulami dengan ayat-ayat Al-Quran.
Sebenarnya terma Muslim Moderat adalah satu istilah yang Barat wujudkan untuk merujuk kepada golongan muslim yang pro kepada demokrasi dan pro Barat. Istilah ini sengaja diwujudkan oleh Amerika dan Barat untuk menangani kebangkitan dunia Islam. Pada tahun 2007, RAND Corporation, sebuah badan penyelidikan yang berpangkalan di Amerika telah menerbitkan sebuah dokumen bertajuk Building Moderate Muslim Network. Dokumen ini memuatkan langkah-langkah strategik untuk membangunkan Jaringan Muslim Moderat dengan harapan agar umat Islam akan terbuka dengan idea-idea demokrasi barat dan menjadikan Barat sebagai kiblat kepada sistem kehidupan.
Barat menganggap, kumpulan Islam yang berpegang dengan Islam dan berjuang untuk Islam sebagai fundamentalis dan harus dicairkan. Apa-apa sahaja suara yang mengajak kembali kepada sumber Al-Quran dan sunnah, kembali kepada syariat Islam dan perjuangan menolak Barat dianggap penghalang kepada projek Muslim Moderat dan harus disekat.
Di antara badan yang diwujudkan Amerika bagi menjayakan projek RAND Corporation ini ialah National Endowment for Democracy (NED), National Democratic Institut (NDI), Asia Foundation (AF), International Center for Islam and Pluralism (ICIP) dan Center for the Study of Islam and Democracy (CSID). Melalui badan-badan ini, Amerika akan memulakan jaringannya di dunia-dunia Islam melalui individu-individu atau tokoh berprofil tinggi atau pertubuhan-pertubuhan NGO setempat yang bernamakan Islam tetapi berideologi barat.
Hasilnya lahirlah pemimpin-pemimpin pro-Barat dan menganggap semua yang datang dari Barat adalah baik, moden dan selari dengan hak-asasi manusia.
Juga, mungkin ramai masih tidak tahu atau lupa bapa kepada Nurul Izzah, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah seorang tokoh muslim moderat. Beliau telah menerima anugerah “Muslim Moderate of The Year Award” pada tahun 2005 yang dianugerahkan oleh CSID.
Sebab itulah idea-idea yang datang daripada puak-puak muslim moderat ini begitu cair atau liberal dan membuat penafsiran-penafsiran tentang islam mengikut kefahaman liberal mereka.
Berbalik kepada tulisan Nurul Izzah, beliau hanya mendefinisikan Islam dari sudut pemikiran seorang muslim moderat. Islam padanya hanyalah bermaksud selamat, sejahtera, kedamaian. Menganggap semua agama sama rata, sama hak dan tiada istilah supremercy agama. Maka lahirlah istilah Islam agama kedamaian, Islam agama kasih sayang, Islam agama rahmat kepada seluruh alam yang lari dari konteks.
Tetapi beliau lupa bahawa Islam juga bermaksud “submission” iaitu tunduk dan patuh kepada Allah swt dan syariatNya. Beriman dengan setiap ayat-ayat Allah dan hadis nabiNya. Bertanggung jawab untuk menegakkan dalam kehidupannya, juga berjuang mempertahankanNya. Dan Allah telah sebutkan bahawa satu-satunya deen (agama atau cara hidup) di sisi Allah hanyalah Islam.
Maka tidak hairan, seruan yang diperjuangkan oleh ISMA agar umat Islam kembali kepada jati diri yang sebenar dan bangkit memperjuangkan hak bangsa Melayu dan umat Islam dianggap penghalang kepada idea demokrasi ala Barat. Tidak selari dengan hak kebabasan asasi manusia. Seruan-seruan Islamis seperti ni perlu dihentikan dengan apa juga cara. Maka dicampakkanlah momokan-momokan rasis, fundamentalis, ekstrimis dan bermacam lagi.
Malangnya, hari ini ada pula sesetengah kumpulan Islamis atau individu yang memberikan ruang seluas-luasnya kepada puak-puak muslim moderat ini untuk melaksanakan agenda mereka. Individu dan kumpulan seperti inilah yang sebenarnya mengelirukan bukan Islam kerana tidak mencerminkan jatidiri umat Islam seperti yang dikehendaki agama.
Mohd Noor Azib Asmangi
Yang Dipertua ISMA Daerah Hulu Langat
Yang Dipertua ISMA Daerah Hulu Langat
0 Komentar untuk " “Izzah, begini maksud Muslim Moderat” – YDP ISMA Daerah Hulu Langat "