MALAYSIA masih kekal pengeksport terbesar produk halal dunia dengan nilai eksport berjumlah RM32.8 bilion meskipun jumlah itu hanya meliputi lima peratus daripada keseluruhan jumlah eksport negara tahun lepas.

Pada 2013, eksport negara meningkat 2.4 peratus atau RM17.17 bilion kepada RM719.81 bilion.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ir Hamim Samuri berkata, Malaysia turut menjadi satu-satunya negara yang mengeluar, mengawal, mentadbir dan mengurus sijil halal yang diiktiraf di seluruh dunia.

"Kita menerajui industri produk halal di dunia dan masih banyak lagi pasaran barangan itu yang boleh diterokai," kata beliau ketika merasmikan sambutan Maulidur Rasul di Masjid Sultan Ismail, Tanjung Agas, di Tangkak hari ini.

Sambutan itu yang dianjurkan bersama oleh kilang-kilang elektronik iaitu ST Microelectronics (M) Sdn Bhd, Micron (M) Sdn Bhd dan Pioneer Electronics serta
Pejabat Kadi Daerah Ledang itu, dihadiri kira-kira 1,000 orang.

Hamim, yang juga anggota Parlimen Ledang, turut mengajak usahawan Islam supaya merebut dan mengambil peluang dalam meneroka pasaran produk halal dunia yang bernilai trilion ringgit itu.

Menyentuh mengenai bidang teknologi maklumat (IT) pula, beliau berkata pakar-pakar IT Islam Malaysia telah berjaya menyekat kegiatan ajaran sesat yang menggunakan kaedah salin dan tampal terhadap kandungan Al-Quran.

"Mereka menambah juzuk Al-Quran daripada yang asal 30 juzuk sehingga kepada 100 juzuk melalui kaedah salin dan tampal untuk mengelirukan umat Islam. Justeru itu, kita (umat Islam) mestilah menguasai IT bukan sahaja untuk kemajuan tetapi bagi memastikan agama Islam terpelihara," tambah beliau.

Beliau berkata, Malaysia telah berjaya melahirkan 150 jurutera Melayu Islam yang kini berkhidmat dengan syarikat pengeluar pesawat, Airbus, yang berpangkalan di Perancis.

Penglibatan mereka dalam mereka bentuk pesawat sekaligus membuktikan yang umat Islam juga boleh maju dalam bidang aeroangkasa pada masa hadapan, katanya. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/malaysia-pengeksport-produk-halal-terbesar-dunia-1.274511