PADA tahun lalu, kru sebuah bot warga Vietnam cuba menyogok RM20,000 kepada pegawai Maritim Wilayah Timur supaya dibebaskan selepas dikesan menangkap ikan di perairan negara, kira-kira 83 batu nautika dari Kuala Pahang.
Bagaimanapun, integriti tinggi anggota penguat kuasa yang melaksanakan operasi bersepadu khas menyaksikan cubaan merasuah itu gagal dan semua nelayan terbabit ditahan. Apakah masyarakat tahu perbuatan memberi rasuah adalah satu jenayah?
Kesalahan pemberi adalah sama dengan yang menerima rasuah dan jika disabitkan, seseorang itu akan berhadapan hukuman berat termasuk dipenjara dan didenda. Ada juga pandangan segelintir masyarakat bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hanya mengambil tindakan ke atas penerima rasuah.
Selama ini, masyarakat awam seolah-olah melupakan pihak yang memberi rasuah juga sama jijiknya di sisi undang-undang dan moral, seperti kata pepatah, ‘bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi. Jika tiada pemberi, tiadalah penerimanya.
Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta SPRM 2009) menetapkan perbuatan memberi atau menawarkan rasuah sama beratnya dengan kesalahan menerima rasuah. Jika sabit kesalahan boleh dihukum sama berat dengan kesalahan Seksyen 17(a) iaitu menerima rasuah dengan penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali nilai suapan jika suapan dapat dinilai atau RM10,000 mana yang lebih tinggi.
Pemberi rasuah perlu ingat bahawa perbuatan memberi ini amat berbahaya serta serius kerana penerima boleh menyimpan ‘keterangan’ untuk digunakan pada masa hadapan dan sebaliknya si penerima jika sekiranya berasa terancam juga akan menggunakan maklumat yang sedia ada untuk membuat laporan kepada SPRM serta merta.
Apabila sesuatu membabitkan wang ringgit ‘kawan’ yang pernah tidur sebantal pun tidak dipedulikan. SPRM sudah banyak melancarkan kempen melapor serta membanteras rasuah melalui media massa dan turut memberi tumpuan kepada pemberi sogokan berbanding penerima yang kebanyakannya membabitkan penjawat awam.
Jika sesiapa gagal melaporkan permintaan rasuah, jika sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun atau denda tidak lebih RM10,000 atau kedua dua sekali. Masyarakat tidak perlu gentar untuk membantu membanteras kes rasuah. SPRM sentiasa memastikan kerahsiaan maklumat yang diberikan dan pemberi maklumat adalah dilindungi serta tidak akan didedahkan kepada mana-mana pihak dalam apa juga keadaan.
Dari sudut agama pula, perbuatan mereka ini dimurkai Allah SWT dan dilarang keras oleh Nabi SAW. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ‘Pemberi dan penerima rasuah kedua-duanya akan masuk neraka…’
Kita perlu berbalik kepada soal moral dan integriti apabila ditahan kerana melakukan kesalahan, kita perlu bersedia untuk membayar kompaun atau pergi ke mahkamah.
Oleh itu, jangan memberi rasuah. Elakkan diri daripada terjebak dalam amalan yang tidak baik dan haram ini. Balasan Allah SWT kepada mereka yang menerima dan makan rasuah terlalu berat. Kadang-kadang Allah tunjukkan di atas dunia lagi, keretakan rumah tangga, kehilangan harta benda dan harta penerimaan hasil daripada rasuah itu dihabiskan oleh anak perasuah sekelip mata.
Ada kalanya pula, Allah menangguhkan balasannya itu hingga hari akhirat kelak, tunggulah! Cuba kita renungkan kes yang melibatkan bekas Pengerusi Perwaja apabila beliau dituduh menerima rasuah sebanyak RM760 juta, anak dan isteri beliau telah melarikan diri ke England.
Menurutnya semasa beliau kaya, apabila meletakkan tangannya di atas meja, ada 200 tangan lain yang memberi sokongan tetapi apabila beliau dituduh di mahkamah, tiada lagi kelihatan kawan-kawan yang menyokongnya dahulu. Ini adalah akibat gejala rasuah.
Kecenderungan ini iaitu rasuah berpunca daripada cetek ajaran agama, menghadapi krisis keimanan dan taqwa, tamak untuk memuaskan nafsu dan ingin hidup mewah. Ibnu Khaldun telah mengaitkan rasuah dengan persoalan moral dan keinginan untuk mengecap kemewahan hidup secara berlebihan, mendorong mereka yang mempunyai kuasa untuk terjebak dalam amalan rasuah.
Bayangkan darah yang mengalir di dalam diri, isteri dan anak-anak serta ibu bapa mereka adalah darah yang diterima daripada rezeki haram. Pemberi rasuah juga satu perbuatan paling buruk, paling kotor, paling keji dan memalukan di dalam masyarakat kita termasuk pemberi rasuah.
Antara kesan buruk gejala rasuah ialah boleh menimbulkan masalah seperti kemerosotan ekonomi, ketidakadilan, pengabaian kepentingan masyarakat dan hukuman yang menanti adalah berat dan akhirnya boleh meruntuhkan sesebuah negara.
Bila kena tangkap kawan berjauhan, isteri dan anak pun lari. Kasihan anak cucu di sekolah dipandang serong. Dihina dan ada yang dipulau. Percayalah wang rasuah akan dihabiskan dengan sekelip mata oleh anak cucu mereka kerana wang itu diperoleh secara tidak berkat. Fikir-fikirlah!
Oleh Datuk Seri Akhbar Satar
Penulis adalah Presiden Persatuan Fraud Bertauliah Malaysia
https://www.bharian.com.my/kolumnis/2019/04/551114/kesalahan-beri-terima-rasuah-sama-berat
0 Komentar untuk " Kesalahan beri, terima rasuah sama berat "