FILIPINA sering menjadi bahan senda kebanyakan penduduk Malaysia. Namun, kita harus menilai kembali persepsi terhadap negara berpenduduk kedua terbesar (hampir 100 juta penduduk) di rantau Asean ini. Apatah lagi, angka pertumbuhan ekonomi mereka kini mengatasi pertumbuhan Malaysia.

Sejak dahulu saya mengagumi potensi ekonomi Filipina dan bagaimana ia terus berkembang maju. Keberkesanan modal insan di Filipina terdiri daripada golongan berpelajaran dan fasih berbahasa Inggeris serta berpegang teguh pada etika kerja telah memacu ekonomi Filipina ke hadapan.

Seperti diungkapkan rakan baik saya yang juga penulis terkenal di bidang perniagaan Doris Dumlao dalam Filipina Daily Inquirer “… saya masih ingat beliau (Karim) pernah memberitahu saya beberapa tahun dahulu sebelum ramai menyedarinya bahawa beliau dapat berasakan terdapat perubahan dan pembaharuan yang sedang berlaku di Filipina.”

Anda tidak perlu menghadiri sesi Forum Ekonomi Dunia (WEF) untuk mendapat gambaran potensi sebenar Filipina.

Perkembangan pesat ekonomi Filipina semakin jelas terserlah di bawah kepimpinan Presiden Benigno “NoyNoy” Aquino III.

Menurut syarikat maklumat global IHS, ekonomi Filipina dijangka mencecah nilai satu trilion Dolar Amerika menjelang 2030.

Sementara itu, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, yang kini berjumlah USD2,800 dijangka meningkat lebih dua kali ganda hingga mencapai USD5,800 menjelang 2024.

Ekonomi Filipina berkembang sebesar 7.2% pada 2013. Walaupun dilanda Taufan Haiyan, negara tersebut masih berupaya mencatat perkembangan ekonomi  6.5% pada suku keempat tahun lepas. Malah, ekonomi Filipina yang kedua paling pesat di Asia selepas China.

Perkembangan ekonomi Filipina pada suku pertama 2014 dijangka mencapai sekurang-kurangnya 7%. Unjuran rasmi menunjukkan ekonomi Filipina dijangka meningkat antara 6.5%-7.5% pada 2014.

Perkembangan ekonomi ini merupakan pencapaian terbaik bagi Filipina sejak 1950-an. Nilai pelaburan asing turut meningkat hampir dua kali ganda mencapai USD2.8 bilion sejak 2008.

Industri-industri penting seperti sektor penyumberan luar proses perniagaan (BPO) terus menunjukkan pencapaian baik, malah mengatasi India selaku peneraju utama industri BPO di peringkat global.

Setiap pencapaian ekonomi yang ditunjukkan ini memberi gambaran tentang keunggulan kualiti modal insan di Filipina. Umum mengetahui Presiden Aquino memberi penekanan mendalam terhadap aspek pembangunan modal insan serta latihan kemahiran dan bahasa.

Hal ini juga membantu dalam mengurangkan kebergantungan kepada rakyat Filipina yang bekerja di luar negara. Selain itu, sektor perjudian di Filipina turut mengalami perkembangan pesat.

Namun begitu, bagi saya, daya tarikan sebenar Filipina terletak pada kemeriahan budayanya, termasuk muzik, seni dan televisyen mereka.

Tentu sekali, Filipina perlu berdepan dengan halangan dan cabaran mereka tersendiri. Seperti Indonesia juga – gergasi ekonomi Asia Tenggara, isu infrastruktur yang lemah masih menjadi masalah besar buat Filipina.

Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino di Manila adalah satu contoh projek infrastruktur yang mengecewakan. Namun, Filipina sedang berusaha memperuntuk USD8 bilion untuk membangun dan menaik taraf infrastruktur negara, termasuk lebuh raya dan lapangan terbang.

Biarpun seluruh rantau Asia Tenggara menyanjung usaha perjanjian damai kerajaan dengan Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) baru-baru ini, isu keselamatan masih dipandang serius terutama di wilayah Selatan Filipina. Begitu juga dengan isu kemiskinan dan rasuah.

Tambahan pula, pertikaian sempadan maritim dengan China yang telah dibawa ke Mahkamah Timbang Tara Tetap mengeruhkan lagi ketegangan di rantau Asia Tenggara.

Pertikaian dengan China juga menjejaskan pendapatan dari sektor pelancongan dan pelaburan yang sangat diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi Filipina.

Lebih-lebih lagi, saya telah bangkitkan hal ini semasa sesi di WEF seperti ditetapkan Perlembagaan Filipina, Presiden Aquino perlu melepaskan jawatannya pada 2016, setelah tamat tempoh satu penggal pentadbirannya selama 6 tahun. Ini bermakna usaha pemulihan dan pembaharuan mungkin akan terjejas jika pengganti beliau tidak memiliki keazaman yang sama dengan Aquino.

Namun, saya yakin Filipina akan terus menyerlah dan menempa nama di mata dunia!


* Karim Raslan ialah kolumnis dan penganalisis politik di Asia Tenggara. Dokumentarinya boleh ditonton di:http://www.youtube.com/user/KRceritalah