SME Bank menyalurkan RM4.5 bilion mewakili 90.1 peratus daripada jumlah pembiayaan keseluruhan bernilai RM4.94 bilion kepada usahawan Bumiputera di seluruh negara.

Pengarah Urusan SME Bank Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus berkata, selaras dengan pengumuman perdana menteri dalam membantu memperkasakan Bumiputera, SME Bank berperanan penting, menyokong penuh usaha meningkatkan penguasaan ekonomi di kalangan usahawan Bumiputera.

"Kayu ukur kejayaan usahawan Bumiputera boleh dilihat dengan pengiktirafan syarikat Bumiputera berprestasi tinggi di dalam program teras yang dikendalikan oleh Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju).

"SME Bank juga akan meneruskan kerjasama dengan Teraju untuk membangun dan menyediakan dana khusus yang dikenali sebagai dana teras berjumlah RM500 juta yang menyokong pengembangan perniagaan syarikat Bumiputera berprestasi tinggi dengan skim pembiayaan mudah dan fleksibel," katanya.

Sehingga kini, SME Bank telah meluluskan pembiayaan RM343.1 juta kepada 44 syarikat Teras.

Pada masa sama, SME Bank juga memberi perhatian dan peluang kepada usahawan desa menceburi bidang keusahawanan melalui skim pembangunan ekonomi desa (Sped) bagi membangunkan usahawan Bumiputera luar bandar di dalam semua bidang ekonomi yang berdaya maju.

Katanya, Sped mendapat peruntukan RM129.23 juta dan telah meluluskan RM210.0 juta kepada 2,014 usahawan luar bandar di seluruh negara.

Dalam pada itu tidak ketinggalan, tabung khas pelancongan ditubuhkan bagi membantu pengusaha pelancongan Bumiputera berskala kecil dan sederhana untuk menjalankan perniagaan yang berkaitan pelancongan dengan meluluskan RM2.0 bilion kepada 425 syarikat.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung masa depan, Mohd Razif berkata, SME Bank akan menerokai pasaran yang sebelum ini kurang diberikan tumpuan bagi membantu usahawan mendapatkan pembiayaan serta mengukuhkan perniagaan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk kekal berdaya saing sekalgus  berdaya maju setanding dengan syarikat-syarikat besar yang lain.

http://www.sinarharian.com.my/bisnes/sme-bank-salur-rm4-5b-kepada-usahawan-1.227085