GOLONGAN ulama dan ilmuwan sering mendapat peringatan tegas daripada merapati pemerintah serta penguasa, sekali gus diberikan amaran keras supaya tidak dikuasai kelompok berkenaan.
Ini kerana mereka mempunyai tanggungjawab besar dalam menyambung warisan amanah Rasulullah SAW untuk menegakkan agama dan menjaga kemaslahatan ummah.
Rasulullah SAW bersabda: Ulama ialah kepercayaan rasul dalam menjaga hamba Allah selagi mereka tidak bergaul dengan penguasa. Namun sekiranya mereka bergaul dan berbuat demikian, sesungguhnya mereka berlaku khianat kepada rasul serta hamba Allah, maka takut dan hindarilah mereka. (HR Dailami)
Tugas dan tanggungjawab itu menyebabkan mereka diiktiraf oleh Rasulullah SAW sendiri sebagai pewaris rasul dan nabi yang tidak mewariskan dinar, sebaliknya ilmu yang mengenalkan manusia kepada Allah SWT dan menjamin kebahagiaan hakiki di akhirat kelak.
Dalam kitab Nasa’ihul ‘Ibad karya Sheikh Nawawi al-Bantani, ulama besar alam Melayu itu membawa kisah ahli sufi di Balkh dan Nishapur di Asia Tengah, iaitu Yahya Mu’adz al-Razi yang melihat seorang ulama zahir dalam kalangan ahli fiqh bersenang-lenang menikmati kemewahan dunia.
Lalu, Yahya membandingkan 10 kemewahan yang diterima dan ditonjolkan dengan apa yang pernah dilimpahkan kepada raja kerajaan zaman silam serta pemerintah semasa yang tenggelam dalam kemewahan.
“Wahai pemilik ilmu yang memahami sunnah (Rasulullah SAW), sesungguhnya istanamu melambangkan kaisar Romawi dan rumahmu simbol kepada kediaman kisra Raja Parsi, manakala tempat tinggalmu seperti milik Qarun.
“Pintumu ibarat pintu Thalut; pakaianmu seperti persalinan Jalut dan cara berfikirmu melambangkan pemikiran syaitan.
“Benda yang kau miliki seperti apa yang dipakai Marwan ibnu Hakam (pemerintah Syam dalam kerajaan Umawiyah) dan kekuasaanmu menunjukkan kekuasaan Firaun,” katanya.
Yahya berkata, hakim yang membantu ulama itu sering melakukan pencerobohan, menerima rasuah dan melakukan khianat, manakala pemimpinnya hidup dalam seperti jahiliah, sekali gus mempersoalkan di manakah cara hidup yang diteladani kepada Nabi Muhammad SAW.
Bagaimanapun, peringatan tegas dan amaran keras terhadap ulama itu bukan menghalang mereka daripada berhubung dan bergaul dengan pemerintah secara mutlak.
Maulana Jalaluddin Rumi dalam kitabnya Fihi Ma Fihi, mengulas hadis Nabawi mengenai ulama paling buruk ialah ilmuwan yang mengunjungi raja, manakala sultan paling baik adalah yang menziarahi ulama.
Tokoh sufi agung itu memperbetulkan kefahaman zahir sebahagian orang yang menganggap ulama tidak boleh sekali-kali mengunjungi raja demi mengelak daripada digelar ilmuwan paling buruk.
“Ia bukanlah makna sebenar, sebaliknya ulama paling buruk ialah mereka yang bergantung hidup kepada pemerintah hingga menyebabkan seluruh hidup berlegar dan bertujuan untuk mendapatkan perhatian serta kesenangan.
“Ilmuwan sebegitu menjadikan pendidikannya sebagai batu loncatan untuk penguasa menganugerahkan hadiah, penghormatan dan jawatan tinggi.
“Oleh itu, mereka akan memperbaiki dan mengejar ilmu demi penguasa, sekali gus menjadi ulama yang takut akan pemerintah dan meletakkan diri di bawah penguasaan mereka,” tulisnya.
Oleh itu Maulana Rumi mengingatkan sama ada golongan ulama sebegitu mengunjungi penguasa atau dikunjungi pemerintah, maka hakikatnya mereka ialah tetamu, manakala raja pula menjadi tuan rumah.
Beliau menegaskan sekiranya golongan berilmu tidak menambah keilmuan untuk menarik perhatian penguasa, sebaliknya mengejar ilmu dari awal hingga akhir demi kebenaran, mereka meletakkan diri di bawah penguasaan dan tujuan yang ditetapkan Allah SWT.
“Ulama sebegini diberkati dengan bimbingan daripada rasul, manakala setiap orang yang hidup pada masanya pasti akan tersentuh dan mendapat inspirasi daripada teladan mereka.
“Sekiranya ulama terbabit terpaksa mengunjungi raja atau penguasa, hakikatnya orang berilmu itu yang sebenar dikunjungi, manakala pemerintah tetap menjadi seperti tetamu.
“Ini kerana dalam setiap keadaan, raja atau penguasa itu mengambil sesuatu dan menerima bantuan (keilmuan dan barakah) daripada ulama yang bersifat bebas,” tegasnya.
Maulana Rumi mengumpamakan ulama sebegini seperti matahari menyinari cahaya yang mengubah batu menjadi delima dan akik, menukar gunung kepada lombong tembaga, emas, perak serta besi, selain menyegar dan menghijaukan bumi dan menghangatkan kedinginan.
“Ulama sebegini akan sentiasa memberi dan tidak pernah menerima. Pepatah Arab menyebut ‘kita menambah ilmu dengan tujuan untuk memberi sesuatu, bukannya untuk mengambil sesuatu,” tulisnya.
Tidak hairanlah dalam sejarah tradisi ilmu Islam, kita melihat ramai ulama hebat yang menjauhi atau tidak terpengaruh dengan penguasa tetapi pada masa sama, ada yang menerima tanggungjawab daripada pemerintah.
Bagaimanapun, ulama hakiki bukan sahaja tidak tunduk kepada kehendak mutlak pemerintah, bahkan mereka berani menasihati dan menegur sekiranya apa yang dilakukan tidak bertepatan dengan kehendak syarak serta menjejaskan kepentingan rakyat.
Ia tidak bermakna ulama perlu bermusuhan dengan pemerintah secara mutlak, sebaliknya menjadi penasihat dan pembimbing kepada penguasa dalam mentadbir serta menjalankan amanah pemerintahan yang diberikan oleh Allah SWT.
Hubungan ulama dengan penguasa adalah seperti tuan rumah yang memiliki segala-galanya dan tetamu yang memerlukan banyak perkara seperti disyarahkan Maulana Rumi itu.
Justeru, ulama hakiki akan menempatkan diri mereka seperti tuan rumah yang tidak bergantung kepada mana-mana tetamunya, sebaliknya sentiasa memberikan sesuatu kepada tetamunya hingga pulang ke rumah mereka dengan jiwa yang tenang dan bahagia.
0 Komentar untuk " Ulama tidak boleh bergantung pada pemerintah, tegas menasihati "