PERBADANAN Usahawan Nasional Bhd (PUNB) memperuntukkan pinjaman sehingga RM50,000 kepada usahawan yang ingin menjalankan perniagaan atas talian (online).
Pengerusi PUNB Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, pinjaman itu dilancarkan sejak Oktober lalu, tetapi kurang mendapat sambutan walaupun diwar-warkan menerusi laman sesawang PUNB.
“Sehingga kini, boleh dikatakan kurang daripada 100 pemohon membuat pinjaman itu. Sama ada mereka tidak peka dengan kemudahan diberikan atau tidak mengetahui mengenainya.
“Bagaimanapun hanya perniagaan sah dan berdaftar sahaja layak memohon,” katanya selepas majlis perasmian Seminar Kecemerlangan Keusahawanan di Petaling Jaya, semalam.
Turut hadir pada majlis itu adalah Timbalan Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam), Tan Sri Mohd Najib Abdul Aziz.
Sementara itu, Pengerusi Biro Wanita dan Keluarga Pemadam Datuk Jamelah Abu Bakar, seminar ini menjadi platform pendedahan kepada bakal usahawan sebelum memulakan perniagaan dalam pelbagai sektor selain melahirkan usahawan wanita berdaya saing.
“Ini adalah penganjuran kali pertama dan merancang untuk diadakan setiap tahun bermula tahun depan dan Perlis menjadi lokasi pertama,” katanya.
Selain Jamelah, usahawan yang turut berkongsi pengalaman dalam seminar itu adalah Pengarah Urusan RZAC Kosmetik, Datuk Kamaliah Abdul Halim, usahawan farmaseutikal Datuk Dr Shimi Sumathi dan Pengarah Urusan D’Tandoor Abdul Malik Abdullah.
Antara topik yang dibentangkan adalah menerokai peluang perniagaan dalam sektor kesihatan, arena francais, sektor pemborongan dan peluang pinjaman serta dana perniagaan.
Seminar Kecemerlangan Keusahawanan anjuran Pemadam itu, dihadiri seramai 263 peserta terdiri daripada usahawan berjaya dan bakal usahawan.
http://www.sinarharian.com.my/bisnes/punb-tawar-pinjaman-bagi-usahawan-online-1.226118
0 Komentar untuk " PUNB tawar pinjaman bagi usahawan online "