TEMERLOH - Bank Rakyat memperuntukkan lebih RM1.2 juta bagi membina sebanyak 30 unit rumah untuk penduduk miskin seluruh negara tahun ini dalam usaha membantu mereka memiliki kediaman sendiri.
Naib Presiden Bank Rakyat Wilayah Tujuh Sharifuddin Abdullah berkata, setiap rumah yang dibina itu berharga kira-kira RM40,000 dan dilengkapi tiga bilik tidur serta satu bilik air.
"Bank Rakyat menggunakan sebahagian wang zakat bagi melaksanakan program kemasyarakatan termasuk membina rumah kediaman dan membantu pendidikan pelajar kurang berkemampuan.
"Di Pahang sendiri, kita telah membina sebanyak tiga unit rumah bagi rakyat miskin setelah menerima permohonan daripada wakil rakyat dan ketua kampung," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian dan penyerahan kunci rumah kediaman milik pasangan Abd Halim Sulaiman, 41 dan Norizan Jaafar, 38, di Kampung Gunung Senyum dekat sini hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-Tugas Khas Negeri Pahang Datuk Syed Ibrahim Syed Ahmad.
Sementara itu, Syed Ibrahim ketika berucap merasmikan program itu berkata, kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa peka dengan kebajikan penduduk yang memerlukan kemudahan asas terutama rumah kediaman.
Beliau berkata, sepanjang pemerintahan kerajaan BN, banyak agensi swasta telah tampil memberikan sumbangan kepada masyarakat miskin di negara ini sekaligus membuktikan agensi swasta sentiasa bekerjasama dengan kerajaan untuk membela nasib golongan miskin.
Syed Ibrahim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kawasan Kerdau turut berharap lebih banyak pihak swasta akan tampil untuk memberikan sumbangan seperti itu kepada masyarakat luar bandar. - Bernama
http://www.sinarharian.com.my/bisnes/bank-rakyat-sedia-rm1-2juta-rumah-rakyat-miskin-1.254186
0 Komentar untuk " Bank Rakyat sedia RM1.2juta rumah rakyat miskin "