BAGI menjawab persoalan isu kesukaran mendapat pinjaman kerajaan dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini, wartawan Sinar Harian bertemu Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp) Datuk Hafsah Hashim yang memberi penerangan bagi mengembalikan keyakinan usahawan untuk memohon bantuan tanpa rasa takut atau ragu.
SME Corp adalah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang menjadi agensi penyelaras pusat bagi merangka keseluruhan dasar dan strategi untuk PKS, dan menyelaraskan program merentasi 15 kementerian dan 60 agensi lain.
Hafsah berkata, usahawan yang memohon bantuan daripada SME Corp tetapi tidak berjaya kebanyakannya disebabkan borang permohonan dan dokumen sokongan tidak lengkap serta masalah disiplin pengurusan kewangan.
“Mereka selalu cakap susah dapat (bantuan) tetapi borang yang dihantar tiada dokumen sokongan dan ianya menyukarkan kami untuk memproses permohonan tersebut.
“Sedangkan kami telah menyediakan senarai semak bagi dokumen yang diperlukan.

Jika lengkap dalam masa seminggu dua sudah boleh lulus," katanya.
Menurut beliau, contoh dokumen sokongan yang diperlukan adalah seperti sebut harga daripada tiga syarikat, jika permohonan pembiayaan itu berkaitan dengan urusan pembelian barangan seperti mesin.
Hafsah juga berkata, ada juga dalam kalangan pemohon yang tidak mempunyai disiplin kewangan dengan syarikat mereka tiada akaun kewangan yang diaudit, atau lebih parah lagi, langsung tiada akaun kewangan perniagaan.
“Bagaimana kita nak luluskan permohonan mereka sekiranya tiada akaun kewangan perniagaan sebab kita tidak tahu sama ada mereka benar-benar menjalankan perniagaan atau pun tidak,” katanya.
Hafsah turut menegaskan bahawa tanggungjawab dan amanah yang diberikan kepada SME Corp adalah untuk membantu usahawan PKS.
“Kalau boleh memang saya nak tolong semua, tetapi saya terikat dengan disiplin dan pengurusan. Saya perlukan semua dokumen dan memastikan mereka mengikut prosedur kalau saya hendak membantu, sebab pada akhirnya nanti saya juga akan diaudit.
“Ada syarikat yang berbulan-bulan kami minta dokumen sokongan yang lengkap, kami telefon, emel tetapi mereka masih mendiamkan diri,” katanya.
SME Corp turut bantu PKS tembusi pasaran

Sementara itu, selain pembiayaan kewangan, Hafsah juga berkata SME Corp sentiasa menyokong syarikat yang terpilih bagi menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa melalui beberapa aspek.
“Pertama dari segi pembungkusan dengan kami akan membantu syarikat yang dipilih untuk menambah baik pembungkusan produk mereka supaya lebih menarik serta boleh menarik perhatian pengguna untuk membeli produk tersebut.
“Kedua dari segi teknik jualan, iaitu cara PKS menjual produk mereka. Bagi tujuan ini kami akan menyediakan sesi bimbingan dengan syarikat besar menjadi mentor untuk membimbing PKS tentang penjenamaan produk serta teknik rundingan berkesan untuk menjual produk mereka,” katanya.
Hafsah juga menambah bahawa SME Corp telah bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) bagi membantu produk syarikat PKS menembusi pasaran antarabangsa.
“Matrade melihat kesemua 77 syarikat yang menerima Tanda Keunggulan Kebangsaan untuk Jenama Malaysia, iaitu program di bawah SME Corp mempunyai potensi untuk menembusi pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Untuk pengetahuan PKS, kami di SME Corp mengutamakan kualiti produk bagi syarikat yang menerima sijil tersebut dan kesemuanya mesti mendapat tiga bintang dan ke atas untuk skor audit SME Corp," jelasnya

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/sme-corp-tidak-susahkan-pks-1.267897