KUALA LUMPUR - Kerajaan bekerjasama dengan Halal Industry Development Corporation (HDC) bagi mewujudkan insentif baharu kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi melancarkan perniagaan syarikat tersebut, kata Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Hamim Samuri.

Beliau berkata, insentif dalam bentuk kewangan oleh kerajaan dan program latihan oleh HDC, akan dilaksanakan tidak lama lagi.

"Kerajaan sentiasa memastikan usaha berterusan dijalankan bagi menambah baik kualiti industri halal negara.

"Ia bukan sahaja dapat membantu mengembangkan industri halal negara, malah dapat menarik pelabur asing untuk melabur di sini," katanya selepas lawatan media di sini hari ini.

Hamim berkata, negara luar menyedari kepakaran Malaysia dalam industri halal ini dan mereka mahu bekerjasama dengan Malaysia dan juga syarikat halal di sini.

Oleh itu, PKS perlu memastikan produk dan jenama mereka mempunyai kualiti yang tinggi agar mendapat perhatian daripada syarikat luar negara yang mahu bekerjasama dengan mereka, katanya.

Menurut Hamim, China merupakan antara negara yang telah melabur di Malaysia dalam industri halal, di zon PKFZ Halal di Pelabuhan Klang.

Ketua Pegawai Eksekutif HDC Datuk Seri Jamil Bidin berkata, bagi meningkatkan penjenamaan syarikat PKS, HDC bekerjasama dengan Pusat Pembangunan Reka Bentuk, iaitu anak syarikat Majlis Amanah Rakyat bagi mempertingkat kualiti penjenamaan produk-produk halal tersebut.

"Produk-produk yang mempunyai penjenamaan yang baik di samping kualitinya yang tinggi akan lebih mudah mendapat pasaran luar negara.

"Oleh itu ia bukan sahaja dapat mengembangkan syarikat PKS, malah secara tidak langsung menaikkan jumlah eksport produk halal ke luar negara," katanya. - Bernama

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/insentif-baharu-bagi-pks-halal-1.269176